Thursday, March 28, 2013

DUN Pahang Akan Automatik Terbubar Pada 8 April



KUANTAN: Dewan Undangan Negeri Pahang akan terbubar secara automatik 8 April ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Ia mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah Perkara 26 Fasal 3, yang menyatakan Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada tempoh itu.

Mesyuarat pertama DUN Pahang berlangsung pada 7 April 2008, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin.

Beliau memberitahu Bernama, mengikut prosedur apabila terbubar secara automatik, Wan Mohamad Razali akan memaklumkan perkara itu melalui surat rasmi kepada pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Pahang, menyatakan bahawa penggal DUN telah mencapai tempoh matang.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi.

Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, dua dimenangi DAP, dua PAS dan satu Bebas.

Calon Bebas di kawasan DUN Tanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan. -Bernama

Tarikh Akhir Pembubaran Parlimen 30 April


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini perjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12.

#TolakPR Wan Azizah Kemungkinan Bertanding Di DUN


SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini membayangkan kemungkinan akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 ini.

“Saya memang layak untuk bertanding di DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perkara itu.

Pada Pilihanraya Umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional, Datuk Pirdaus Ismail.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor Februari lalu kerana ditentang beberapa anggota exco dan pemimpin parti. Sebaliknya kata beliau perkara itu adalah strategi parti.

“Kita ada strategi A, B atau C, seperti juga yang berlaku di DUN Negeri Sembilan yang dibiarkan terbubar dengan sendirinya, ia sangat mengelirukan,” katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Selasa lalu, Abdul Khalid mengumumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 22 April depan. Beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei pada Februari lalu.

-Bernama