Wednesday, July 31, 2013

0 Khairy Tempelak Guan Eng Gagal Bezakan PKM Dengan PKC


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak Lim Guan Eng berikutan kegagalan Setiausaha Agung DAP itu membezakan antara pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis China (PKC) yang memerintah republik itu hari ini.

Beliau berkata, tindakan Guan Eng mempertikaikan kerjasama antara Pemuda Barisan Nasional (BN) dan parti pemerintah China itu jelas menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sengaja melakukan tuduhan yang tidak berasas kepada UMNO.

Menurutnya, tujuan Pemuda BN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China adalah untuk meneruskan kesinambungan hubungan diplomatik terutama dalam usaha meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara.

Katanya, jauh beza dengan PKM yang telah melakukan tindakan ganas terhadap rakyat Malaya dan Malaysia, sebelum serta selepas kemerdekaan.

“Saya tidak faham kenapa dia (Guan Eng) tidak boleh membezakan antara kedua-dua entiti tersebut.

”Memang benar pada asalnya ideologinya sama tetapi Parti Komunis China telah melalui perubahan dan setelah Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak memulakan hubungan dengan negara China maka mereka telah pun berhenti memberi sokongan kepada parti-parti luar negara terutamanya di Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majli Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dan Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng hari ini yang mempertikaikan hubungan diplomatik antara kedua-dua Pemuda UMNO dan Parti Komunis China yang disifatkan beliau telah menyerlahkan sikap kepura-puraan dan dwistandard parti terbesar Melayu tersebut dalam usaha-usaha menangani anasir komunisme di negara ini.

Mengulas lanjut, Khairy menjelaskan, soal utama yang tidak ditekan Guan Eng ialah mengenai filem The New Village yang berdasarkan sedutan yang dilihat memberi gambaran positif terhadap pengganas PKM.

“Beliau sentiasa tidak menjawab isu pokok iaitu sensitiviti rakyat Malaysia yang masih lagi sensitif terhadap isu pengganas komunis,” tegasnya.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak justeru, Pemuda UMNO meminta Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada filem itu.

“Tindakan Kementerian Dalam Negeri tepat untuk menangguhnya dahulu. Ini kerana kita lihat Tanda Putera, maka filem itu ditunda dan ditangguh selama satu tahun selepas penilaian semula.

“Dalam hal The New Village, kita mahu perkara sama dibuat juga. Itu perkara yang tidak disentuh Guan Eng kerana dia tidak faham perbezaan PKM dan Parti Komunis China hari ini dalam isu hubungan diplomatik,” katanya.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates