Saturday, April 20, 2013

#PRU13 DS Najib Bertanding Lawan Calon Sayur PKR


PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, akan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pengumuman mengenai pertandingan satu lawan satu antara Najib dengan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali pada 10.45 pagi.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada 9.08 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang disandangnya sejak 1976.

Najib yang berarak bersama kira-kira 5,000 penyokong BN yang membawa sepanduk dan bendera parti-parti komponen dari bangunan Umno Pekan, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.06 pagi.

Berbaju Melayu biru, beliau masuk ke dewan itu bersama-sama calon BN lain dan menjadi calon pertama BN yang menyerahkan borang pencalonan.

Calon BN lain yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam kawasan Parlimen Pekan ialah Khairudin Mahmud bagi DUN Pulau Manis, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Mohd Fakhruddin Mohd Aris (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).

Sementara itu, calon-calon pembangkang diketuai Fariz, 43, yang berasal dari Marang, Terengganu, tiba di pusat berkenaan pada 8.50 pagi diiringi kira-kira 500 penyokong yang membawa bendera dan sepanduk parti pembangkang.

Kedua-dua penyokong parti yang bertanding di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan masing-masing melaungkan slogan mereka, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sambil berteriak 'Hidup PM, Hidup BN', penyokong BN turut menyanyikan lagu 'Barisan Kita' manakala penyokong pembangkang melaungkan takbir 'Allahu Akbar'.

Pada pilihan raya umum 2008, Najib menewaskan calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dengan majoriti 26,464 undi. Najib memperoleh 36,262 undi manakala Khairul Anuar meraih 9,798 undi.

Keadaan cuaca yang baik pagi ini serta kawalan daripada anggota polis telah memastikan pergerakan kenderaan lancar di sekitar pusat penamaan calon.

Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas ayahandanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Sejak itu, Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu Najib mewakili kawasan DUN Bandar Pekan. -Bernama

#PRU13 Senarai Calon Bertanding Di Parlimen Rembau


Proses pencalonan berjalan lancar. Semua borang pencalonan calon BN Parlimen dan DUN Rembau diterima.


Kerusi Parlimen Rembau menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini apabila penyandang dari Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaludin bertanding dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Radzali A. Ghani dan seorang calon Bebas, Abdul Aziz Hasan.

Sementara itu, di DUN Rantau menyaksikan saingan satu lawan satu apabila calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan akan ditentang calon PKR, Aisah Lamsah.

Manakala di DUN Paroi, calon pas yang juga Pesurujaya Pas Negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani ditentang calon BN, Mohd. Ghazali Wahid.

Di DUN Chembong, calon BN, Datuk Zaifulbahri Idris yang menyandang kerusi itu akan dilawan calon Pas, Kamarol Ridzuan Mohd Zain.

Bagi DUN Kota, penyandang dari BN, Datuk Dr. Awaluddin Said akan ditentang calon Pas, Ghazali Mohd Shom. Semua nama ini diumumkan pengurus pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau, Mohamad Rawi Baharom.

#PRU13 Saingan Tiga Penjuru Di Parlimen Rembau #Rembau


Saingan tiga penjuru berlaku di Parlimen Rembau, P131 Rembau Calon Barisan Nasional BN - Khairy Jamaluddin, Pas - Radzali A Ghani, Bebas - Abdul Aziz Hassan.

Nampak PRU13 kali ini meriah dengan adanya tiga calon bertanding... walau bagaimanapun di hari penamaan calon lebih memihak kepada penyokong BN, berdasarkan kehadiran penyokong parti masing-masing.

Khairy bersaman dengan calon PKR Radzali A Ghani

#PRU13 BN Sudah Menang Satu Kerusi?


BANDARAYA MELAKA - Barisan Nasional (BN) mungkin akan menang satu kerusi tanpa bertanding, sekiranya DAP masih gagal memutuskan calon mewakili kerusi Dun Kota Laksamana, menjelang penamaan calon hari ini.

Sehingga 9.30 malam tadi, DAP belum dapat menamakan calon sesuai bagi mengisi kerusi disandang Betty Chew itu akibat percanggahan pemilihan calon membabitkan DAP Melaka dan ibu pejabat di Kuala Lumpur, sekaligus menyaksikan kemungkinan DAP tidak meletakkan sebarang calon di Dun berkenaan.

Sambil menyuarakan kebimbangan insiden itu mampu mengugat saingan DAP untuk mempertahankan kerusi terbabit, Pengarah Operasi DAP Melaka, Sim Tong Him berkata, sehingga malam tadi masih belum ada sebarang perkembangan positif dalam isu pemilihan calon di situ.

Menurutnya, isu berkenaan juga memberi impak negatif kepada DAP Melaka apabila wujud segelintir penyokong meluahkan rasa tidak puas hati serta melabelkan kepimpinan DAP sebagai sombong kerana tidak mendengar pendapat dari penyokong akar umbi.

“Perkembangan terbaru ini telah meletak DAP pada kedudukan tidak baik, lebih-lebih lagi menjelang penamaan calon esok (hari ini). Kami bimbang isu ini sekiranya tidak diselesaikan secepat mungkin boleh menjejaskan hasrat DAP dan Pakatan Rakyat untuk bersaing pada pilihan raya ini.

“Sebagai mewakili DAP, saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami atas apa yang berlaku ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media tergempar yang diadakan di Ibu Pejabat DAP Melaka, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan beberapa nama yang dikemukakan DAP Melaka sebagai calon Dun Kota Laksamana tidak dipersetujui DAP pusat atas alasan bimbang kehilangan kerusi Dun yang telah dipegang parti berkenaan selama 45 tahun.

Kemelut ini turut menyebabkan seorang calon DAP secara terbuka mengugut menarik diri sekiranya ada invidividu tertentu terus campur tangan dalam pemilihan calon Dun berkenaan.

Menurut Tong Him, beliau turut bimbang akan ada sesetengah penyokong yang akan bertindak bertanding sebagai calon bebas kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ini.

“Kita masih dalam perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Mudah-mudahan dalam masa beberapa jam sebelum penamaan calon ini kita dapat menyelesaikannya,” katanya.

Pada PRU12 lalu, Betty Chew menewaskan Lee Kiat Lee (BN) dengan majoriti 7,242 undi.-SH

#PRU13 Sekitar Hari Penamaan Calon Parlimen Rembau


Hampir lima ribu penyokong Barisan Nasional turun memberi sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional... Manakala tak sampai dua ratus orang pun penyokong pembangkang yang turun hari ini...