Monday, July 16, 2012

Khairy Saran Pemuda Perhebatkan Politik Khidmat Bakti


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menekankan agar pergerakan itu mengaplikasikan politik khidmat bakti dalam usaha membantu rakyat terutama golongan muda.

Menurut beliau elemen berkenaan merupakan salah satu aplikasi yang cukup baik terutama dalam usaha mendekati golongan muda di negara ini yang mengharapkan segala masalah yang dihadapi mendapat jalan penyelesaian.

“Pada pilihan raya umum yang lalu 12 memang betul generasi muda tidak sokong Barisan Nasional (BN). Saluran 3,4 dan 5 semuanya memihak kepada pembangkang.

“Namun apabila kita mendapat keputusan berkenaan, kita tidak duduk diam sebaliknya merancang strategi bagaimana dalam tempoh 3 hingga 4 tahun untuk kembalikan keyakinan sokongan orang muda terhadap BN.

“Isu perumahan, kerjaya, ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sebagainya kita tampil ke hadapan. Pemuda hari ini tidak boleh buat seperti biasa. Kita kena tunjukkan politik khidmat bakti…..Kita kena selesaikan apa masalah mereka, cari kerja untuk mereka dan sebagainya.

“Kita bangkitkan isu yang rapat dan dekat dengan orang muda baik di bandar mahu pun luar bandar sama sahaja. Kita masuk sembang bersama mereka baik di kedai mamak dan sebagainya untuk membuktikan UMNO dan BN relevan dengan orang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Pemuda UMNO Maran, di sini, hari ini.

Dalam ucapan yang sama beliau turut membidas pembangkang yang sekadar bercakap retorik dalam usaha membangkitkan sokongan rakyat terhadap mereka.

“Sebelum ini perhimpunan Bersih…Semalam himpunan Oren pula dalam usaha menjayakan kempen membantah penyenaraian Fel Global Ventures Berhad (FGVH)…..Namun perhimpunan berkenaan tidak mendapat sambutan dan ini menujukkan rata-rata peneroka Felda amat cerdik.

“Kita tidak bercakap retorik…Insyaallah Pemuda melihat masih ada keperluan untuk generasi kedua Felda dan saya akan bantu untuk menyuarakan perkara ini demi kepentingan bersama,” katanya.

Pada masa yang sama Khairy turut mengingatkan agar jentera Pemuda tidak alpa menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

“Pilihan raya akan datang akan menyaksikan penambahan pengundi muda yang cukup tinggi. Janganlah kita alpa..kalau kita tidak dekati mereka akan hilang. Kita perlu berusaha mencari mereka di mana sahaja untuk pastikan kemenangan BN pada pilihan raya kelak.

“Selain itu marilah kita sama-sama pertahankan kejayaan kita hari ini untuk anak cucu – cicit kita pada masa akan datang. Jangan kita kalah sebelum masuk gelanggang kerana dengki, irihati dan sebagainya. Kekuatan dalam parti perlu ditingkatkan dan dipertahakankan.

“Sesungguhnya Pemuda akan berada dibarisan dapan, berani membawa perubahan, Pemuda sama berdiri teguh di belakang kepimpinan parti untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya. -umno-online

No comments: