Golongan belia masa kini lebih matang dalam membuat penilaian dalam memilih pucuk kepimpinan terbaik yang mampu memberi pembaharuan bagi menjamin masa depan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, belia semakin bijak memilih pihak mana yang lebih layak memikul tanggungjawab memimpin negara ini.
“ Belia yang sentiasa berada dibelakang kerajaan bukanlah atas dasar paksaan, tetapi mereka sendiri bijak membuat pilihan (memilih kerajaan),”katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Belia Negara 2012 pada hari sabtu, semalam.
Menurut Najib, kejayaan negara bukan sahaja boleh diukur dengan adanya bangunan yang berdiri megah, malah ia dapat diukur dengan nilai kemasyarakatan.
“Golongan belia yang mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi adalah belia yang berhimpun secara aman, melontarkan rasa cintakan keamanan negara, beradab serta menghormati undang- undang negara dan bukan menjadi belia yang suka melakukan keganasan,” katanya disertai dengan sorakan para belia.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.
Pada majlis yang sama, beliau telah menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Perdana Belia Negara sempena Himpunan Jutaan Belia tahun ini.
Tambah beliau, sasaran kementerian tercapai apabila berjaya menghimpunkan lebih kurang dua juta belia dari seluruh negeri.
“Tahun lepas kita telah mencapai sasaran seramai sejuta belia dan tahun ini menterinya (Datuk Ahmad Shabery Cheek) telah berjaya menyahut cabaran saya apabila berjaya mencapai sasaran seramai dua juta belia,” katanya.
Selain itu, Najib turut berkata tema Hari Belia Negara 2012 iaitu ‘Jadilah Esok Lebih Baik Dari Hari Ini’ amat bersesuaian kerana dari semasa ke semasa pihak kerajaan telah berjaya membawa pembaharuan dan pembangunan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
Sumber-KLPOS
No comments:
Post a Comment