Tuesday, October 7, 2014

Pelajar Malaysia Diancam Keselamatan Oleh Syiah Di Yaman


Keadaan tidak menentu di Yaman memaksa pihak pengurusan pusat pengajian Darul Quran Malaysia-Yaman di Sana'a menurunkan papan tanda pusat pengajian tersebut demi keselamatan 63 pelajar Malaysia.

Pelajar pusat pengajian itu Mohd Hazim Farhan Zul Aznal, 14, ketika menceritakan pengalaman itu berkata, papan tanda berkenaan diturunkan apabila pihak pengurusan mendapat maklumat bahawa puak Syiah berada di kawasan berhampiran.
"Bagaimanapun, selepas papan tanda nama sekolah diturunkan, puak Syiah bertanyakan kepada pengawal Darul Quran kenapa diturunkan papan tanda sekolah.

"Puak Syiah beritahu mereka sudah tahu itu adalah sekolah yang mengajar ilmu al-Quran," kata Mohd Hazim Farhan sambil menambah pihak Syiah seolah-olah memberi amaran kepada pihak pengurusan sekolah berkenaan.

Mohd Hazim Farhan ialah antara 11 pelajar Malaysia di Yaman yang tiba di tanah air hari ini, selepas meninggalkan negara itu ekoran konflik terbaharu melanda Yaman berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak berjaya menguasai beberapa institusi penting di ibu negara itu.

Mohd Hazim Farhan ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.12 pagi dengan penerbangan QR0844 selepas transit di Doha, Qatar bersama sepuluh lagi pelajar Malaysia.

Sembilan daripada 11 pelajar berkenaan disambut keluarga masing-masing di balai ketibaan KLIA sementara dua lagi meneruskan perjalanan dengan penerbangan domestik ke Alor Setar.

Remaja itu menambah, biarpun bunyi tembakan kedengaran dari semasa ke semasa para pelajar Malaysia meneruskan pengajian seperti biasa sehinggalah pihak Kedutaan Malaysia di Yaman memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat sebelum dihantar pulang ke tanah air.

Satu lagi kumpulan 41 pelajar Malaysia tiba di KLIA pada 8.36 pagi dengan menaiki penerbangan berasingan, EK0344 selepas transit di Dubai.

Hassan Abd Rahman, 24, yang merupakan ketua kumpulan pelajar berkenaan berkata, kesemua pelajar Malaysia di Yaman berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada kerana bimbang keadaan tidak menentu di negara tersebut menjadi lebih teruk.

Katanya, beliau mendapat maklumat terdapat dua pelajar Malaysia yang menjadi mangsa rompakan puak Syiah.

"Mangsa diacukan senjata selain telefon bimbit dan wang tunai mereka dirampas. Pelajar berkenaan dirompak ketika di jalanan. Mujur tempat tinggal, perjalanan kami dari universiti ke Kedutaan Malaysia dan perjalanan ke lapangan terbang selamat," katanya sambil mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membantu mereka pulang ke tanah air.

Hassan menambah kumpulan 41 pelajar yang diketuainya terdiri daripada pelajar dari empat universiti iaitu Universiti Iman, Universiti Ulum, Universiti Sana'a dan Universiti Yamaniah.

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia berikutan keadaan semasa di Yaman selain sebagai langkah berjaga-jaga.

Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri bersama-sama Kedutaan Malaysia di Sana'a bekerjasama menyelaraskan operasi berkenaan.

2 comments:

Anonymous said...

menurut berita antarabangsa? 1 juta sunni telah dipancung dan kepala mereka telah dijadikan bola?
demikian kekejaman syiah?

yang sebenarnya syiah telah menjadi mangsa bom bunuh diri beberapa hari lalu puluhan mati

tahniah kerana houthi berjaya menawan Yaman dengan aman..ramai tak suka

saya percaya mereka kaum miskin yang bijak dan berilmu dan mengagumi nasralah dan mereka akan mencontohinya

Anonymous said...

ikhwan patut belajar dari mereka untuk menang...rakyat menyokong mereka...kita lihat sapa yang kena