Tuesday, August 3, 2010
Pemuda BN Percaya DAP Pecat Tee Boon Hock Tutup Kesalahan Sendiri
Pemuda Barisan Nasional (BN) melihat tindakan DAP memecat Anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock sebagai "menutup kesalahan besar" yang dilakukan beberapa pemimpin tertentu parti itu.
Pengerusinya Khairy Jamaluddin berkata DAP juga menangani isu itu secara tidak telus kerana membelakangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
"Kita minta penjelasan DAP di atas apa yang berlaku berhubung skandal rasuah itu yang melibatkan surat sokongan secara tidak mengikut prosedur...DAP tidak transparent dan ada menyembunyikan sesuatu dengan tidak meminta SPRM menyiasat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas Pemuda BN, di sini Isnin.
Khairy berkata tindakan mengheret Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim ke lembaga disiplin kerana kenyataannya menerusi Twitter juga menunjukkan Tee bukan dalang sebenar dalam kes tersebut.
Sabtu lepas, DAP memecat Tee berkuat kuasa serta merta dipercayai berhubung isu salah guna kuasa membabitkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak MPK.
Akhbar sebelum itu melaporkan seorang anggota majlis perbandaran tersebut didakwa menggunakan kepala surat dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya mendapatkan kontrak MPK.
Ekoran pemecatan Tee, Teng mengeluarkan kenyataan berbahasa Inggeris menerusi Twitter yang berbunyi "OMG! Culprit freed" (Oh Tuhanku! Dalang dilepas).
Sementara itu mengenai isu berlainan, Khairy berkata pergerakan itu akan membentangkan laporan Makmal Pemuda BN pada 27 Ogos ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan majlis dijangka turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Orang ramai terutama golongan muda dijemput untuk menghadiri majlis itu dan mereka boleh mendaftar secara online melalui laman media sosial Facebook dan Twitter selain mendaftar terus di ibu pejabat Pemuda BN dan komponennya," katanya.
Makmal khas itu diwujudkan untuk mengumpul pandangan daripada golongan muda untuk membantu membentuk dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra kepada generasi muda.
Selain itu Pemuda BN turut melakukan Jelajah 1Malaysia untuk membantu rakyat dalam program seperti mengecat dan membaik pulih rumah, flat dan bangunan yang berkeadaan uzur milik golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata pihaknya mensasarkan 1,000 unit rumah di seluruh negara sepanjang tahun ini.- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
dah la KJ pon samo yo 2x5, 5x2 = Bingai
Post a Comment