KUALA KRAI, 14 Julai (Bernama) -- Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi Selasa hari ini.
Sembilan pusat pengundian dibuka untuk pilihan raya kecil itu melibatkan 27 saluran dalam proses yang diselia pegawai dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Adnan Hussin, yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai.
Sebahagian besar daripada 12,293 pengundi, kecuali 25 pengundi pos, dijangka keluar awal untuk memilih wakil rakyat baru bagi menggantikan penyandangnya Ismail Yaacob yang meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.
SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.
Bagaimanapun, kedua-dua calon, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Fauzi Abdullah, 50 dari PAS, bukan pengundi di kawasan itu.
Pengundian akan ditutup pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua sembilan pusat mengundi terbabit.
Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.
No comments:
Post a Comment