Friday, July 19, 2013

Tanah Bukit Kiara: Raja Nong Chik saman Nurul Izzah


Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memfailkan saman terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan dua lagi atas dakwaan menerbitkan kenyataan fitnah berhubung pembelian tanah di Bukit Kiara.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil pada 17 Julai lepas melalui Tetuan Raja Riza & Associates.

Beliau menamakan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini dan wartawan Malaysiakini Lu Wei Hoong, sebagai defendan.

Media memperoleh writ saman itu hari ini.

Peguam M.Reza Hassan memberitahu pemberita bahawa kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Yeoh Wee Siam.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik, 60, mendakwa Nurul Izzah, 33, telah mengeluarkan kenyataan fitnah serta palsu berhubung pembelian tanah itu pada sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr Ismail di sini, sehari sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu telah diterbitkan di laman web Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei lepas.

Beliau memohon perintah injunksi agar defendan-defendan sama ada melalui dirinya atau ejen-ejennya dihalang daripada mengeluarkan atau menerbitkan perkataan sama yang menfitnah dirinya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, teruk, teladan, satu perintah supaya defendan menerbitkan satu permohonan maaf, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Katanya akibat penerbitan kenyataan itu, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk.

No comments: