Sunday, March 24, 2013

Polis Sahkan Datuk Amir Bahar Adalah Panglima Tentera Pengganas Sulu!


LAHAD DATU: Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas.

"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.

Pada Sabtu, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan pencerobohitu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30 pagi.

Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata pihaknyatelah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung ituuntuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.

Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.

Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.

Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.

Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.

Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat,"katanya. -Bernama

No comments: