Saturday, April 20, 2013

#PRU13 Jenice Lee Kecewa Dengan Kronisme DAP


Penyandang kerusi DUN Teratai, Jenice Lee yang menyerahkan borang untuk bertanding sebagai calon Bebas mendakwa DAP mengamalkan sikap kronisme dalam pemilihan calon.

Beliau menyifatkan keputusan DAP meletakkan calon 'bidan terjun' di kerusi Teratai sebagai menguntungkan sesetengah pihak berbanding dirinya yang telah lima tahun berkhidmat untuk rakyat di kawasan itu.

Katanya pemilihan muka baru di Dun Teratai bukan berdasarkan amalan meritokrasi. Justeru jelas Jenice, keputusan untuk bertanding di kerusi berkenaan sebagai bantahan terhadap calon parti.

Lebih mengecewakan katanya, apabila beliau pernah menyuarakan bantahan terhadap calon berkenaan namun tidak dilayan.

"Perlu tanya orang atasan, sebab mereka lebih memihak kepada kroni daripada orang yang ada gerak kerja, rekod yang baik.

"Meeting, sms tak ada orang jawab, call tak ada orang jawab, pergi jumpa tak jawab, sampai dah keluar surat khabar dia jumpa saya tapi tak cakap apa-apa," kata beliau kepada Antarapos.

Pada 15 Mac lalu, Jawatankuasa Disiplin DAP memanggil Jenice bersama Pembantu Khasnya, Lee Suan Ba bagi memberi keterangan atas dakwaan penyelewengan dan salah guna wang melibatkan peruntukan RM32,000 bagi membina dinding penahan di Taman Seraya, Cheras pada 2011.

Kerusi DUN Teratai menyaksikan pertembungan lima penjuru, tiga daripadanya calon Bebas.

Selain calon BN, Liew Pok Boon dan calon dari DAP, Tiew Way Keng, tiga calon Bebas lain turut dinamakan sebagai calon, penyandang DUN Teratai, Jenice Lee Ying Ha menggunakan lambang pokok, Lim Ah Chai dengan logo kunci dan Chin Kok Keong pula logo bunga.

#PRU13 Permatang Pauh Anwar Bolos Dicabar Dari Depan Dan Belakang!


Pilihan Raya Umum Parlimen Permatang Pauh pada 5 Mei depan bakal ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Mazlan Ismail daripada Barisan Nasional (BN), Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi Shamsudin.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jusmi Ismail mengumumkan nama ketiga-tiga calon yang layak pada pukul 11.30 pagi ini selepas tempoh kemuka borang ditutup pada pukul 10 pagi.

"Ketiga-tiga mereka diterima setelah saya menerima kelayakan mereka dan setelah disemak, tiada sebarang pencalonan ditolak," katanya ketika megumumkan keputusan tersebut.

Beliau turut mengumumkan DUN Seberang Jaya akan ditandingi 3 calon masing-masing seperti berikut.
1. Dr Shamsul Tabrey Ismail Merican - calon Bebas
2. Datuk Mohamad Nasir Abdullah - BN
3. Dr Afif Baharudin - PKR

Sementara bagi DUN Permatang Pasir, calonnya adalah seperti berikut.

1. Anuar Faisal Yahaya - BN
2. Salleh Man - PAS

Manakala bagi DUN Penanti, calonnya adalah seperti berikut:

1. Ibrahim Ahmad - BN
2. Norlela Ariffin - PKR

Proses penamaan calon pilihan raya itu diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara di sini.

Terdahulu, pemimpin BN mengiringi Mazlan Ismail, 53 tahun, ke pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi ini, sementara Anwar, diiringi penyokongnya dan beberapa gabungan Pakatan Rakyat.

Parlimen Permatang Pauh yang mempunyai 71,000 pengundi terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa.

Sebaik pengumuman dibuat oleh Jusmi, para penyokong parti-parti yang bertanding bersorak gembira setelah calon mereka diterima.

Lebih 5,000 para penyokong calon yang bertanding membanjiri perkarangan IKBN itu sejak pukul 7.00 pagi.

Polis yang mengerahkan 430 anggotanya untuk memantau keadaan dari darat, berjaya mengawal keadaan di pusat penamaan calon di Permatang Pauh.

#PRU13 Khalid Samad Bikin Panas!!


Calon PAS, Khalid Samad yang mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam bikin panas, apabila hadir di Pusat Penamaan Calon tanpa memakai sepatu kemas, hanya memakai capal... dia ingat ni markaz PAS ke?


Muka Khalid Samad cuak bila bertemu Zulkifli Noordin
Hahahaha! kita tunggu sejauh mana Khalid Samad nak lari!!


#PRU13 - Muka Buku Khairy Jamaluddin



(Petikan dari facebook Khairy Jamaluddin)

Alhamdulillah proses penamaan calon berjalan dengan lancar di Rembau. Ramai penyokong BN yang mengiringi calon-calon BN ke Dewan Seri Rembau.


Untuk P 131 Parlimen Rembau, saya akan bertanding lawan Tuan Haji Radzali Ghani dari PKR dan Abdul Aziz Hassan, seorang calon bebas.

Saya telah mengucapkan selamat bertanding kepada mereka dan juga memberi komitmen saya untuk mengendalikan kempen secara sihat dan berhemah.


Rupa-rupanya Tuan Haji Radzali, calon PKR, ada hubungan keluarga dengan saya melalui isteri beliau! Kira pertandingan adik-beradik la ni.

Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang hadir pagi tadi.

Rembau most wanted, yaww!

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Calon Barisan Nasional
P131 Rembau

Untuk liputan PRU13 Parlimen Rembau sila layari http://p131-rembau.blogspot.com

#PRU13 Kamilia Dipecat Daripada Umno


PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata tindakan Kamilia menyebabkan beliau secara automatik dipecat daripada Umno.

"Tindakan beliau (Kamilia) jelas bertentangan dengan Perlembagaan dan peraturan Umno, serta tidak selari dengan semangat perjuangan parti.

"Kita dah nyatakan sebelum ini, secara automatik beliau dipecat daripada parti," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon yang akan bertanding di Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini Sabtu.

Muhyiddin berkata tindakan pemecatan itu menunjukkan ketegasan parti untuk menangani anggota yang belot terhadap parti.

"Bagi saya, keputusan beliau (Kamilia) adalah sesuatu yang mendukacitakan," katanya.

Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada PAS.

Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya kerana BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13.

Menjawab perkara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kamilia telah menolak tawaran bertanding bagi kerusi DUN Bukit Chandan kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.-Bernama

#PRU13 DS Najib Bertanding Lawan Calon Sayur PKR


PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, akan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pengumuman mengenai pertandingan satu lawan satu antara Najib dengan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali pada 10.45 pagi.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada 9.08 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang disandangnya sejak 1976.

Najib yang berarak bersama kira-kira 5,000 penyokong BN yang membawa sepanduk dan bendera parti-parti komponen dari bangunan Umno Pekan, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.06 pagi.

Berbaju Melayu biru, beliau masuk ke dewan itu bersama-sama calon BN lain dan menjadi calon pertama BN yang menyerahkan borang pencalonan.

Calon BN lain yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam kawasan Parlimen Pekan ialah Khairudin Mahmud bagi DUN Pulau Manis, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Mohd Fakhruddin Mohd Aris (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).

Sementara itu, calon-calon pembangkang diketuai Fariz, 43, yang berasal dari Marang, Terengganu, tiba di pusat berkenaan pada 8.50 pagi diiringi kira-kira 500 penyokong yang membawa bendera dan sepanduk parti pembangkang.

Kedua-dua penyokong parti yang bertanding di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan masing-masing melaungkan slogan mereka, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sambil berteriak 'Hidup PM, Hidup BN', penyokong BN turut menyanyikan lagu 'Barisan Kita' manakala penyokong pembangkang melaungkan takbir 'Allahu Akbar'.

Pada pilihan raya umum 2008, Najib menewaskan calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dengan majoriti 26,464 undi. Najib memperoleh 36,262 undi manakala Khairul Anuar meraih 9,798 undi.

Keadaan cuaca yang baik pagi ini serta kawalan daripada anggota polis telah memastikan pergerakan kenderaan lancar di sekitar pusat penamaan calon.

Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas ayahandanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Sejak itu, Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu Najib mewakili kawasan DUN Bandar Pekan. -Bernama

#PRU13 Senarai Calon Bertanding Di Parlimen Rembau


Proses pencalonan berjalan lancar. Semua borang pencalonan calon BN Parlimen dan DUN Rembau diterima.


Kerusi Parlimen Rembau menyaksikan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini apabila penyandang dari Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaludin bertanding dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Radzali A. Ghani dan seorang calon Bebas, Abdul Aziz Hasan.

