Wednesday, July 25, 2012

Khairy: Lagi Dan Lagi...Janji-Janji Populis PR


Inilah yang pernah dibayangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak pembangkang apabila makin dekat dengan pilihanraya akan janjikan apa saja untuk meraih undi. Hatta katanya, "bulan, bintang, cakralawa dan bima sakti boleh jadi modal..."

Hasrat pakatan pembangkang mahu memasukan penurunan harga kereta sebagai sebahagian daripada manifesto PRU13 adalah contoh jelas satu lagi janji-janji populis PR hendak berkuasa.

Janji yang bermodalkan air liur tersebut mahu menghapuskan duti eksais dan duti import kepada kenderaan asing yang masuk ke Malaysia, yang sekaligus membawa kepada penurunan harga kenderaan.

Retorik pembangkang dengar sedaplah, tapi cuba duduk dan fikir sejenak, kereta murah, harga minyak turun, tidak perlu bayar tol, belajar percuma, suri rumah duduk saja dapat elaun, wah ini betul-betul boleh buat orang ramai dibuai mimpi.

Cuma bila kita renung dengan lebih dalam, kita akan sedar, janji-janji PR itu, dibuat dengan cara sama, dalam sidang media, berbekalkan beberapa helai kertas yang diphotocopy untuk dibaca dan diberikan kepada wartawan.

Tidak ada unjuran, tidak ada maklumat detail, dari mana duit hendak dapat tampung semua janji 'bulan bintang itu'.

Dalam kata muda, fikir saja apa yang boleh tarik undi, buat kira-kira sikit, qoute sana-quote sini, buat kenyataan akhbar, panggil sidang media dan selesai.

Orang berjanji, bukan hendak laksana memanglah mudah. Sebab itu jangan terkejut, makin dekat dengan pilihanraya, PR bukan sahaja janjikan harga kereta mudah, silap-silap, mereka boleh janji kereta 'free' sorang sebiji untuk sesiapa yang ada lesen.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, ketika ditanya wartawan di majlis berbuka puasa anjuran Pemuda UMNO Selasa malam turut mempersoalkan janji-janji yang dibuat tanpa menerangkan dari mana hendak dapat duit membiayainya.

Menurut beliau berdasarkan unjuran tahun 2012, jika duti eksais dan duti import kenderaan dimansuhkan, kerajaan akan hilang hasil pendapatan sebanyak RM4.6 bilion.

"Dengan hapus duti bagi kenderaan, ia akan memberi kesan RM4.6 bilion pendapatan kerajaan, (PR) kena jelaskan bagaimana hendak membiayai janji tersebut," katanya di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media pada pagi Selasa berkata janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU-13.

Mengulas lanjut, kata Khairy janji-janji PR perlu dilihat secara keseluruhan, seperti janji mahu menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, royalti tambahan kepada Sabah dan Sarawak, menghapuskan PTPTN, memberian elaun kepada suri rumah dan lain-lain lagi.

"Mereka tidak menerangkan bagaimana hendak membiayainya, perbelanjaan kerajaan perlu ada had, jika tidak negara kita akan menjadi negara bangkap," ujarnya.

Selain itu, menurut Khairy masa depan syarikat pembuat kereta negara, Proton, juga akan menerima kesan dari janji popular PR tersebut.

"Jika kita mansuhkan duti import dan eksais ke atas kereta yang diimport, ia mungkin memberi kesan negatif kepada Proton," Khairy.

Soal Proton, kata Khairy melibatkan puluhan ribu orang kakitangan, vendor dan pengedar yang terlibat dalam industri automotif negara.

"Ia bukan yang kita mahu melindungi Proton selama-lamanya, tetapi apa-apa janji-janji manis ... tanpa perancangan yang sepatutnya boleh akibatkan malapetaka ekonomi." kata Khairy.

Janji hendak turun harga kereta ini baru mukaddimah saja, rasa-rasanya menjelang tarikh pembubaran Parlimen dan hari mengundi pada PRU 13, akan ada puluhan janji manis lagi.

Berjanji bagi orang yang tidak berkuasa macam menahan pukat, kalau kena dan orang percaya nasib baik, kalau tidak pun tak apa, bukannya rugi apapun, modal air liur sahaja...- Helme Hanafi/Agendadaily

Galeri Gambar

No comments: