Monday, June 3, 2013

Pemuda BN Gesa Pembangkang Nyata Pendirian Berhubung Isu Hina Agong


Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah menggesa pakatan pembangkang menyatakan pendirian berhubung perbuatan seorang individu yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi Facebook.

Timbalan Ketuanya Haris Che Mat berkata setakat ini pembangkang mengambil sikap berdiam diri sedangkan perbuatan individu berkenaan mengguris hati rakyat di negara ini.

Pemuda BN juga meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap indvidu berkenaan, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai isu itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang yang turut hadir pula mempersoalkan sikap pembangkang yang jelas mengamalkan 'double standard' kerana hanya lantang bersuara terhadap isu tertentu.

Ini satu lagi senario yang harus diteliti rakyat kerana ini mencerminkan apa yang pembangkang boleh lakukan pada masa depan, katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda MCA Kedah Tan Chee Hiong menegaskan perbuatan mengutuk dan mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan itu bukan budaya orang Malaysia.

Dalam akaun Facebooknya, seorang individu yang menamakan dirinya Melissa Gooi memaparkan kenyataan mempersenda titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sempena hari keputeraan Seri Paduka Baginda pada 1 Jun lepas. - Bernama

Anwar Mungkir Janji, Kata Bekas Menteri Indonesia


Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta satu perjanjian diadakan untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata seorang saksi pertemuan yang diadakan oleh orang tengah dari Indonesia dengan kedua-dua pemimpin itu.

Hamid Awaludin, bekas menteri undang-undang dan hak asasi manusia Indonesia, berkata "oleh kerana tidak terdapat sebarang perkara yang boleh membatalkan perjanjian itu, yang dibuat menjelang PRU13 atau pada hari pengundian, maka perjanjian berkenaan terus terpakai".

Bagaimanapun, "keadaan berubah apabila Najib diisytihar sebagai pemenang" katanya sambil menjelaskan bahawa Anwar meminta perjanjian itu diadakan kerana beliau "yakin akan mencapai kemenangan pada pilihan raya itu berdasarkan hasil pungutan pendapat yang sering menyebelahinya dan jumlah hadirin pada majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat".

Hamid, yang pernah berkhidmat sebagai duta besar Indonesia ke Rusia dan Belarus dari 2008 hingga 2011, memberitahu Bernama beliau turut hadir pada perbincangan yang diadakan antara bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla dengan Anwar dan Najib.

"Jusuf Kalla sekadar memenuhi permintaan Anwar supaya beliau menjadi orang tengah. Bukan beliau (Jusuf) yang mengambil daya usaha agar perjanjian itu diadakan atau pergi berjumpa Anwar," katanya.

Laporan media baru-baru ini menyebut Anwar menafikan beliau memungkiri perjanjian damai yang diatur Jusuf dan mendakwa bekas naib presiden Indonesia itu menemuinya untuk menawarkan bantuan bagi memastikan urusan selepas PRU13 berjalan secara teratur.

Bagaimanapun, satu laporan lain pula menyebut Anwar mengaku beliau ada membuat perjanjian dengan Najib, yang menyaksikan Jusuf sebagai orang tengahnya, tetapi mendakwa Barisan Nasional (BN) menjadikan perjanjian itu terbatal berikutan cara parti gabungan itu melancarkan kempennya.

PRU13 menyaksikan BN, yang diterajui Najib, kembali berkuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Anwar dan Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei dengan mendakwa berlaku penipuan pilihan raya.

Hamid berkata Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu, "tapi Najib memberi jaminan beliau akan mematuhi perjanjian itu."

"Beliau menerima perjanjian itu," kata Hamid dan menambah bahawa Najib mengotakan janjinya serta menyeru ke arah penyatuan nasional ketika berucap apabila BN diisytiharkan kembali berkuasa.

"Tindakan Najib ini menepati apa yang telah beliau ucapkan," katanya.

Malah, kata Hamid, sehari selepas kemenangan Najib, beliau tetap optimistik perjanjian itu akan terus terpakai dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Tetapi, Anwar memungkirinya," kata beliau.

"Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik," katanya.

Berikut adalah soal jawab dengan Hamid:

S: Anwar Ibrahim mendakwa Jusuf Kalla yang menghubunginya, tapi Jusuf Kalla pula berkata Anwarlah yang menghubunginya. Mana yang betul?

J: Saya hadir pada perbincangan antara Jusuf Kalla bersama Anwar dan Najib. Jusuf Kalla hanya memenuhi permintaan Anwar agar beliau menjadi orang tengah. Beliau tidak memulakan daya usaha ke arah itu atau menemui Anwar. Jusuf Kalla tidak ada sebarang kepentingan politik dan ekonomi di Malaysia. Beliau sibuk dengan urusannya mengenai Indonesia. Jadi, kenapakah beliau perlu mengambil daya usaha itu dan bertemu dengan Anwar? Ini tidak logik.

Jusuf Kalla menganggap Anwar dan Najib sebagai sahabat baiknya. Beliau ingin membantu kerana mereka terlibat dalam satu persaingan yang begitu sengit. Beliau melihatnya begitu.

S: Anwar mendakwa perjanjian itu mengandungi beberapa prasyarat, contohnya pilihan raya secara bebas dan kebebasan media. Bolehkah sdr nyatakan apakah prasyaratnya?

J: Saya amat pasti tidak terdapat sebarang prasyarat yang dibincang antara Jusuf Kalla dan Anwar. Bagi saya, perjanjian tetap perjanjian dan perjanjian ini dipersetujui kedua-dua pihak – Anwar dan Najib.

Sesetengah orang akan cuba mencari ruang atau alasan untuk tidak mengotakan janjinya. Perangai manusia memang tidak sama.

S: Sekarang, Anwar mendakwa, oleh kerana Najib tidak menandatangani perjanjian itu, maka ia tidak sah. Jusuf Kalla berkata PM memberi persetujuannya secara lisan dan ini menjadikan perjanjian berkenaan, sah. Siapa yang betul, Anwar atau Jusuf Kalla?

J: Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu. Najib mempunyai sebab yang amat munasabah dari segi politik untuk tidak menandatangani perjanjian itu dan Anwar memahami serta menerimanya.

Bagaimanapun, Najib berjanji akan mematuhi perjanjian itu. Beliau menerima perjanjian itu. Asas akhlak mengajar kita bahawa perkataan seseorang adalah lebih penting daripada tanda tangannya. Perbuatan juga adalah lebih penting daripada kata-kata. Najib mengotakan janjinya. Beliau menyeru ke arah penyatuan nasional ketika menyampaikan ucapan penerimaan. Tindakan Najib menepati kata-katanya.

S: Anwar mendakwa perjanjian itu mengandungi beberapa prasyarat, contohnya pilihan raya secara bebas dan kebebasan media. Bolehkah sdr nyatakan apakah prasyaratnya?

J: Saya amat pasti tidak terdapat sebarang prasyarat yang dibincang antara Jusuf Kalla dan Anwar. Bagi saya, perjanjian tetap perjanjian dan perjanjian ini dipersetujui kedua-dua pihak – Anwar dan Najib.

Sesetengah orang akan cuba mencari ruang atau alasan untuk tidak mengotakan janjinya. Perangai manusia memang tidak sama.

S: Sekarang, Anwar mendakwa, oleh kerana Najib tidak menandatangani perjanjian itu, maka ia tidak sah. Jusuf Kalla berkata PM memberi persetujuannya secara lisan dan ini menjadikan perjanjian berkenaan, sah. Siapa yang betul, Anwar atau Jusuf Kalla?

J: Anwar tahu Najib tidak menandatangani perjanjian itu. Najib mempunyai sebab yang amat munasabah dari segi politik untuk tidak menandatangani perjanjian itu dan Anwar memahami serta menerimanya.

