Thursday, March 28, 2013

#LahadDatu Pengganas Mati Ditembak Ketika Serang Anggota Polis Di Kg. Simunul


LAHAD DATU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas dalam pertempuran di Kampung Simunul, Semporna pagi tadi.

Turut ditahan dua wanita masing-masing isteri dan anak kepada pengganas terbabit pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian itu pada sidang media sebentar tadi dan memaklumkan empat lelaki turut ditahan dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.

Kenyataan penuh beliau di bawah ini;

Pada jam lebih kurang 9.00 pagi, semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah rumah di Kampung Simunul, pasukan keselamatan telah diserang oleh seorang pengganas dengan bersenjatakan sebilah parang. Pasukan keselamatan tersebut sempat mengelak dan serangan hanya terkena baju kalis peluru dan pengganas tersebut telah ditembak mati.

Dalam kejadian ini, pihak polis telah berjaya menangkap enam orang pengganas dengan pecahan empat lelaki dan dua perempuan serta turut telah merampas sebilah parang.

Daripada enam orang pengganas yang ditangkap, dua orang perempuan disiasat di bawah SOSMA dan empat orang lelaki lagi di bawah Akta Imigresen.

Statistik terkini jumlah tangkapan yang di siasat di bawah Security Offences (Special Measures) Act 2012, (SOSMA) adalah seramai 121 tangkapan. tangkapan kes-kes lain seramai 322 orang.

Jumlah mayat pengganas yang berjaya dibawa keluar adalah seramai 41 orang dan 02 mayat kanak-kanak serta jumlah pengganas yang ditembak mati adalah seramai 65 orang dan 02 orang mayat kanak-kanak.

Orang ramai dinasihati jangan mendengar khabar angin yang tidak benar dan sekiranya terdapat apa-apa maklumat sila lapor kepada pihak polis atau balai polis yang berdekatan.

Pembangkang Terdesak - Guna Pengaruh Musuh Untuk Jatuhkan Musuh #TolakPR


Tidak ada yang lebih memalukan bagi sebuah parti politik daripada terpaksa menggunakan pengaruh musuh untuk menjatuhkan musuh. Tetapi, inilah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat iaitu menggunakan pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib.

Jelas sekali yang PR cukup sedar bahawa parti mereka sudah kehilangan pengaruh secara drastik dan bahawa pemimpin mereka sendiri tidak punya ‘aura’ yang cukup kuat untuk mempengaruhi rakyat.

Taktik ini pastinya difikirkan setelah melihat bagaimana pendapat dan pandangan kritis Tun Mahathir terhadap pemerintahan Tun Abdullah sebelum ini, telah berjaya mempengaruhi rakyat jelata untuk meyakini bahawa ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan adalah berasas. Akibatnya, Tun Abdullah telah terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Dato’ Seri Najib, yang mana amat ditakuti oleh pembangkang.

Ketakutan pembangkang terhadap Dato’ Seri Najib amat ketara apabila mereka terlebih dahulu mencipta berbagai-bagai fitnah terhadap beliau bagi memastikan bukan beliau yang menjadi pengganti Tun Abdullah.

Malang bagi pembangkang, kesungguhan mereka menyerang Dato’ Seri Najib hanya menambahkan keyakinan rakyat bahawa beliaulah calon yang terbaik.

Malah, rekod juga menunjukkan bahawa Tun Mahathir sentiasa berdiri di belakang Dato’ Seri Najib selama krisis kepimpinan berlaku di dalam kerajaan ketika itu. Beberapa kali beliau dirakam menyatakan bahawa pilihan pertama beliau adalah Dato’ Seri Najib, tetapi telah tersilap membuat keputusan untuk memberi peluang terlebih dahulu kepada Tun Abdullah kerana berpegang kepada budaya ‘seniority’, serta percaya bahawa Dato’ Seri Najib boleh menunggu kerana usia beliau masih muda.

Namun, semua itu telah dilupakan oleh pembangkang dan sebaliknya memilih untuk ‘berpegang’ kepada kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini apabila ditanya sama ada Dato’ Seri Najib perlu meletak jawatan jika BN kalah atau corot dalam PRU-13? Untuk makluman, perkara yang sama pernah ditanya oleh Malaysian Insider beberapa bulan lepas dan hari ini ia ‘disemarakkan’ semula oleh Malaysiakini serta disebarkan oleh laman-laman sosial PR.

Tun Mahathir seperti biasa menjawab soalan tersebut secara terus terang, bahawa begitulah sewajarnya, iaitu mana-mana kepimpinan yang bertanggungjawab harus meletakkan jawatan jika tidak berjaya mendapat keputusan yang memuaskan. Ini adalah jawapan ‘standard’ tidak kira dalam konteks pemerintahan negara, mahupun organisasi dan termasuklah dalam bidang sukan di mana jurulatih yang gagal, wajar bersara atau ditukarkan sahaja.

Memandangkan kita cukup kenal bahawa Tun Mahathir amat konsisten dengan kenyataan atau pendiriannya, maka jawapan seperti itu sudah pasti telah dijangkakan oleh pembangkang. Buktinya, beliau berkata demikian kepada Tunku Abdul Rahman dan berkata yang sama kepada Tun Abdullah Badawi apabila sokongan terhadap kepimpinan mereka mula lemah dan parti pemerintah mendapat keputusan yang tidak memuaskan dalam Pilihanraya.

Maka, bagi pembangkang untuk menggunakan jawapan ‘standard’ Tun Mahathir itu sebagai modal politik mereka untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib amatlah menyedihkan. Nampak sangat yang mereka sudah benar-benar kehabisan modal.

Lebih pelik lagi, modal ini digunakan sedangkan rakyat boleh melihat sendiri bagaimana akhir-akhir ini Tun Mahathir begitu sibuk ke sana ke mari memuji-muji kepimpinan Dato’ Seri Najib dan menyeru rakyat agar memberi sepenuh sokongan dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri. Beliau turut memetik angka-angka ekonomi yang menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib dan sentiasa menyokong apa jua tindakan kerajaan.

Berdasarkan apa yang berlaku ini, apa yang cuba digambarkan oleh PR iaitu Tun Mahathir ragu-ragu dan kurang yakin terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib tentulah tidak masuk akal sama sekali. Lebih-lebih lagi, apabila PR turut membayangkan kononnya Tun Mahathir lebih ‘menggemari’ Tan Sri Muhyiddin untuk menerajui negara.

Strategi untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin BN sesama sendiri tidak menjadi kerana ia tidak benar sama sekali. Pemimpin tertinggi UMNO atau BN bukan seperti pemimpin tertinggi PKR atau DAP, ataupun PAS yang asyik bertelagah gila kuasa kerana telah dihasut oleh parasit-parasit yang berkembang biak dan merebak sehingga ke akar umbi parti-parti mereka. Kepimpinan tertinggi UMNO/BN tidak lagi mengalami masalah berebut kuasa sedemikian kerana semua yang bermasalah begitu telah lari kepada pembangkang.

Secara logiknya, apa pun pendapat dan pandangan Tun Mahathir dan siapa pun yang beliau ‘gemar’ tidak seharusnya menjadi masalah PR. Kenapa PR perlu bergantung kepada pendapat dan pengaruh seorang musuh ketat untuk menarik sokongan rakyat?

Akhir sekali, kata-kata Tun Mahathir hari ini bahawa “tiada calon yang lebih sesuai untuk mentadbir Malaysia, selain Dato’ Seri Najib,” sewajarnya diambil sebagai titik noktah kepada strategi terdesak pembangkang ini.

#Sodomy - Surat Terbuka Buat Wan Azizah #TolakPR



Pengendali blog Papagomo yang disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan Ketua Pembangkang itu dalam video seks sejenis hari ini tampil dengan surat terbuka untuk Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Surat 14 perenggan yang disiarkan dalam laman blog http://www.papagomo.com itu antara lain mengandungi gesaan kepada Wan Azizah supaya menasihati Anwar berundur daripada pentas politik bagi mengelakkan keluarga itu diaibkan dengan lebih dahsyat pada Jumaat ini.

"Saya masih lagi menimbang untuk tidak mengaibkan Datuk Seri (Anwar). Apa yang saya mahukan adalah beliau berundur. Saya yakin jika beliau berundur secara terhormat, rakyat akan mengerti dan kagum dengan apa yang dilakukannya.

"Jumaat ini, saya harap Datuk Seri berundur. Tujuan saya mengarang artikel ini bukan dengan niat untuk mengaibkan keluarga Datin Seri (Wan Azizah), tetapi lebih kepada seorang anak yang sayangkan Datin Seri sekeluarga sesama umat Islam,'' jelas penulis blog berkenaan.

Menurut Popogomo, demi agama, bangsa dan negara, pihaknya bagaimanapun tidak ada pilihan daripada terus mendedahkan perilaku Anwar.

"Saya mewakili berjuta rakyat Malaysia mahukan pemimpin yang bersih. Atas sebab itu, saya menawarkan rundingan dengan cara berhemah agar Datin Seri sekeluarga memikirkan dengan cara yang terbaik untuk keluarga Datin Seri sendiri," ujarnya.

Menurut beliau, video berkenaan masih berada dalam tangannya dan tidak pernah diberikan kepada sesiapa kecuali pernah ditayangkan olehnya kepada beberapa rakan blogger.

"Video yang saya ada berwarna dan mempunyai audio yang jelas. Akhir kata daripada saya buat Datin Seri sekeluarga, berhenti dari terus diaibkan kerana kuasa yang diidamkan hanyalah duaniawi semata-mata.

"Fikirlah kesan terhadap anak cucu Datin Seri. Fikirlah dengan mendalam apa yang saya katakan ini. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi dan mengampuni umatnya," jelas blogger itu lagi. - Utusan