Sementara itu, di DUN Rantau menyaksikan saingan satu lawan satu apabila calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan akan ditentang calon PKR, Aisah Lamsah.

Manakala di DUN Paroi, calon pas yang juga Pesurujaya Pas Negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani ditentang calon BN, Mohd. Ghazali Wahid.

Di DUN Chembong, calon BN, Datuk Zaifulbahri Idris yang menyandang kerusi itu akan dilawan calon Pas, Kamarol Ridzuan Mohd Zain.

Bagi DUN Kota, penyandang dari BN, Datuk Dr. Awaluddin Said akan ditentang calon Pas, Ghazali Mohd Shom. Semua nama ini diumumkan pengurus pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau, Mohamad Rawi Baharom.

#PRU13 Saingan Tiga Penjuru Di Parlimen Rembau #Rembau


Saingan tiga penjuru berlaku di Parlimen Rembau, P131 Rembau Calon Barisan Nasional BN - Khairy Jamaluddin, Pas - Radzali A Ghani, Bebas - Abdul Aziz Hassan.

Nampak PRU13 kali ini meriah dengan adanya tiga calon bertanding... walau bagaimanapun di hari penamaan calon lebih memihak kepada penyokong BN, berdasarkan kehadiran penyokong parti masing-masing.

Khairy bersaman dengan calon PKR Radzali A Ghani

#PRU13 BN Sudah Menang Satu Kerusi?


BANDARAYA MELAKA - Barisan Nasional (BN) mungkin akan menang satu kerusi tanpa bertanding, sekiranya DAP masih gagal memutuskan calon mewakili kerusi Dun Kota Laksamana, menjelang penamaan calon hari ini.

Sehingga 9.30 malam tadi, DAP belum dapat menamakan calon sesuai bagi mengisi kerusi disandang Betty Chew itu akibat percanggahan pemilihan calon membabitkan DAP Melaka dan ibu pejabat di Kuala Lumpur, sekaligus menyaksikan kemungkinan DAP tidak meletakkan sebarang calon di Dun berkenaan.

Sambil menyuarakan kebimbangan insiden itu mampu mengugat saingan DAP untuk mempertahankan kerusi terbabit, Pengarah Operasi DAP Melaka, Sim Tong Him berkata, sehingga malam tadi masih belum ada sebarang perkembangan positif dalam isu pemilihan calon di situ.

Menurutnya, isu berkenaan juga memberi impak negatif kepada DAP Melaka apabila wujud segelintir penyokong meluahkan rasa tidak puas hati serta melabelkan kepimpinan DAP sebagai sombong kerana tidak mendengar pendapat dari penyokong akar umbi.

“Perkembangan terbaru ini telah meletak DAP pada kedudukan tidak baik, lebih-lebih lagi menjelang penamaan calon esok (hari ini). Kami bimbang isu ini sekiranya tidak diselesaikan secepat mungkin boleh menjejaskan hasrat DAP dan Pakatan Rakyat untuk bersaing pada pilihan raya ini.

“Sebagai mewakili DAP, saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami atas apa yang berlaku ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media tergempar yang diadakan di Ibu Pejabat DAP Melaka, di sini malam tadi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan beberapa nama yang dikemukakan DAP Melaka sebagai calon Dun Kota Laksamana tidak dipersetujui DAP pusat atas alasan bimbang kehilangan kerusi Dun yang telah dipegang parti berkenaan selama 45 tahun.

Kemelut ini turut menyebabkan seorang calon DAP secara terbuka mengugut menarik diri sekiranya ada invidividu tertentu terus campur tangan dalam pemilihan calon Dun berkenaan.

Menurut Tong Him, beliau turut bimbang akan ada sesetengah penyokong yang akan bertindak bertanding sebagai calon bebas kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ini.

“Kita masih dalam perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Mudah-mudahan dalam masa beberapa jam sebelum penamaan calon ini kita dapat menyelesaikannya,” katanya.

Pada PRU12 lalu, Betty Chew menewaskan Lee Kiat Lee (BN) dengan majoriti 7,242 undi.-SH

#PRU13 Sekitar Hari Penamaan Calon Parlimen Rembau


Hampir lima ribu penyokong Barisan Nasional turun memberi sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional... Manakala tak sampai dua ratus orang pun penyokong pembangkang yang turun hari ini...