Monday, March 25, 2013

PM Umum Pewujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

Beliau berkata ESSZONE membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau itu berkuat kuasa hari ini.

“Sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini mengumumkan, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan ESSZONE di kawasan timur Sabah merangkumi 10 daerah.

“Sepuluh daerah ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh menteri dalam negeri,” katanya ketika berucap pada perbarisan sempena peringatan Hari Polis ke-206 di Pulapol, Jalan Semarak di sini hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur akan dipengerusikan ketua menteri Sabah dan dibantu seorang ketua pegawai eksekutif serta anggota-anggota yang akan diumum kelak.

-Bernama

No comments: