Monday, October 15, 2012

Nakhaei : Sokongan PAS Untungkan DAP



Seorang bekas pemimpin kanan PAS hari ini menegaskan parti itu tidak mungkin berkerjasama dengan DAP tanpa menjejaskan agenda agama yang dibawa olehnya.

Mantan Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaei Ahmad menolak jaminan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerjasama parti itu dengan DAP “menguntungkan” dan tidak sama sekali menjejaskan agenda Islam PAS.

“Dalam banyak hal, PAS banyak mengalah. Jadi nak sedap hati orang Melayu, PAS kata kerjasama dengan DAP untuk politik sahaja, tapi politik mana boleh dipisahkan dengan dasar-dasar kerajaan, dasar-dasar parti dan juga persefahaman yang telah dijalin antara PAS dan DAP,” kata beliau kepada Antarapos.

Tahun lalu, Hadi terpaksa mengubah slogan parti itu daripada Negara Islam yang digunapakai sejak penubuhan PAS, kepada Negara Berkebajikan.

Langkah itu dilihat sebagai tunduk kepada tekanan DAP yang gusar dasar-dasar Islam PAS akan meminggirkan sokongan pengundi Cina.

Presiden PAS itu juga dilihat ambil mudah dan bersikap lewa terhadap kritikan pemimpin-pemimpin DAP mengenai hukum hudud yang mahu diperkenalkan oleh PAS sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Semalam, Hadi bersetuju dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz bahawa kerjasama dengan DAP menguntungkan parti itu.

Hadi mendakwa kerjasama itu hanya berbentuk politik dan tidak sama sekali memberi kesan kepada perjuangan agama PAS.

Nakhaei menggesa Hadi mengakui hakikat bahawa wujud perbezaan dasar yang ketara antara dua parti itu yang pasti menjejaskan kekuatan Pakatan Rakyat.

Ini, kata beliau, akan menggugat kestabilan negara jika pembangkang menang pilihan raya umum ke 13.

“Kalau begitu, jadi perbalahan dalam kerajaan, tak kuat lah kerajaan tu. Jika tidak ada persetujuan dalam soal-soal asas, (mereka) akan berpecah,

“Nanti DAP mentah-mentah tolak dasar-dasar PAS. PAS pula mahu dasarnya (dilaksanakan) tanpa diubah, sebagaimana yang dia janji pada orang Islam. Jadinya, tidak ada persefahaman di antara mereka,” ujarnya.

-Antarapos

No comments: