Thursday, January 28, 2010

KENYATAAN BERSAMA PEMUDA BARISAN NASIONAL DAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Hari ini menyaksikan satu lakaran sejarah di mana keseluruhan pimpinan sayap-sayap pemuda bagi parti-parti politik di dalam Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat bersepakat untuk mengeluarkan satu kenyatan bersama bagi mengutuk insiden-insiden serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

Saya (Khairy Jamaluddin) selaku Pengerusi Pemuda Barisan Nasional mengucapkan syabas dan terima kasih di atas persefahaman dan persetujuan yang dimeterai oleh semua pihak yang telah menampakkan kematangan politik di kalangan pemimpin-pemimpin generasi muda masa kini dengan meletakkan perpaduan negara mendahului perbezaan fahaman politik.





www.rembau.net.my

= = = = =

KENYATAAN BERSAMA PEMUDA BARISAN NASIONAL DAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Kami, barisan kepimpinan sayap pemuda bagi parti-parti politik di Malaysia, mengambil ketetapan untuk bersepakat dan bersatu hati bagi mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang terbabit dengan insiden serangan dan pencemaran ke atas rumah-rumah ibadat. Ini termasuklah kejadian terbaru yang melibatkan dua buah masjid iaitu Masjid Jumhuriyah di Taman Dato’ Harun serta Masjid Al-Imam Tirmizi di Taman Sri Sentosa yang dicemari dengan kepala babi.

Sebarang serangan atau vandalisme terhadap mana-mana rumah ibadat tidak boleh sama sekali dipertahankan. Tindakan-tindakan sebegini merupakan suatu yang melampau, biadap, bacul dan amat bertentangan dengan nilai-nilai agama serta tatasusila yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Kami menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik untuk bangkit bersatu menentang tindakan segelintir puak ekstrim ini yang mahu menggugat kestabilan dan keamanan negara, lantas merobek semangat hormat-menghormati sesama rakyat yang sememangnya tersemai di kalangan kita.

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bertenang dan tidak bertindak berbaurkan emosi. Kami mendesak pihak berkuasa untuk menumpukan segala usaha demi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Adalah penting siasatan ini dijalankan secara bebas tanpa sebarang tekanan.

Kami sependapat bahawa isu ini adalah perkara sejagat yang merentasi batasan agama, politik serta bangsa. Apabila datang ancaman kepada perpaduan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia, kepimpinan muda negara sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik demi mempertahankan kemakmuran dan keharmonian negara.

Pemuda Barisan Nasional
Pemuda UMNO
Pemuda MCA
Pemuda MIC Youth
Pemuda PPP
Pemuda PBB
Pemuda SUPP
Pemuda SPDP
Pemuda PRS
Pemuda PBS
Pemuda UPKO

Pemuda PBRS
Pemuda LDP

Pemuda Pakatan Rakyat
Angkatan Muda Keadilan
Democratic Action Party Socialist
Pemuda Gerakan Dewan Pemuda PAS

3 comments:

Panglima Perang Cyber said...

tahniah !

ini permulaan yg bagus dlm memupuk perpaduan nasional.

diharap dalam isu nama Allah juga kita dapat bersatu macam ni.

dan dalam isu2 lain.

zambri said...

menitik air mata pakcik

AbgTuah said...

HMM..

BAGUS JUGA..

SATU PENINGKATAN KESEFAHAMAN..

HARAP LEBIH BANYAK LAGI KERJASAMA SEBEGINI..

TAPI HATI-HATI TETAP KENA HATI-HATI..