Saturday, March 30, 2013

0 #Vote4BN PRU13: Teng Sedia Bertanding Menentang Guan Eng #TolakPR


GEORGETOWN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow hari ini menyatakan kesediaan bertanding satu lawan satu dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, beliau menetapkan syarat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja sebagai tanda memberi sepenuh komitmen kepada rakyat di negeri ini.

“Ini demi masa depan Pulau Pinang…pemimpin perlu tunjuk komitmen penuh untuk melaksanakan dasar-dasar demi rakyat Pulau Pinang. Oleh itu Lim Guan Eng perlu tunjukkan komitmen dengan hanya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Menteri mencabar Teng bertanding di kerusi DUN Padang Kota, iaitu kawasan yang pernah dimenangi Teng tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow pada PRU-12.

Beliau yang berterima kasih dengan cabaran ketua menteri itu berkata, Guang Eng lebih popular berbanding dirinya dan tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana 40 kerusi DUN di negeri ini.

Teng yang juga Setiausaha Agung GERAKAN berkata, adalah adil jika pada pertarungan kali ini BN menentukan terma dan syaratnya berikutan dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, DAP mencabar pemimpin GERAKAN di kawasan yang ditentukan parti itu.

Katanya, pada pilihan raya umum 1986, penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding di Parlimen Tanjong, diikuti pada tahun 1990 Kit Siang mencabar mendiang Tun Dr Lim Chong Eu bertanding di DUN Padang Kota.

Pada 1999, Kit Siang yang bertanding di dua kerusi mencabar bekas Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Seri Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan di DUN Kebun Bunga, katanya.

Menyifatkan PRU-13 adalah perjuangan dasar dan bukannya pertarungan personaliti, Teng menjanjikan transformasi ekonomi secara menyeluruh kepada Pulau Pinang jika rakyat memberi peluang kepada BN mentadbir negeri ini.

Mengenai senarai calon BN bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, beliau berkata senarai akhir calon sudah 95 peratus selesai. –Bernama

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates