Monday, July 15, 2013

0 Pemuda Umno Desak Tindakan Tegas Pasangan Persenda Islam


Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa agar tindakan tegas dan cepat diambil terhadap pasangan yang mempersendakan Ramadan, Alvin Tan dan Vivian Lee.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pasangan itu jelas telah mengguris perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam tidak kira kenyataan itu dibuat atas apa sebab sekali pun.

"Kali ini jelas ada nama, ada gambar dan malah mereka sendiri telah mengaku dan hari ini mereka telah pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk beri keterangan tanpa menafikan mereka buat perkara tersebut.

"Saya harap supaya ada tindakan yang cepat kali ini. Saya tak faham kalau kes yang jelas, terang dan nyata macam ini pun kita tak boleh ambil apa-apa tindakan," katanya kepada pemberita pada satu sidang media, di sini, Isnin.

Jelasnya, kerajaan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia telah mempunyai peruntukan undang-undang mengenai perkara ini yang membenarkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menghina pihak lain.

"Kes ini amat jelas sekali, kalau kita tanya 10 orang umat Islam di Malaysia sama ada mereka rasa terhina atau marah, saya rasa 10 daripada 10 akan setuju.

"Sekarang tinggal lagi kita mahu lihat tindakan diambil, ini bukan hanya masa ambil keterangan," katanya.

Khairy berkata, tindakan terhadap pasangan itu juga harus diambil walaupun beliau difahamkan pasangan tersebut telah membuat permohonan maaf.

Katanya, ia perlu kerana negara mempunyai undang-undang selain menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Dalam perkara tertentu, walaupun dia minta maaf kita perlu juga ambil tindakan.

"Kalau tidak, kita boleh cakap apa-apa yang mengguris hati orang ramai, selepas minta maaf kita kira perkara itu selesai.

"Saya rasa tak boleh, kes ini sangat serius dan perbuatan ini cukup menimbulkan kemarahan umat Islam," katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menunjukkan reaksi melampau terhadap perkara ini dan mengingatkan orang ramai supaya supaya tidak mengguris sensitiviti mana-mana agama.

Katanya, tindakan yang sama perlu dikenakan kepada sesiapa sahaja termasuk orang Islam yang menghina agama lain.

"Kita tak mahu orang kata kita memilih dalam membuat tindakan," tegasnya.


Pada Khamis, pasangan ini memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates