Thursday, August 29, 2013

Tanda Putera: Khairy bidas Guan Eng tidak rasional


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana mengamalkan sikap pilih kasih apabila meminta semua pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi, Tanda Putera.

Beliau menegaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu bersikap rasional kerana filem berkenaan memaparkan sejarah negara selepas mencapai kemerdekaan.

"Filem Tanda Putera ini tiada kena mengena langsung dengan DAP. Kenapa Guan Eng terasa? Kenapa perasan sangat? Tak ada kena mengena dengan beliau ataupun (Lim) Kit Siang.

"Ini cerita sejarah. Kalau adapun babak-babak dalam filem itu menggunakan lesen kreatif dengan kreativiti pengarah...itu perkara biasa dalam mana-mana filem sejarah," katanya pada sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan Pulau Pinang semalam yang meminta semua pengusaha panggung wayang di negeri itu supaya tidak menayangkan filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Lim mendakwa filem itu mempunyai adegan yang boleh mencetuskan provokasi apabila beberapa pemuda Cina dipaparkan membuang air kecil di perkarangan rumah Menteri Besar Selangor serta di satu tiang bendera Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairy berkata sikap DAP yang menentang penayangan filem berkenaan juga jelas tidak selaras dengan prinsip parti itu yang sebelum ini lantang memperjuangkan hak demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Bagi saya amat tidak munasabah sebagai parti yang kononnya menjulang demokrasi serta yang sentiasa memperjuangkan kebebasan bersuara, tetapi tiba-tiba bila ada filem yang berdasarkan kepada sejarah...mereka minta supaya tidak ditayangkan di pawagam.

"Semua rakyat harus menonton filem ini. Kalau adapun rasa marah, kita tak marah kepada mana-mana kaum. Tapi kita marah dengan pengganas komunis yang terdiri daripada kaum Cina malah Melayu pun ada...kita marah komunis, pengganas," katanya.

Tanda Putera memaparkan kisah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein lakonan Rusdi Ramli dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman lakonan Zizan Nin berusaha memulihkan negara susulan peristiwa pergaduhan antara kaum pada tahun 1969.

Filem yang dihasilkan pada tahun 2011 itu bagaimanapun tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri yang membuat keputusan menangguhkan tayangannya kerana dikatakan terdapat adegan yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

-Antarapos

1 comment:

Anonymous said...

Ini le pemimpin melayu kita...kerjanya bidas dan amaran. Action memang sure tak ada sebab tak ada teloq.

Poooodah!!! Orang gila lagi terror untuk bercakap.