Friday, March 13, 2009

Nizar & Orang Pas Patut Contohi Semangat Rasulullah S.A.W


Datuk Seri Nizar Jamaluddin akhirnya terpaksa keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar Perak. Beliau akur dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh SUK Negeri Perak dengan meninggalkan kediaman tersebut dan menyerahkan kenderaan-kenderaan rasmi Kerajaan Negeri walaupun Pakatan Rakyat tetap akan menggunakan kediaman rasmi tersebut sehingga 27 Februari ini.

Bersyukur kepada Allah kerana Nizar masih mempunyai sedikit hati dan akal yang waras untuk akur kepada arahan tersebut walaupun umum mengetahui penentangan beliau terhadap keputusan Sultan Perak dan Menteri Besar Perak melebihi segala-galanya. Ini berikutan arahan beliau kepada penyokong-penyokongnya supaya terus berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.

Bila dilihat kepada arahan beliau dan beberapa perkembangan di Negeri Perak pada masakini, seolah-olah dilihat seperti ada dendam kesumat yang perlu dilunaskan oleh pihak pembangkang.

Ini bukan sekadar menggantung kehadiran Menteri Besar Perak dan barisan Exco Barisan Nasional (BN) malahan siri ceramah mereka yang meliputi hampir keseluruhan Perak memperlihatkan bahawa politik dendam seolah-olah sudah menjadi agenda keutamaan mereka.

Nizar dan sekutu perlu sedar akan hakikat bahawa takdir, qada’ dan qadar melebihi segala-galanya. Memang benar juga bahawa Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan diubah melainkan mereka sendiri yang berusaha untuk mengubahnya.

Mungkin ini yang menjadi pedoman puak-puak Pas sehingga sanggup berbaring, melontar batu dan mengadakan rusuhan hanya kerana seorang pemimpin mereka yang tidak maksum dilucutkan jawatan oleh Paduka Seri Sultan Perak.

Sepatutnya, Nizar dan sekutunya perlu belajar daripada kisah peperangan yang cukup terkenal di zaman Rasulullah S.A.W iaitu Perang Uhud yang mana tentera Islam telah kalah dan baginda sendiri mengalami kecederaan dalam peperangan tersebut.

Baginda sangat sedih bukan hanya disebabkan kalah kepada tentera kafir Quraisy malahan bapa saudara baginda, Saidina Hamzah telah dibunuh dengan kejam oleh Hindun.

Akibatnya, sebagai manusia Rasulullah telah menyimpan dendam yang teramat sehinggakan baginda berharap sekiranya berlaku peperangan dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam maka baginda hendak menyiksa kafir Quraisy dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang Arab.

Pada waktu inilah turun firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan kalau kamu mengadakan pembalasan, balaslah seperti yang mereka lakukan terhadap kamu. Tetapi kalau kamu tabah hati, itulah yang paling baik bagi mereka yang berhati tabah (sabar). Dan hendaklah kau tabahkan hatimu, dan ketabahan hatimu itu hanyalah dengan berpegang kepada Allah. Jangan pula engkau bersedih hati terhadap mereka, jangan engkau bersesak dada menghadapi apa yang mereka rencanakan itu." (Surah An-Nahl : 126 - 127)

Maka, apakah pengajaran yang dapat kita semua umat Islam dapat ambil? Sabar itu melebihi segala-galanya.

Kerajaan BN samada di Perak atau Persekutuan, walaupun provokasi oleh Pakatan Pembangkang cukup kuat terutamanya Misi 16 September yang dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin BN tetap sabar dan akhirnya mungkin inilah hikmah dan kejayaan di sebalik kesabaran tersebut.

Berbalik kepada isu Negeri Perak. Nizar secara terang-terangan sudah tidak menghormati sistem Beraja yang telah bertapak kukuh sejak ratusan tahun yang lampau di negara ini. Ingin penulis ambil kesempatan untuk menerangkan bahawa di zaman Rasulullah S.A.W, baginda cukup arif dan memahami sensitiviti sistem pemerintahan beraja.

Apabila agama Islam telah bertapak kukuh di Tanah Arab, maka tibalah masanya utusan-utusan Rasulullah dihantar untuk bertemu raja-raja yang masih kafir. Mana-mana yang menolak tawaran untuk menerima ajaran Islam setelah diadakan rundingan; maka penyelesaian terakhir adalah perang.

Justeru, apa yang ingin disampaikan ialah pertama; Rasulullah S.A.W amat mementingkan diplomasi dalam setiap perkara agar agama Islam kekal sebagai agama terbaik dalam kehidupan manusia.

Sultan Perak telah berdiplomasi dan menggunakan segala ilmu yang baginda ada untuk memberikan perkenan terhadap KerajaanBN. Kedua, Nizar dan sekutunya sanggup untuk ’berperang’ dengan Sultan Perak semata-mata kehendak politik mereka tidak dapat dipenuhi.

Sultan Perak adalah beragama Islam dan dengan jelaslah bahawa syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah telah dilanggar oleh beliau, seorang manusia yang tidak maksum.

Bagi warga Perak, tidak menjadi sebarang persoalan sekiranya Nizar dapat mentadbir dengan baik, berlaku adil kepada semua pihak, memberikan keyakinan dan kesenangan untuk umat Islam beribadah. Tetapi, apabila hak-hak rakyat terjejas, keadilan kepada bangsa-bangsa yang ada dalam negeri Perak terjejas, masjid-masjid menjadi medan untuk membentuk kebencian, maka terimalah padah dan tulah Baginda.

Jangan pula sehingga berlaku musibah Allah kepada mereka akibat kejahilan beliau dan sekutunya barulah pada waktu itu mereka menyesal. Renung-renungkanlah.

Petikan dari laman web Pemuda Umno Malaysia

No comments: