Saturday, June 26, 2010

0 PM: K'jaan tidak akan keluar lesen judi sukan




Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka akan menerima keputusan tersebut.'

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Friday, June 25, 2010

3 Tidak wajar desak Khairy letak jawatan



KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mendesak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu sebagai tidak wajar.

Sambil turut menyifatkan desakan berkenaan tidak munasabah sama sekali, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, soal 'menjual bangsa sendiri' tidak timbul.

''Ia kerana Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO merupakan antara ahli Parlimen pertama membantah cadangan pengecilan penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pengajian mereka ke luar negara.

''Pengecilan penawaran biasiswa ke luar negara tajaan JPA akan memberikan impak besar terhadap peluang pelajar Melayu dan bumiputera terutamanya mereka yang benar-benar cemerlang bagi mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Reezal Merican mengulas kenyataan Ibrahim yang mendesak Khairy meletakkan jawatan apabila Ketua Pemuda UMNO tersebut mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa JPA.

Semalam Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kenyataan balas Khairy terhadap Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas semalam adalah dengan niat bagi memperjelaskan keadaan sebenar berkaitan kenyataan oleh Ka Siong dalam konteks yang lebih tepat.

''Ia sekali gus bagi menjernihkan suasana agar ia tidak menjadi salah tanggapan dan polemik yang berpanjangan.

''Selaku Ketua Pemuda UMNO, Khairy tentu sekali mendokong asas perjuangan parti yang tidak pernah menolak, tidak pernah berkompromi dan jauh sekali membelakangkan kepentingan agenda Melayu dan bumiputera,'' katanya.

6 Siapa Ibrahim Ali ?




Presiden Perkasa bukannya satu jawatan yang boleh membuat Ibrahim Ali sewenang wenangnya membuat kenyataan mengarahkan mana mana Ahli Parlimen BN meletakkan jawatan atau berhenti dari menjadi ahli Parlimen. Siapakah Ibrahim Ali , beliau bukanlah ahli UMNO dan beliau Adalah pembangkang yang bertanding di atas tiket Pas dan keluar dari Pas menjadi ahli Bebas.

Setelah melompat dari ahli UMNO menjadi pembangkang menyertai semangat 46 kemudian masuk balik UMNO dan lompat kembali kepada PAS dan kini lompat lagi sehingga tidak ada lagi tempat untuk melompat akhirnya menubuhkan Perkasa untuk menyelamatkan politik beliau yang kini sudah tidak bertapak.

Menuduh Khairy Jamaluddin menjual bangsa Melayu sememangnya satu tuduhan murahan yang sebagaj mahu mempopular kan diri dan adalah merupakan tuduhan yang jahat, Khairy Jamaluddin yang memperjuangakan agar biasiswa JPA tidak di mansuh kan kerana ramai anak Melayu yang mendapat Biasiswa berkenaan diputar belit kan Kenyataan Khairy ini untuk mengelirukan rakyat. Sebenarnya tidak langsung ada isu bahawa Khairy meminta Biasiswa MARA di mansuhkan dan langsung tidak menyentuh mengenai isu itu.

Bantahan Pemuda mengenai lesen judi juga membayangkan Khairy berjiwa Melayu dan sebagai Ketua Pemuda UMNO sikap Khairy memperjuang hak Melayu tidak perlu dipertikaikan, Ibrahim Ali jika mahu meraih populariti carilah cara yang lebih baik dan bukan hanya sekadar membuat andaian sahaja.

Tuduhan Ibrahim Ali bahawa Khairy Jamaluddin berkompromi mengenai kepentingan Melayu dengan ketua Pemuda UMNO sdr Wee Ka Siong sebenarnya sememangnya tidak berasas. Ibrahim Ali tidak perlu mencuba ke populariti beliau dengan cuba melagakan Pemuda MCA dan Pemuda UMNO. Mereka adalah dari gabungan BN dan selaku Pengerusi Pemuda BN , Khairy berhak mempertahankan kebenaran khususnya apabila Kenyataan Ketua Pemuda MCA di salah ertikan oleh Presiden Perkasa.

Thursday, June 24, 2010

0 Lesen Pertaruhan Sukan Bolasepak

Dari Meja Ketua Pemuda UMNO Malaysia

Sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tawau pagi tadi, saya telah mengumumkan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) berhubung isu lesen pertaruhan atau judi sukan bolasepak.

Walaupun pendirian ini telahpun disampaikan kepada pucuk pimpinan melalui saluran dalaman sebelum ini, kini saya rasa terpanggil untuk menyatakan pendirian Pemuda UMNO secara terbuka kerana masih ada tekanan dari pihak-pihak tertentu untuk menjayakan permohonan Ascot Sports. Syarikat itu juga telah memberi gambaran kononnya mereka telah menerima kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi dengan menawarkan pertaruhan bagi perlawanan bolasepak.

Memandangkan YAB Perdana Menteri masih memberi ruang untuk maklum balas umum mengenai perkara ini, maka Pemuda UMNO mengambil kesempatan ini untuk melahirkan pendirian kami berdasarkan kepada kebimbangan generasi muda.

Pendirian Pemuda UMNO mengambil kira beberapa perkara, antaranya:

1) Lesen pertaruhan ini tidak diterima dengan baik oleh majoriti rakyat Malaysia tidak kira agama. Sudah tentunya umat Islam membantah sebarang cadangan sebegini kerana ia bertentangan dengan ajaran agama disamping tidak yakin dengan jaminan bahawa orang beragama Islam tidak akan terlibat dengan gejala judi ini, walaupun dikendalikan oleh pengusaha berlesen.

Bukan sekadar itu, ramai orang bukan Islam juga tidak bersetuju dengan cadangan pemberian lesen ini, lebih-lebih lagi apabila ada suara yang menyatakan bahawa judi itu adalah sebahagian dari budaya mereka.

2) Hujah bahawa judi sudahpun menjadi perkara yang lazim melalui pasaran pertaruhan haram yang berleluasa juga dapat disanggah apabila kita melihat penguatkuasaan yang berkesan dalam dua minggu yang lepas ini. Isunya bukan sama ada judi itu adalah sebahagian daripada realiti lantas wajar dihalalkan, tetapi yang penting adalah iltizam untuk menguatkuasa undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan jenayah ini. Mutakhir ini kita membaca laporan mengenai serbuan dan operasi pihak polis membanteras gejala judi habis-habisan. Ini membuktikan bahawa jika ada komitmen dan iltizam, maka masalah judi haram boleh ditangani. Pemuda UMNO di sini juga menggesa agar penguatkuasaan yang kita saksikan akhir-akhir ini bukan bermusim dek kerana isu lesen pertaruhan ini hangat atau musim Piala Dunia, sebaliknya penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan.

3) Persoalan juga timbul mengapa Ascot Sports telah membuat kenyataan mengenai lesen yang kononnya bakal diberi kepadanya tanpa sebarang kelulusan dari Kementerian Kewangan? Bukankah sepatutnya lesen ini ditawarkan secara tender terbuka? Alasan bahawa lesen yang diberi ini kononnya adalah untuk memperbaharui lesen yang pernah diberi dahulu tidak boleh diterima sama sekali kerana lesen tersebut telah pun luput. Maka, Ascot Sports tidak lagi mempunyai hak penafian pertama atau first right of refusal.

Oleh sebab-sebab di atas, Pemuda UMNO membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan pemberian lesen judi atau pertaruhan sukan bolasepak dan berharap bahawa Kerajaan akan mengumumkan keputusan muktamad mengenai perkara ini dalam masa terdekat, setelah mengambilkira sentimen dan maklum balas dari rakyat Malaysia.

0 Khairy Pertahan Kenyataan Wee Berhubung Isu Biasiswa




KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Khairy Jamaludin berkata kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berhubung isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak berunusr perkauman sebaliknya bertujuan mempertahankan pemberian biasiswa itu.

Beliau berkata dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kononnya Wee mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan adalah tidak berasas.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, beliau mempertahankan kenyataan Wee kerana telah mendengar sendiri rakaman asal kenyataan itu dan daripada penjelasan yang diberikan juga beliau mendapati tiadanya unsur perkauman dalam kenyataan itu.

"Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan perkauman yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, hak serta kedudukan bumiputera.

"Wee buat contoh, biasiswa JPA ini adalah satu-satunya peluang untuk pelajar-pelajar bukan bumiputera dapat biasiswa dari kerajaan. Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara itu ditarik balik," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen yang turut dihadiri Wee.

Khairy berkata Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa tindakan Wee mempertahankan biasiswa JPA itu sebenarnya turut mempertahankan biasiswa untuk kaum Melayu kerana majoriti mereka yang memperoleh biasiswa adalah kalangan orang Melayu.

"Jadi saya tak faham mengapa ini dipersoalkan. Mungkin cara kenyataan itu dilaporkan boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Wee, saya rasa tak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan itu adalah kenyataan berunsurkan perkauman," katanya.

Wee pula berkata kenyataan beliau tidak sekali-kali mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dan beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan perlu memansuhkan biasiswa Mara.

