Tuesday, March 13, 2012

Ibu Dirang: 'Kenapa Kasi Mati Anak Aku'


Ibu kanak-kanak hilang 1 Mac lepas, Roselyn Alan, 25, pengsan seketika sebaik dihubungi pihak polis yang mengesahkan rangka yang temui Khamis lalu adalah anaknya, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau dikenali sebagai Dirang.

Roselyn yang menangis tidak berhenti lebih sejam selepas menerima panggilan dari pihak polis kira-kira jam 6.40 petang tadi meraung sambil berkata, “kenapa kasi mati anak aku..!!!"


Usaha menemu bual Roselyn gagal apabila dia menangis tidak berhenti. Begitu juga dengan bapa tiri mangsa, Lima Medeng, 25, yang enggan ditemu bual ekoran masih terkejut.

Nenek mangsa, Milnah Jul, 56, berkata, dia dihubungi Roselyn yang ketika itu berada di bawah blok Flet Seri Delima Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini selepas keluar mencari Dirang.

“Roselyn hubungi saya sambil menangis memberitahu polis mengesahkan rangka yang ditemui adalah Dirang.

“Saya terkejut dan tidak menyangka rangka itu adalah Dirang kerana sebelum ini kami sekeluarga lega selepas dimaklumkan polis bahawa rangka yang ditemui adalah rangka orang dewasa,” katanya.

Suasana sedih menyelubungi kediaman mangsa apabila ahli keluarga dan jiran tetangga yang hadir turut menangisi pemergian Dirang yang ditemui dalam keadaan menyedihkan.

Jirannya, Noridah Juliri, 44, berkata, kehilangan Dirang yang dianggap seperti anak sendiri turut meresahkannya sekeluarga kerana keluarga yang dikenali sejak lebih 10 tahun itu seperti keluarganya sendiri.

Menurutnya, Roselyn dilihat tidak senang duduk sehingga mengabaikan anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, dua bulan, sejak kehilangan Dirang 1 Mac lepas.

“Saya terguris dan tidak lalu makan sehingga sama-sama masuk ke ladang kelapa sawit mencari Dirang, apatah lagi ibu yang mengandungkannya tentu risau.

“Berita ini benar-benar menyedihkan kami sekeluarga kerana Dirang sudah seperti anak saya sendiri,” katanya.

Seorang lagi jiran, Merlinda Budin, 22, berkata, sebelum rangka ditemui Khamis lepas, dia bermimpikan Dirang berjalan dalam api.

“Saya bermimpi Dirang berjalan dalam api sambil berteriak ‘Mak cik.. tolong ambil saya...’

“Saya sangat sedih dan tidak menyangka mimpi itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

No comments: