Monday, March 25, 2013

Bubar DUN Selangor : Sandiwara Khalid Jalan Terus...


Kalau nak kira antara sekarang hingga tarikh tamat tempoh parlimen penggal ini pada 28 April,soal samaada kerajaan negeri Selangor nak bubar awal atau tidak Dewan Undangan Negeri sudah tidak beri apa-apa makna.
Paling tidak ia cuma satu usaha perang saraf politik konon Selangor hendak  wujudkan tekanan agar kerajaan pusat bubar segera Parlimen.

Tarikh akhir DUN Selangor ialah pada 22 April.

Cakap-cakap kemungkinan Selangor bubar awal DUN muncul balik bila Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu wartawan mesyuarat Exco Kerajaan Negari akan diadakan esok (Isnin).Mesyuarat Exco biasanya diadakan setiap hari Rabu.

Menteri Besar itu kata bahawa Exco kerajaan Selangor akan bermesyuarat esok untuk menetapkan tarikh pembubaran DUN Selangor jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mengumumkan pembubaran parlimen.

Beliau menjangkakan Najib akan membubarkan parlimen pada Isnin mengambil kira tarikh tamat tempoh DUN Negeri Sembilan tamat pada hari Selasa.

DUN Negeri Sembilan ialah yang pertama tamat tempoh berbanding negeri-negeri lain.

"Kita akan buat keputusan semasa mesyuarat exco jika tiada pengumuman oleh perdana menteri (esok). Jadi sekarang kita amat hampir dengan membuat keputusan," kata beliau pada Majlis Karnival Sukan Beliwanis di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Berdasarkan cakap Khalid itu andaian dapat dibuat,jika hendak bubar juga, ada kemungkinan Selangor bubar DUN  sama ada pada Selasa atau Rabu ataupun dalam minggu ini juga.

Bagaimanapun, jika Kerajaan PKR Selangor mengumumkan pembubaran DUN Selangor minggu ini, keputusan menetapkan tarikh bila pilihanraya negeri hendak diadakan masih terletak ditangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pihak SPR sebelum ini sudah menyatakan pilihanraya berasingan DUN dan Parlimen akan melibatkan kewangan yang besar serta pembaziran masa dan guna tenaga.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan semalam berkata 26 Mei sebagai tarikh terakhir pilihan raya boleh diadakan serentak berdasarkan tempoh 60 hari untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihan raya.

Makanya kalau DUN Selangor bubar dalam minggu ini ia tidak ada bezanya dengan DUN Negeri Sembilan.

Senarionya ialah pi mai..pi mai tang tu juga kerana SPR boleh menetapkan tarikh pilihanraya dalam tempoh 60 hari.

Kalaupun parlimen dibubarkan pada hari akhir 28 April,SPR boleh menetapkan keduanya berjalan serentak sebelum 26 Mei.

-Agendadaily

No comments: