Sunday, March 31, 2013

BN Kelantan Pilih Tokoh Ulama Sebagai Calon #TukarKelantan


Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan menampilkan muka lama dan baru.

“Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Menurutnya, BN akan berusaha sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan mempertikaikannya.

Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas.

Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan.

Ditanya mengapa Najib belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam bidang ekonomi, dirasai rakyat.

"Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih daripada gimik politik' menjelang pilihan raya.-SH

Pemuda UMNO Kecam Pemimpin Pas Hina Nabi


Pergerakan Pemuda UMNO mengecam tindakan pemimpin Pas yang mengheret dan menghina Nabi Muhammad SAW hanya kerana mahu mencapai kepentingan politik mereka semata-mata.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perbuatan itu sangat mengecewakan kerana parti itu sering mencanangkan diri mereka sebagai pejuang Islam tetapi pada hakikatnya ia tidak diamalkan.

"Apa yang saya lihat, pemimpin Pas tanpa segan silu dan jahatnya menyerang Nabi Muhammad dengan lontaran video seks Nabi.

"Apakah ini bermakna reaksi PAS sebelum ini terhadap video The Innocence of Muslims sekadar sandiwara politik semata-mata tanpa penghayatan tentang batas-batasnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam media sosial baru-baru ini, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas, Khairul Fahmi Mat Som menyebut "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO", melalui akaun Twitter @fahmipkg pada 27 Mac yang lalu.

Khairy berkata, perbuatan itu menunjukkan tindakan mereka itu sarat dengan emosi dan cetek pertimbangan yang menampakkan belang sebenar parti pembangkang.

#TolakPR - 9 NGO Buat Laporan Polis Ceramah Anwar di Mergong


ALOR SETAR - Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis mengenai program ceramah yang dijadual disampaikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Wira, Mergong di sini malam ini yang didakwa akan menggangu ketenteraman penduduk.

Laporan itu dibuat Yang Dipertua Pertubuhan Silat Garuda Malaysia, Mansor Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mansor berkata, ceramah yang dijadualkan pada 10.30 malam ini di padang bola yang terletak berdekatan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu dibimbangi akan mencetuskan kekecohan.

Wakil penduduk Taman Wira, Mohd Zubir Abd Rahman, 43, berkata, penduduk taman menentang keras kehadiran Anwar kerana ceramah boleh menggangu ketenteraman mereka.

"Kedudukan padang bola di tengah-tengah kawasan taman perumahan sudah tentu mengganggu anak-anak yang mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk menghadapi peperiksaan.

"Kita tahu Anwar bila mai (datang), orang-orang dia agresif... semua penduduk menjadi tidak selesa. Kalau dia nak tawan Putrajaya bukan di sini tempat untuk berceramah," katanya sambil mendakwa ceramah itu tidak mendapat permit.

Antara sembilan NGO itu ialah Badan Generasi Perihatin (BG3R), Pegerakan Pemuda Umno Cawangan Blok B Taman Wira, Skim Rondaan Sukarela Perumahan Awam Mergong dan Perkasa Kota Setar.

-Bernama

Shahrizat: Saya Tak Bertanding... #Vote4BN


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Jalil telah menjawab sendiri teka teki mengenai kedudukan beliau dicelah-celah kesibukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang menetapkan calon-calon untuk PRU13.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kata : "Tak ada. Saya tak bertanding. Tapi saya akan bersama jentera Wanita di seluruh negara."

Ini bermakna sudah pasti bekas Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat itu tidak akan bertanding pada PRU13.

Sebelum ini terdapat berbagai spekulasi termasuk kemungkinan beliau diletak bertanding di satu kerusi di sebuah negeri di Utara.

Shahrizat yang ditemui selepas satu majlis di Kuala Lumpur Sabtu menegaskan beliau akan backing Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang dikatakan akan mengambilalih tempatnya di Lembah Pantai.

Katanya beliau akan turun membantu kempen bagi memenangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

Raja Nongchik yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai akan berentap dengan Nurul Izzah Anwar yang kalahkan Shahrizat dengan majoriti 2,895 undi.

Shahrizat yakin pengundi Lembah Pantai kini bijak membuat pilihan melihat pada prestasi Nurul Izzah yang ‘ tak seberapa’.

“Tanyalah pengundi-pengundi tentang prestasi pemimpin di sana. Gah sahaja semasa berkempen. Kata nak buat itu ini, lepas itu... habis,”katanya.

Shahrizat menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal.

-Agendadaily

#TolakPR - Penyokong Pas Khianat Bakar 27 Bendera BN


MUAR - Parlimen belumpun dibubarkan, tarikh pilihan raya umum pun belum diketahui, namun gelagat ganas dan provokatif para penyokong pakatan pembangkang sudah mula ditunjukkan.

Dalam kejadian di sini, 27 bendera Barisan Nasional (BN) dibakar dan tiangnya dipatahkan dalam tiga kejadian berasingan di pekan Parit Bakar pada Ahad, Selasa dan awal pagi Rabu yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong Pas.

Pada kira-kira pukul 2 petang Ahad lalu, empat bendera dibakar serta tiangnya dipatahkan. Kejadian kedua pula berlaku pada pukul 9.30 malam Selasa lalu dan ketiga pada 1.30 pagi Rabu.

Pengerusi Biro Keselamatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) UMNO Bahagian Muar, Mahmud Md. Top berkata, bagi perbuatan khianat pertama, pihaknya hanya menemui kesan-kesan perbuatan itu dan tidak mempunyai saksi.

"Bagaimanapun pada pukul 9.30 malam Selasa, saya dan rakan nampak sendiri perbuatan itu dilakukan oleh penyokong-penyokong Pas, lingkungan lima orang. Kami juga dimaki selain selain mereka kutuk UMNO dan BN. Mereka bakar 20 bendera BN, tiangnya dipatahkan.

"Apabila keluar rumah pukul 1.30 pagi (Rabu), kami didapati penyokong Pas berkumpul lagi di situ dalam jumlah lebih ramai iaitu lebih 10 orang. Empat lagi bendera BN sudah dibakar. Kami bukan tuduh sembarangan, kami kenal penyokong Pas itu, mereka penduduk tempatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak BN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 7 malam, Khamis lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ia sedang disiasat.

-Utusan

#TolakPR - Pemuda PAS Sanggup Hina Nabi Untuk Kepentingan Politik


Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.

Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan.

"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah.

"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.

"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah.

"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut.

-Utusan