"Saya kesal kerana pihak berkenaan tidak mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebaliknya cuba mencipta isu perkauman bagi menarik perhatian umum dan menjadi juara hak-hak Melayu," katanya.

Ibrahim yang turut mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, masih berpendirian bahawa kenyataan Wee sememangnya bermaksud mempertikaikan hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, Wee sepatutnya tidak mengheret isu pemberian biasiswa Mara dalam kenyataannya kerana biasiswa Mara adalah hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim juga menafikan bahawa kecaman yang dibuatnya bertujuan mendapatkan publisiti murahan tetapi apa yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Perkasa yang bertanggungjawab memantau semua laporan yang dikeluarkan dalam akhbar termasuk yang berbahasa Mandarin dan Tamil serta blog.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama beliau mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan mempertikaikan aktiviti Perkasa. Sebelum ini beliau juga mendakwa resolusi yang dicapai ketika Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu yang turut dianggotai Perkasa pada 29 Mei lalu sebagai primitif," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, June 23, 2010

0 Tunjukkan Bukti Wahai Si Anwar

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaludin serah kepada rakyat untuk menilai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menyahut cabarannya supaya membuktikan dalam tempoh 48 jam mengenai dakwaannya bahawa anggota Parlimen Bebas diberi imbuhan RM2 juta untuk meninggalkan PKR.

Katanya Ketua Pembangkang itu jelas telah membohongi rakyat bila bercakap di Dewan Rakyat dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional terbabit dalam kes lompat parti itu.

"Pemuda UMNO akan berbincang dengan peguam untuk langkah selanjutnya tetapi kita mahu rakyat membuat penilaian terhadap Anwar yang gagal muncul menjawab cabaran saya itu," katanya di sidang media di lobi Parlimen, petang Selasa.

Ditanya samada satu tindakan laporan polis akan dibuat kerana kegagalan Anwar menyahut cabaran itu, Khairy berkata, "tidak ada apa tindakan tetapi Anwar kena bertanggungjawab terhadap tuduhannya itu, kata ada bukti tetapi tak nak tunjuk bukti."

"Kita belum memikirkan laporan polis terhadap Anwar kerana menyimpan bukti jenayah kerana kalau ianya rasuah merupakan jenayah," jelasnya.

Menurutnya, sekiranya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu gagal tunjuk bukti maka tidak perlulah dibuat laporan polis, dengan sendirinya rakyat tahu Anwar bohong."

Anwar Ibrahim semasa menjawab soalan wartawan di sidang media di lobi Parlimen Khamis lalu berdolak-dalik berhubung dakwaannya bahawa beliau mempunyai bukti beberapa wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibayar RM2 juta.

Katanya beliau tetap akan mendedahkannya kepada umum apabila tiba masanya.

sumber Agendadaily

0 Dewan Rakyat: Masalah Brain Drain Tidak Akan Selesai Jika Pembangkang Terus Beri Persepsi Buruk

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Masalah "brain drain" (penghijrahan tenaga mahir) di negara ini tidak akan berakhir sekiranya pembangkang berterusan memberikan persepsi buruk terhadap pentadbiran negara, termasuk dakwaan wujudnya diskriminasi dalam sektor pekerjaan.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata dakwaan itu memberikan imej buruk negara di mata pakar-pakar dan golongan profesional Malaysia di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

"Bagi saya antara masalahnya ialah pembangkang sendiri tidak ada kepentingan negara sebab tanggapan yang diberi oleh pembangkang kepada anak-anak muda kita yang di luar negara adalah apabila balik ke sini semuanya buruk belaka.

"Diskriminasi, tiada peluang naik pangkat, tiada peluang naik gaji. Persepsi pembangkang sendiri mencemarkan imej negara," katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang sebelum itu mendakwa kerajaan tidak menawarkan insentif menarik untuk membawa pulang tenaga mahir Malaysia di luar negara, bangun mencelah dengan berkata kenyataan Khairy itu tidak bertanggung jawab kerana menyalahkan pembangkang.

Khairy berkata kerajaan tidak pernah lepas tangan dalam menyelesaikan isu "brain drain" ini dengan mewujudkan Talent Corporation bagi menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan termasuk rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi.

"Perkara ini ditangani dalam RMK-10 dengan penubuhan Talent Corporation. Ini satu usaha yang sangat baik untuk melihat bagaimana kita dapat membawa pulang bakat-bakat di luar negara," katanya sambil menambah bahawa masalah brain drain turut wujud di negara India dan China.

Persidangan dewan disambung esok.



-- BERNAMA
 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates