Saturday, March 9, 2013
Kenyataan Bapa Saiful Percubaan Bersihkan Moral Anwar Ibrahim
Kenyataan Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari yang memohon maaf kepada Ketua Umum PKR mendakwa bahawa anaknya dipergunakan untuk memfitnah Anwar Ibrahim bagi sesetengah pihak tidaklah memeranjatkan.
Umum mengetahui Anwar Ibrahim sedang menghadapi antara masalah politik terbesar yang kini membelenggu pemikiran dan perjalanan halatuju politik beliau. Kegagalan beliau memperoleh pengesahan daripada perwakilan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini menjadi tamparan yang sangat hebat dalam karier politik beliau.
Selain daripada itu PAS yang terus menerus mempertahankan keputusan Parti Islam itu untuk tidak menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah betul-betul menusuk saraf politik impian Perdana Menteri Pakatan itu.
Kenyataan bapa Saiful Bukhari boleh dilihat sebagai salah satu usaha terdesak di peringkat akhir yang perlu dipergunakan peluang yang ada dengan sepenuhnya oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya untuk mengolah pandangan umum mengenai kegagalan Anwar memenuhi syarat-syarat menduduki kerusi Perdana Menteri.
Antara lain syarat itu ialah bersih daripada sebarang salah laku moral yang kemudiannya boleh dipalitkan kepada Perdana Menteri yang akan menjadi Ketua Eksekutif kepada sebuah negara yang 65% penduduknya beragama Islam. Corak penduduk sedemikian yang majoriti beragama Islam semestinya tidak akan berkompromi dalam persoalan moral melibatkan pimpinan negara apalagi yang dikaitkan dengan seorang Perdana Menteri.
Bapa Saiful Bukhari yang dikenali sebagai manusia yang menghadapi seribu satu masalah melibatkan diri dan keluarga adalah merupakan di antara jalan keluar yang paling mudah untuk dipergunakan oleh Anwar dan konco-konconya.
Kenyataan pusingan “U” Azlan itu bagi sesetengah pihak seperti yang disebut di atas memang sudah dijangka. Namun keistiqamahan Saiful Bukhari sendiri sebagai pihak yang terlibat dilihat akan menyukarkan laluan yang dijangkakan terbuka luas untuk dieksploitasi oleh Anwar dan konco-konconya.
Adalah jelas pertelingkahan keluarga dan kredibiliti bapa Saiful Bukhari yang boleh dipersoalkan oleh banyak pihak menjadikan jalan penyambung hayat politik Anwar Ibrahim tidaklah begitu meyakinkan.
Masyarakat yang mengikuti perbicaraan yang begitu lama dengan penangguhan puluhan kali sebenarnya telah letih dan jelak dengan mainan politik Anwar Ibrahim.
Timbulnya gelagat bapa Saiful Bukhari yang terakhir ini bagi sesetengah pihak menjauhkan lagi sokongan mereka terhadap Anwar dan sebahagiannya pula sudah muak dan tidak bernafsu untuk mengikuti episod selanjutnya.
Rakyat Malaysia sudah memahami hakikat mainan politik Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 lagi. Rakyat disuapkan dengan pelbagai telatah politik yang memualkan dan apa yang disaksikan hari ini tidak lain daripada gandingan lakonan sandiwara politik yang sebenarnya tidak laku lagi untuk dipentaskan.
Bagi setengah pihak masalah moral Anwar Ibrahim tidak akan ada jalan penamatnya. Tutup di kepala ekor pula yang terbuka. Tutup di ekor kepala pula yang terbuka. Begitulah ibarat kisah moral Anwar Ibrahim.
Seperti yang diketahui deretan episod melibatkan moral orang yang akan dijadikan Perdana Menteri oleh Pakatan Rakyat lambat laun akan menemukan buku dengan ruas. Pepatah juga mengatakan sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga jatuhnya.
Pepatah ini dicipta oleh pendita-pendita terdahulu sudah tentunya mempunyai kebenarannya yang tersendiri dan dalam konteks dunia moden kini barangkali rakyat Malaysia boleh lebih awal membuat dugaan siapa yang bakal menjadi tupai tersebut.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Taman Tun Dr Ismail, KL
8 MAC 2013
Labels:
Anwar Ibrahim,
Azlam Mohd Lazim,
liwat,
Saiful
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment