Thursday, August 1, 2013

Khairy Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang Chua Boon Huat


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Chua Boon Huat yang meninggal dunia pagi tadi.

“Takziah kepada keluarga Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, yang meninggal dunia kira-kira jam 3.00 pagi tadi setelah mengalami kemalangan di LDP.

“Beliau seorang bintang hoki yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan merupakan seorang atlet yang cemerlang, berdisiplin, sentiasa positif dan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda.

“Terima kasih, Boon Huat. Jasamu akan sentiasa dikenang oleh negara,” katanya di dalam tweet terbaru beliau.

Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar lori siram pokok di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Jurucakap polis Petaling Jaya berkata kereta Proton Perdana dipandu Chua, dipercayai terlanggar sebuah lori tangki air, di LDP dalam kejadian 2.25 pagi itu.

Beliau berkata Chua mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Chua merupakan antara pemain hoki negara paling lama yang mula beraksi untuk skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun pada 1998.

Wednesday, July 31, 2013

Tomboy Video Raya Bersama Anjing Ditahan


Maznah Mohd. Yusof, jurulatih anjing yang dipercayai terlibat dalam rakaman video menghina Islam bertajuk '1 Hari Di Hari Raya' ditahan polis petang tadi.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Bukit Beruntung kira-kira pukul 3 petang sebelum dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Khairy Hadiahkan Lagu Ronan Keating Kepada Khir Toyo


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin enggan mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang mengatakan bahawa pergerakan itu memerlukan ketua yang baru kerana Khairy gagal menarik golongan muda mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum lalu.

“Saya tak nak cakap panjang. Saya nak suruh dia dengar lagu Ronan Keating berjudul “When you say nothing at all”, katanya kepada FMT di majlis berbuka puasa anjuran pergerakan pemuda Umno di Masjid Assyakirin, KLCC petang semalam.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan mahu Dr Khir hayati liriknya, “You say it best, when you say nothing at all”.

Dua hari lepas Dr. Khir yang kalah kepada Khairy pada pemilihan ketua pemuda pada tahun 2009 berpendapat Pemuda Umno perlukan pemimpin yang ada idea baru dan bukannya pemimpin hebat kerana yang lebih penting boleh menarik sokongan pengundi muda kepada BN dan Umno.

Katanya kepada FMT, Khairy popular tetapi BN kalah, Pemuda Umno perlukan pemimpin yang sebenar dan bukannya popular.

Sehingga hari ini, Khairy belum mengesahkan lagi sama ada akan mempertahankan jawatan ketua pemuda yang akan dipertandingkan pada 28 September ini.