Saturday, February 18, 2012

Chua: Malaysia Akan Bankrap Jika Laksana Buku Jingga


Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa Malaysia akan bankrap dalam hanya dua tahun sekiranya tawaran Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dilaksanakan.

Beliau mendakwa dasar untuk memastikan pendapatan setiap isi rumah mencapai kadar RM4,000 dalam tempoh lima tahun akan menyebabkan hutang negara melebihi 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sejumlah RM93.9 bilion diperlukan setiap tahun untuk memastikan
ianya dibayar kepada 3.0 juta isi rumah untuk memastikan pendapatan terjamin pada kadar RM4,000 sebulan," kata Chua.

Tambahnya, dalam tempoh satu tahun saja pembayar cukai juga perlu membayar antara RM199 bilion hingga RM254 bilion manakala defisit belanjawan negara akan meningkat 27.5 peratus kepada RM617 bilion.

"Malaysia akan bankrap dalam tahun kedua (pentadbiran) Pakatan apabila defisit belanjawan melebihi 10 peratus daripada KDNK dan hutang negara akan melebihi 100 peratus daripada KDNK," katanya lagi.

Chua berkata demikian ketika menyampaikan ucapan buka gelanggang pagi ini, menjelang debatnya dengan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Turut berucap pagi ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memuji "mood menyerang" Chua pagi ini.

Debat anjuran Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan juga badan pemikir MCA, Insap itu, akan berlangsung petang ini.-MK

No comments: