Friday, June 28, 2013

1 22 Pengganas Lahad Datu Berdepan Hukuman Mati


MO,KOTA KINABALU – Seramai 22 orang termasuk komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat ‘Jeneral’, Datu Amirbahar Hushin Kiram berhadapan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan semasa prosiding sebutan semula bagi merekodkan pengakuan mereka di Mahkamah Tinggi di sini,semalam.

Sebelum ini, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Tawau serta Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tanpa merekodkan pengakuan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 19 April lalu di Kampung Tanduo, Ladang Atlas 2, Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; Kampung Muanad Beluran; Kampung Perigi, Simunul, Bakau, Jalan Lihak-Lihak, Semporna dan Kampung Madai, Kunak.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Datu Amirbahar, Basad H. Manuel, Salib Akhmad Emali, Mohamad Ali Ahmad, Pabblo Alie, Abd. Hadi Mawan, Atik Hussin Abu Bakar, Dani Ismail, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Basil Samiul, Rizman Gulan, Abdul Majil Jubin, Rijmal Salleh, Julham Rashid, Tani Lahad Dahi, Al Wazir Osman@Abdul, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Ismail Yasin dan Binhar Salib Akhmad.

Kesemua mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan antara tarikh dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan denda.

Salib Akhmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas baharu dan melindungi kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 9 Februari dan 25 Februari lalu di Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku, Lahad Datu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 130E dan Seksyen 130K kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan keempat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di hadapan Hakim, P. Ravinthran.

Jumlah kesemua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah hari ini ialah 29 orang termasuk seorang wanita dan seorang lelaki yang berkerusi roda, manakala seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili tidak hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Mereka dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak dengan kawalan ketat pihak polis, iaitu setiap seorang daripada mereka diiringi anggota Unit Tindakan Khas lengkap bersenjata.

Daripada 29 tertuduh itu, 12 daripadanya dipakaikan jaket strip sebagai langkah keselamatan, malah terdapat juga sebahagian daripada mereka dipakaikan penutup kepala semasa dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi dituduh melindungi kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukannya antara 9 Februari dan 22 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Sementara Kadir Uyung dan Lating Tiong dikatakan turut melakukan kesalahan sama pada 4 Mac lalu, pukul 4.30 petang di hadapan Pos Pasukan Gerakan Am Tanjung Labian.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130K kanun sama, tetapi bagi dua lelaki itu hukumannya dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Norhaida boleh dipenjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sementara Kadir dan Lating jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan denda.

Bagi tiga lagi tertuduh, Timhar Hadir, Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh, mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan mereka antara 9 Februari dan 4 Mac lalu di Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 12 Julai ini di Mahkamah Tinggi Tawau untuk merekodkan pengakuan tertuduh yang tidak hadir hari ini, Habil dan 15 Julai ini untuk pengurusan kes bagi menentukan lokasi dan tarikh bersesuaian untuk perbicaraan kesemua tertuduh yang akan dijalankan secara bersama. – Utusan

1 comments:

Anonymous said...

jika terbukti..mereka wajib menerima hukuman. kejamnya polis kita dibunuh tanpa sebab. dah berbohong angkat bendera putih konon nak menyerah.. hukum mati memang pantas.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates