Thursday, September 20, 2012

0 DS Najib Mahu Orang Ramai Sokong Demo Pemuda Umno Esok #respect

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru orang ramai agar menyokong usaha Pemuda Umno yang akan mengadakan perhimpunan aman esok bagi mengecam filem Innocence of Muslims dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, filem dan karikatur terbaru membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem yang bersifat anti-Islam, Innocence of Muslims dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad oleh sebuah majalah Perancis, yang telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, ia satu perbuatan yang tidak boleh diterima walaupun atas nama kebebasan bersuara yang merupakan pegangan kuat masyarakat Barat, kerana ia telah mencemar kesucian Islam serta kemuliaan Nabi Muhammad.

Bagaimanapun katanya, dalam umat Islam mempertahankan kesucian agama Islam, pendekatan yang berhemah mesti digunakan dalam melahirkan perasaan tidak puas hati dan bantahan terhadap filem dan kartun itu.

"Bantahan umat Islam secara keganasan dan melampau dalam isu ini sehingga membawa kepada kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah," katanya.

Perdana Menteri sebaliknya, dialog dan kerjasama antara masyarakat untuk memupuk toleransi dan persefahaman perlu dipupuk sepanjang masa sebagaimana yang digerakkan oleh Malaysia menerusi Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Pemuda Umno akan mengadakan protes berasingan daripada Dewan Pemuda Pas bagi mengecam penerbitan filem anti-Islam Innocence of Muslims dan kartun di dalam majalah Perancis Charlie Hebdo, esok.

Khairy berkata, perhimpunan Pemuda Umno, pergerakan Pemuda parti-parti komponen serta lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat esok manakala Dewan Pemuda Pas akan menganjurkan protes di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak
di sini.

Selain parti-parti komponen, antara NGO terlibat dalam protes di pekarangan Masjid Kampung Baru esok termasuk Pertubuhan Peribumi Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Malaysia, Alumni Aspirasi dan Belia 4B.

Dalam pada itu, Najib berkata, MT Umno turut mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman sosial Twitternya yang mempertikaikan tindakan umat Islam membantah dan menentang filem Innocence of Muslims.

Najib berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu jelas memperlekehkan umat Islam dan tidak menjaga sensitiviti agama negara ini.

"Kenyataan pemimpin ini jelas memperlekehkan umat Islam dan menunjukkan DAP tidak peka kepada isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam," katanya.

Najib turut mempersoalkan keikhlasan Khoo Ham yang memohon maaf atas keterlanjurannya melalui Twitter, hari ini.

"Dalam isu agama kita tidak boleh cakap sebegitu dan bila timbulkan kemarahan, kita begitu senang memohon maaf," katanya.-Sinar Harian

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates