Saturday, March 30, 2013

#TolakPR - Demokrasi Ala DAP: 753 Perwakilan Dinafikan Hak Mengundi


DAP merupakan singkatan kepada Democratic Action Party atau dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Parti Tindakan Demokratik. Seimbas lalu mungkin ada yang beranggapan inilah sebenar-benarnya parti politik yang memenuhi ciri-ciri demokrasi yang wajar disokong.

Secara teorinya kelihatan begitulah, sementelah lagi pemimpin-pemimpin DAP juga sering mendabik dada sebagai juara demokrasi serta cukup lantang bila membicarakan perihal kebebasan bersuara, ketelusan dan hak asasi manusia.

Tapi seperti mana biasa, bercakap mengenai teori sememangnya mudah dan kelihatan indah-indah belaka namun bila masuk bab praktikal selalunya hancur tak terdaya diterjemahkan dan langsung tak mampu direalisasikan. Itu hakikat yang sering terjadi.

Lihat saja kemelut yang berlaku dalam DAP selepas selesai pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) yang dilangsungkan Disember 2012 lalu, sampai sekarang tak selesai-selesai juga ibarat rumah dah siap tapi pahat masih berbunyi.

Ramai ahli dan pemimpin DAP yang terus mempersoalkan ketelusan dalam pemilihan itu berikutan perubahan mendadak keputusan pemilihan yang kononnya disebabkan kesilapan pengiraan, malah turut mempertikaikan kenapa seramai 753 perwakilan dinafikan hak mengundi.

Mustahil hanya 1823 orang perwakilan sahaja yang layak memilih pemimpin pilihan mereka sedangkan jumlah keseluruhan perwakilan ialah 2,576 orang.

Malah beberapa hari sebelum pemilihan CEC, Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP, Teresa Kok dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sendiri telah mengesahkan seramai 2,576 perwakilan dari 730 bahagian akan mengundi bagi memilih ahli CEC yang baru.

Jika dikatakan 753 orang perwakilan yang kebanyakannya keturunan India dan beberapa orang lagi perwakilan berbangsa Melayu dan Cina itu tidak layak mengundi, amatlah tidak logik memandangkan nama masing-masing telah disahkan sebagai perwakilan.

Nak dikatakan semua 753 orang perwakilan yang dinafikan hak ini sengaja tidak hadir atas sebab kesihatan atau malas, tentunya mustahil. Kalau sekadar 100 atau 200 orang saja yang ponteng, logiklah juga.

Jelas sekali pasti ada sesuatu yang tak kena dan semestinya wujud penyelewengan di peringkat kepimpinan DAP yang dikuasai dinasti Lim Kit Siang dan anak beranak Karpal Singh itu.

Bila bercakap soal kebebasan, ketelusan dan hak asasi bukan main lagi DAP ke depan nak jadi juara, alih-alih dalam parti sendiri rupanya ramai ahlinya dinafikan hak untuk memilih pemimpin yang disukai. Nampak sangat DAP cumalah parti politik yang cakap banyak buatnya tidak.

Barangkali menyedari penyelewengan dan ketidaktelusan ini semakin disedari ahli-ahlinya, maka sebab itulah beberapa hari lepas Lim Kit Siang dan Karpal Singh sibuk membuat andaian kemungkinan DAP akan diharamkan konon kerana adanya komplot dari BN dan ROS.

Orang yang ketakutan dengan bayang-bayang sendiri, tambahan pula memang wujud keraguan munasabah yang menjadi perhatian umum, biasanya begitulah cepat melatah mencari alasan dan kambing hitam.

No action talk only, itu kesimpulan yang sesuai di cop atas dahi kepimpinan DAP. Dulu dan sekarang sama saja.

#SavePenang - Undi 2000 Pun Tak Boleh Nak Kira, Bagaimana DAP Hendak Mengira Jumlah Berbilion?



DAP adalah parti yang tidak berkebolehan. Noktah.

Tajuk dan kenyataan di atas adalah lengkap dan padat. Tetapi, dengan hanya menulis sedemikian, mungkin puak-puak DAP tidak akan dapat memahami maksudnya.

Maksud yang perlu difahami di sini ialah, seseorang itu semestinya bersikap rasis tegar, tidak rasional dan tidak waras untuk menyokong sebuah parti yang tidak mampu mengira undi yang tidak sampai 2000 pun, dalam pemilihan jawatankuasa pusat mereka yang lalu. Dan sekiranya parti itu tidak mampu mengira walaupun sebanyak 2000, bagaimana kita boleh mengharapkan mereka mampu mengira sehingga berjuta atau berbilion ringgit? Jika mereka tidak tahu mengira, bagaimana kita boleh memberi mandat untuk mereka menerajui negeri, apatah lagi negara?

Oleh kerana DAP tidak berkebolehan, maka kos untuk pembinaan terowong mega yang diumumkan pada jumlah RM4.08 billion pada tahun 2011, kini menunjukkan jumlah RM6.3 billion pula. Nampaknya, segala cakap-cakap besar Lim Guan Eng tentang amalan tender terbuka yang mampu menurunkan kos dari jumlah asal RM8 billion, adalah tidak bermakna sama sekali.

Mengimbas pemilihan CEC, DAP memberi alasan bahawa komputer telah mengsabotaj mereka sehingga beberapa ratus dari undi telah hilang. Dan dalam mega projek ini, komputer dikatakan bermain silap mata pula dengan DAP sehingga menyebabkan pertambahan RM2.25 billion dari kos asal.