Bagaimanapun, Najib berjanji akan mematuhi perjanjian itu. Beliau menerima perjanjian itu. Asas akhlak mengajar kita bahawa perkataan seseorang adalah lebih penting daripada tanda tangannya. Perbuatan juga adalah lebih penting daripada kata-kata. Najib mengotakan janjinya. Beliau menyeru ke arah penyatuan nasional ketika menyampaikan ucapan penerimaan. Tindakan Najib menepati kata-katanya.

S: Pada Hari Mengundi, adakah sdr rasa perjanjian itu masih terpakai? Adakah berlaku sebarang perkara sebelum Hari Mengundi, yang boleh menyebabkan perjanjian itu terbatal?

J: Saya amat pasti tiada sebarang perkara berlaku menjelang Hari Mengundi atau pada Hari Mengundi itu sendiri yang menyebabkan perjanjian itu terbatal. Ia terus terpakai.

Keadaan berubah selepas Najib diisytihar sebagai pemenang. Malah, sehari selepas kemenangan Najib, saya masih yakin bahawa janji tetap janji dan kedua-dua pihak akan mematuhinya. Barangkali, Anwar tidak mampu mengurus pengikutnya, terutama kerana DAP memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti pimpinannya. Anwar mendapati dirinya berada dalam kedudukan yang menyulitkan. Tapi, tugas seseorang pemimpin adalah memimpin, bukan dipimpin.

S: Adakah sdr dan Jusuf Kalla berpendapat Anwar mengingkari perjanjian itu? Jika demikian, apa alasannya?

J: Saya rasa Anwar masih tidak dapat menerima hakikat politik. Mungkin ada perkara yang beliau tidak ingin ucapkan kerana beliau tidak mahu melukakan hati orang. Saya tak tahu.

S: Adakah sdr rasa Anwar akan ikhlas menerima penyatuan nasional di Malaysia?

J: Saya percaya Anwar mempunyai keikhlasan dan masih berharap beliau memilikinya.

S: Pada pendapat sdr, apakah yang membuat Anwar bertindak seperti menafikan wujudnya perjanjian itu, enggan menerima kekalahan dan menganjurkan bantahan di seluruh Malaysia?

J: Sejak mula lagi, Anwar yakin beliau akan memenangi pilihan raya itu. Setelah berjuang sejak sekian lama, beliau berpendapat inilah kesudahan bagi perjuangan itu. Anwar berpendapat beliau akan memenangi pertarungan itu dan mengalahkan Barisan Nasional.

Keyakinan ini diperkukuhkan lagi oleh tinjauan pendapat yang sering menyebelahinya. Setiap perhimpunan yang Anwar adakan dalam tempoh berkempen juga menarik ramai hadirin.

Tetapi, kesudahannya, pilihan rakyat merupakan faktor penentu dalam demokrasi.

Anwar percaya beliau akan memenangi pilihan raya itu dan bimbang Najib akan membantah dan tidak mahu menyerah kuasa. Jadi, beliau mahukan jaminan senario itu tidak berlaku. Inilah sebabnya beliau mencadangkan agar perjanjian itu diadakan. - Bernama

Sunday, June 2, 2013

Polis Terima 6 Laporan Tindakan Hina Agong



Polis Kuala Lumpur menerima enam laporan berkaitan tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata semua laporan itu dibuat di Balai Polis Dang wangi oleh individu yang mewakili enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Wakil-wakil NGO ini telah membaca laman Facebook atas akaun nama seorang wanita yang telah mengeluarkan komen menghina Yang di-Pertuan Agong dan berkecenderungan menghasut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.

Sehubungan itu Amar Singh menasihatkan orang ramai agar menghormati undang-undang negara demi memelihara keharmonian sejagat dan berkata polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara.

-Bernama

Effi Obefiend Menghina Yang Dipertuan Agong Wajar Ditangkap


Effi Obefiend, blogger blog Serius... hina di-Pertuan Agong sebagai anjing dan patung BN - Walaupun membenci parti Barisan Nasional (BN) dan Yang di-Pertuan Agong namun mengeluarkan kenyataan menghina yang melampau tidak sepatutnya terbit dari mulut kita sebagai warganegara Malaysia. Begitulah yang berlaku kepada seorang pemilik akaun Facebook dikenali Effi Obefiend yang dengan beraninya menghina secara langsung kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Adakah patut dia menyamakan Yang di-Pertuan Agong sebagai anjing dan patung kerajaan? Di atas ialah beberapa kenyataan keterlaluan Effi Obefiend yang amat tidak matang dan angkuh.

Thursday, May 30, 2013

Pembelian Tanah Di Bukit Kiara: Raja Nong Chik Buat Laporan Polis Terhadap Nurul Izzah


Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membuat laporan polis berhubung tindakan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengaitkan beliau dalam urusan pembelian 4.856 hektar tanah di Bukit Kiara.

Beliau berkata ia bagi membolehkan pihak polis menyiasat kenyataan yang dilemparkan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, sehari sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan itu berunsur fitnah.

"Saya serahkan perkara ini kepada polis untuk jalankan siasatan. Saya akan mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen (pilihan raya) dan saman terhadap beliau (Nurul Izzah)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai pada kira-kira 3 petang ini.

Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik, yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, pada PRU13 5 Mei lepas dengan majoriti 1,847 undi.

-Bernama

Tuesday, May 28, 2013

Pengumuman Exco Selangor : Khalid Sailang Kuncu-Kuncu Azmin


Pengumuman barisan exco kerajaan negeri Selangor yang akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang Khamis ini bakal menyaksikan penyingkiran ADUN PKR yang menyokong timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat menteri besar, selain Azmin selaku Pengerusi Perhubungan PKR Selangor yang tidak mendapat tempat, tiga lagi penyokong kuatnya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia), Mat Shuhaimi Shafiei (ADUN Sri Muda) dan Amirudin Shari (ADUN Batu Caves) juga tidak disenaraikan.

Ketiga-tiga mereka memasuki penggal kedua sebagai wakil rakyat tetapi terus dipinggir.

"Mustahil bagi (Tan Sri) Khalid Ibrahim mahu membawa orang-orang Azmin ke dalam exconya. Ini ibarat membunuh diri. Jadi lebih baik mereka diketepikan sahaja," kata sumber itu kepada Antarapos.

Selain itu, sumber berkenaan juga memberitahu seorang lagi pemimpin yang dilaporkan agak rapat dengan Azmin, iaitu Haniza Mohamed Talha (ADUN Taman Medan) juga tidak dicalonkan.

Malah kedudukan Haniza selaku Timbalan Speaker DUN Selangor juga menjadi tanda tanya. Ada kemungkinan kerusi berkenaan akan diserahkan kepada calon dari PAS.

Sebaliknya, hanya dua exco yang sebelum ini menyokong kuat Khalid, iaitu Elizabeth Wong (ADUN Bukit Lanjan) dan Rodziah Ismail (ADUN Batu Tiga) akan dikekalkan.

"Khalid sudah tentu akan mengekalkan exco yang tidak banyak mempersoalkan cara beliau mentadbir. Jadi dalam hal ini, kedudukan Rodziah dan Elizabeth memang selamat.

"Lagipun mereka ini senang bekerja dengan Setiausaha Politik Khalid Faekah (Husin)," kata sumber itu.

Dua lagi exco, iaitu ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari dan ADUN Seri Andalas Xavier Jayakumar digugurkan kerana dipercayai berkaitan dengan prestasi buruk terutamanya membabitkan isu pasir dan air yang gagal ditangani mereka dengan baik.

"Ini peluang bagi Khalid melepaskan dirinya daripada tuduhan tidak cekap mentadbir Selangor. Isu pasir umpamanya, hasil kerajaan negeri tidak mencapai sasaran manakala kes kecurian terus menjadi-jadi.

"Isu air pula menjadi duri dalam daging. Bagi Khalid, Xavier sebagai exco yang bertanggungjawab gagal menangani masalah air dengan baik," kata sumber itu lagi.

Perseteruan di antara Azmin dan Khalid sebenarnya bukan perkara baru. Khalayak mengetahui bahawa Azmin sejak dulu lagi bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.