Monday, November 22, 2010

Muhyiddin : Pertubuhan Silat Harus Main Peranan Penyumbang Modal Insan


Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA (PSSLM). Pertubuhan yang dipimpin oleh DATUK HAJI OMARDIN BIN MAUJU ini yang bergerak aktif sejak dari tahun 1963 dengan 5 anak murid (didaftarkan pada tahun 1969), bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara.


Dengan keunggulan kepimpinan Datuk Mahaguru Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih kurang dari 1 000 000 orang ahli di seluruh dunia dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad (kini Tun) pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai “Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul” . Untuk mencipta sejarah kegemilangan Silat Lincah ini bukannya satu usaha yang mudah.

Pertubuhan-pertubuhan seni silat Melayu harus memainkan peranan sebagai penyumbang pembinaan modal insan bagi generasi akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pertubuhan berkenaan juga perlu berusaha untuk meningkatkan minat generasi muda dalam seni silat di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan di pusat-pusat masyarakat termasuk di masjid-masjid.

"Pada masa sama kita perlu ingat bahawa generasi muda hari ini adalah pewaris agama, bangsa dan tanah air di masa akan datang.

"Mereka perlu disantuni dan diajak menyelusuri kesenian serta disiplin seiring dengan modul pembelajaran silat itu sendiri", katanya pada majlis Perhimpunan dan Penganugerahan Ulul Amri keempat Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di sini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang juga Ulul Amri pertama Silat Lincah Malaysia menyampaikan anugerah Ulul Amri keempat itu kepada Muhyiddin.

Muhyiddin berkata masyarakat tidak harus mengalah untuk mendekati generasi muda serta jangan meletakkan tanggungjawab itu di bahu pemimpin kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Menurutnya modul latihan silat yang bersepadu terbukti mampu membentuk keperibadian jati diri individu yang tinggi dan boleh mempengaruhi ramai masyarakat sama ada orang Melayu mahupun bukan Melayu untuk mempelajarinya.

"Kerajaan dari awal lagi sentiasa menyokong pergerakan pertubuhan seni silat dan seiring dengan usaha itu, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan pertubuhan silat agar ia diiktiraf dan dipelajari serta seiring dengan lunas-lunas Islam sebagai agama rasmi negara," katanya.

Muhyiddin berkata pertubuhan seni silat mendidik ahlinya mempunyai semangat kekitaan iaitu jika dikembangkan lagi dalam konteks kepimpinan, ia akan dilihat sebagai perpaduan secara berkumpulan tanpa mengira aspek politik, ekonomi mahupun kemasyarakatan.

Katanya kemampuan ini secara tidak langsung memperlengkapkan generasi muda bagi membela agama, bangsa dan tanah air pada masa depan, katanya.


Ketua Pemuda Umno Malaysia, YB Khairy Jamaluddin menerima penganugerahan Selempang Kehormat Tertinggi Pertubuhan Silat Lincah.

1 comment:

Helang Buana said...

Salam bro, memang penting sangat seni mempertahankan diri ini. Ia boleh menyatukan orang melayu.

Mohon link kan blog saya.
http://helangbuana.blogspot.com/