Jika ini bukan masalah tidak cekap matematik, maka ia tentulah masalah tidak cekap komputer.

Ini kerana DAP tidak seharusnya ‘tersalah taip’ kerana mereka sepatutnya tidak perlu pun menaip jumlah tersebut. Jumlah itu akan dikira secara automatik oleh computer. Jika mereka enggan menunjukkan keseluruhan jalan pengiraan di dalam ‘worksheet’ computer itu, maka ‘manusia’ hanya perlu memetik jumlah yang telah dikira secara automatik tersebut dan mengisikannya di dalam kertaskerja, kenyataan atau pembentangan yang perlu. Itu saja.

Susah sangatkah untuk memetik dan menyalin semula jumlah tersebut?

Jika benar ia merupakan masalah tersalah taip, maka mungkinkah nama-nama seperti ‘Annie and Party’, ‘Pinny’, ‘Davy’, ‘Jimmy’ dan ‘Terry’ yang muncul dalam kertaskerja mengenai projek tersebut yang telah didedahkan sebelum ini juga sebenarnya tersalah-taip?

Selama ini DAP sering menuduh UMNO sebagai ketinggalan, Melayu lembab, bodoh dan malas tetapi akhirnya terbukti DAP lebih teruk lagi, malah bengap. Namun, sekurang-kurangnya kita tidak perlu mendengar alasan yang memualkan dari mereka iaitu segala kesilapan adalah berpunca dari UMNO.

Untuk rekod, Melayu UMNO yang dikatakan lembab, bodoh, malas dan rasis oleh DAP inilah yang menerajui negara tanpa melakukan kesilapan bodoh sepertimana yang dilakukan oleh Lim Guan Eng itu. Mungkin Guan Eng tidak menyedari bahawa UMNO yang sama juga yang membawa Malaysia ke tahap hari ini di mana kaum Cina dan lain-lain, bebas merebut peluang sehingga menjadi taukeh besar.

Guan Eng tidak pula merasa malu atas kesilapan ini, tetapi sebaliknya memanggil mereka yang menunjukkan kesilapannya sebagai tidak professional. Oleh itu, penulis tertanya-tanya apakah DAP juga mempunyai masalah dalam penguasaan bahasa.

Semakin jelas bahawa Lim Guan Eng bukanlah seorang yang bijak. Beliau wajar mengambil kursus komputer, mengulang pelajaran matematik atau akaun, serta memantapkan penguasaan bahasa sebelum bertanding dalam pilihanraya kali ini.

Guan Eng seharusnya tahu bahawa kesilapan membentangkan kos untuk sebuah projek mega yang mampu memberi kesan kepada pembayar cukai adalah tidak boleh diterima sama sekali. Perlu diingatkan bahawa Guan Eng bukannya mengurus sebuah kedai runcit kecil, tetapi sebuah negeri. Beliau bukan bercakap tentang belanjawan rumahtangga – duit poket anaknya atau wang dapur isterinya. Tetapi beliau bercakap tentang terowong mega yang kontroversi yang bernilai berbilion ringgit, kalaupun bukan berkenaan undi untuk memilih jawatankuasa yang akan membantunya menguruskan negeri.

Ini hanyalah beberapa kesilapan yang dapat kita dedahkan. Apakah agaknya yang akan kita jumpa jika meneliti secara terperinci angka-angka dalam pentadbiran Pulau Pinang. Dan apalah agaknya yang ‘tersalah taip’ atau ‘masalah komputer’ yang kita akan temui jika melakukan yang sama terhadap keseluruhan pentadbiran DAP.

#Vote4BN PRU13: Teng Sedia Bertanding Menentang Guan Eng #TolakPR


GEORGETOWN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow hari ini menyatakan kesediaan bertanding satu lawan satu dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, beliau menetapkan syarat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja sebagai tanda memberi sepenuh komitmen kepada rakyat di negeri ini.

“Ini demi masa depan Pulau Pinang…pemimpin perlu tunjuk komitmen penuh untuk melaksanakan dasar-dasar demi rakyat Pulau Pinang. Oleh itu Lim Guan Eng perlu tunjukkan komitmen dengan hanya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Menteri mencabar Teng bertanding di kerusi DUN Padang Kota, iaitu kawasan yang pernah dimenangi Teng tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow pada PRU-12.

Beliau yang berterima kasih dengan cabaran ketua menteri itu berkata, Guang Eng lebih popular berbanding dirinya dan tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana 40 kerusi DUN di negeri ini.

Teng yang juga Setiausaha Agung GERAKAN berkata, adalah adil jika pada pertarungan kali ini BN menentukan terma dan syaratnya berikutan dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, DAP mencabar pemimpin GERAKAN di kawasan yang ditentukan parti itu.

Katanya, pada pilihan raya umum 1986, penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding di Parlimen Tanjong, diikuti pada tahun 1990 Kit Siang mencabar mendiang Tun Dr Lim Chong Eu bertanding di DUN Padang Kota.

Pada 1999, Kit Siang yang bertanding di dua kerusi mencabar bekas Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Seri Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan di DUN Kebun Bunga, katanya.

Menyifatkan PRU-13 adalah perjuangan dasar dan bukannya pertarungan personaliti, Teng menjanjikan transformasi ekonomi secara menyeluruh kepada Pulau Pinang jika rakyat memberi peluang kepada BN mentadbir negeri ini.

Mengenai senarai calon BN bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, beliau berkata senarai akhir calon sudah 95 peratus selesai. –Bernama