Monday, December 3, 2012

2 KJ: Pemuda Tak Akan Khianati Parti


Pergerakan Pemuda UMNO berikrar untuk tidak memilih jalan khianat apabila dihadapkan pilihan antara harapan peribadi dengan kesetiaan kepada parti.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO menyerahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan mutlak Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menentukan soal calon pilihan raya umum kelak.

''Kalau Presiden kata Pemuda jadi calon, kita jadi calon, tetapi kalau Presiden kata jangan jadi calon, kita sokong parti dari belakang dengan penuh kesetiaan.

''Pemuda tidak buta untuk memilih jalan khianat apabila dihadapkan pilihan antara harapan peribadi dengan kesetiaan kerana tonggak kesetiaan lebih penting dalam perjuangan kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sabtu.

Khairy kemudiannya mengajak para perwakilan dan pemerhati yang berada di Dewan Merdeka untuk merenung kesetiaan mereka yang tidak memegang apa-apa jawatan tetapi tetap setia bersama parti.

Katanya, ini berbeza dengan segelintir pihak yang memegang jawatan parti apabila tidak dipilih sebagai calon melakukan sabotaj, merajuk, mengugut dan keluar parti semata-mata kerana hajat di hati tidak dipenuhi.

''Sidang perwakilan, ramai di luar sana yang mengikuti persidangan dengan hanya menonton televisyen, membaca melalui internet serta kakak-kakak yang sanggup bersila di ruang legar berjam-jam lama di luar sana dan abang-abang yang bersandar di tiang dewan yang tak punya apa-apa jawatan tetapi mereka tetap setia dengan parti.

''Itu erti kesetiaan sebenar, mereka adalah muka-muka yang tak dikenali atau disanjung tetapi tetap cekal menjunjung kesetiaan,'' jelasnya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan dan orang ramai yang menonton di skrin besar di luar dewan.

Khairy dalam pada itu menambah, berhubung soal calon tersebut, beliau cukup menginsafi maksud doa yang selalu dibaca iaitu 'Allah tidak akan memberatkan seseorang dengan apa yang tidak terdayanya.'

Sehubungan itu, beliau mengajak sidang perwakilan supaya merenung kembali apa yang telah berlaku ke atas parti untuk dijadikan pengajaran.

Ketua Pemuda UMNO itu kemudiannya mengakhiri ucapan beliau dengan membaca dua potong pantun beliau:

''Anak raja membawa peti,

Peti berisi kayu cemeti,

Kalau tak dapat bagai di hati,

Tetap berjuang sampai ke mati.''

''Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,

Kami Pemuda telah bersedia,

Pantang berundur mengalah jangan.''

Sumber: Utusan

2 comments:

Anonymous said...

Kerana Mamatpengkhianat ni bermaharajalela semasa UMNO dibawah pimpinan Pak Mertua parti UMNO HAMPIR HANCUR

Anonymous said...

jgn ckp sebarangan... klu nak bg org percaya sila kemukakan bukti anon 4:31

setakat main tuduh saja semua org boleh buat mcm2 pertuduhan!

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates