Thursday, July 4, 2013

Pengiraan Undi PRK Kuala Besut Disiar Secara Langsung


Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat ini untuk membenarkan RTM membuat liputan proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut nanti.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha itu bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil.

"RTM adalah media kerajaan dan kita patut dibenarkan untuk berada di dalam bilik pengiraan undi sehinggalah keputusan diumumkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Seminar Media dan Pilihan Raya Umum 2013 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

*Bukti BN telus dan jujur dalam proses Pilihanraya.. Berani kerana benar, bukan macam puak pembangkang yang cakap tak serupa bikin!

Polis Edar Foto Suspek Pencuri Rumah Khairy

Lakaran wajah suspek pecah masuk kediaman Khairy Jamaluddin diedarkan oleh polis.

Polis semalam mengedarkan lakaran wajah dua suspek yang dipercayai terbabit memecah masuk rumah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di Bukit Damansara, Sabtu lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 30-an dikenal pasti berdasarkan gambaran yang diberikan oleh pembantu rumah yang melihat mereka pada hari kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata polis meminta orang ramai yang melihat atau mengenalpasti wajah kedua-dua suspek terbabit supaya menghubungi balai polis terdekat.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mengenalpasti tiga kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah di kawasan itu membabitkan dua kumpulan yang didalangi rakyat tempatan dan satu kumpulan yang didalangi warga Colombia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan mengawasi kediaman itu sewaktu Khairy dan isterinya tiada di rumah, kecuali seorang pembantu rumah.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, empat lelaki dipercayai menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja, menceroboh rumah menteri berkenaan dengan memanjat tembok sebelum masuk menerusi pintu hadapan yang tidak berkunci.

Pembantu rumah yang berada di dapur ketika kejadian berlaku sempat melihat wajah dua daripada suspek terbabit sebelum bertindak menghubungi majikannya. -BH

Mohamed Morsi Digulingkan


Tentera Mesir pada Rabu telah melancarkan rampasan kuasa (kudeta) terhadap Presiden Mesir Mohammed Morsi sekitar jam 2 pagi waktu Malaysia.Kini negara yang mempunyai lebih 10,000 rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar berdepan ketidaktentuan selepas perlembagaannya digantung.

Video http://youtu.be/vxDvR2PTZm8



Panglima tentera Jeneral Abdel Fattah el-Sisi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh semua media kerajaan memberitahu hak Morsi sebagai presiden telah terlucut.

Beliau juga mengumumkan sebuah kerajaan sementara (interim) dibentuk sementara sebelum pilihanraya baru diadakan.

Sewaktu berita ini ditulis jam 4 pagi, keadaan terkini di Mesir wujud dua himpunan melibatkan ratusan ribu rakyat, satu pro Mursi di Nars City, dan satu lagi anti Mursi di Dataran Tahrir yang jaraknya kurang 20 kilometer.

Lebih 16 orang terkorban Selasa selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang Morsi di Universiti Kaherah.

Tentera Mesir kini mengerakkan ratusan kereta kebal membuat kepungan di laluan utama di negara itu.

Belasan pemimpin utama gerakan Ikhwanul Muslimin, penyokong kuat Morsi, dilaporkan ditahan oleh tentera Mesir.

Sehingga kini keadaan lebih 10 ribu rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar masih belum diketahui.

Dua tahun lalu, ketika revolusi pertama rakyat Mesir mengulingkan Hosni Mubarak, kerajaan melaksanakan misi perpindahan terbesar rakyat Malaysia dengan membawa pulang kesemua mereka ke tanah air.

Setakat awal pagi ini juga masih belum ada kenyataan terbaru dari Wisma Putra mengenai keadaan rakyat Malaysia di sana.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan Morsi dalam satu kenyataan bertegas untuk mempertahankan jawatannya sebagai pemimpin negara ini, yang dipilih secara sah serta akan mempertahankan Perlembagaan dengan nyawanya.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tengah malam tadi, Mursi memberi amaran sebarang tindakan melanggar proses demokrasi yang dilaksanakan melalui pilihan raya pada tahun lepas, akan membawa Mesir ke kancah bahaya.

“Harga mempertahankan kesahihan demokrasi adalah nyawa saya. Kesahihan ini merupakan jaminan untuk mempertahankan negara," katanya dalam ucapan selama 45 minit tersebut.

Beliau berkata demikian ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di seluruh negara masuk hari ketiga bagi mendesaknya meletakkan jawatan.

Penyokong Morsi turut mengadakan perhimpunan sehingga menyebabkan berlakunya pertempuran dengan penunjuk perasaan anti kerajaan, yang menyaksikan 16 orang maut setakat ini dan beratus-ratus lagi cedera di Universiti Kaherah.

Ketua Tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, kelmarin memberi Morsi tempoh 48 jam untuk memenuhi permintaan penunjuk perasaan, sebelum pihak tentera campur tangan dalam rusuhan tersebut.

Walaupun tidak merujuk secara langsung tentang kata dua yang diberikan oleh Abdel Fattah dalam ucapannya itu, namun Mursi dalam satu mesej yang diposkan dalam akaun Twitternya meminta pihak tentera menarik balik kenyataan tersebut.

“Morsi menegaskan tentang kesahihan jawatannya di sisi Perlembagaan dan menolak sebarang cubaan untuk melanggarnya.

“Tentera digesa menarik balik amaran mereka dan menolak sebarang tindakan mengikut pengaruh dari dalam atau luar negara," kata mesej itu.-Agenda Daily