Wednesday, June 24, 2020

Pakatan Harapan Sendiri ‘Bunuh Diri' Bukan Kami Gulingkan - Khairy Jamaluddin





UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengadakan perancangan untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya tertubuh selepas PH 'membunuh diri', susulan pergelutan dalaman antara parti dalam gabungan itu.


Ahli Parlimen Rembau itu berkata, apabila kerajaan PH terbubar dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan beberapa pemimpin PH keluar daripada gabungan itu, pilihan yang ada hanyalah mengadakan PRU atau pihak yang ada majoriti menubuhkan kerajaan.

"Kami tak gulingkan sesiapa, sebaliknya fokus menjadi pembangkang. Namun, peluang muncul sendiri selepas PH membunuh diri dan ketika itu, negara memerlukan sebuah kerajaan tertubuh, selaras Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin tawarkan kepada UMNO dan BN untuk tubuhkan kerajaan, dan kita tiada masalah dengan beliau yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO. Beliau (Muhyiddin) berjaya dapatkan majoriti dan buktikan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudiaan berkenan supaya (PN) menubuhkan kerajaan.

"Memang berdasarkan PRU-14, mandat rakyat pada PH tetapi kerajaan itu sudah tiada. Apabila sudah tiada, pilihannya sama ada diadakan PRU atau pihak yang ada majoriti menubuhkan kerajaan," katanya dalam temu bual bersama BH dan NST, baru-baru ini.

Beliau ditanya mengenai 'Langkah Sheraton' pada hujung Februari lalu serta sama ada beliau bersetuju dengan usaha PN merampas kuasa daripada PH untuk menubuhkan kerajaan.

Khairy mengakui ada pertemuan antara pemimpin UMNO dengan pemimpin parti lain sebelum itu, namun ia bukan bagi merancang rampasan kuasa, sebaliknya berbincang mengenai kebimbangan masyarakat yang wujud ketika PH memerintah.

"Perbincangan itu biasa dalam politik. Bila orang nak jumpa bincang kebimbangan masyarakat Bumiputera dan Melayu pada zaman pemerintahan PH, sebab itu wujud Muafakat Nasional (MN).

"Kita juga bincang soal keresahan dalam isu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), soal pemotongan bantuan terhadap rakyat di bawah Lim Guan Eng dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada tidak timbul kekhuatiran dalam kalangan ahli UMNO untuk bekerjasama dengan pemimpin yang dilabel 'pengkhianat', Khairy menegaskan semua parti dalam PN perlu bersangka baik sesama mereka dalam keadaan sekarang.

"UMNO cukup disiplin dan matang untuk tidak bergaduh di khalayak umum. Kerjasama dengan rakan dalam PN ini kita ambil selangkah demi selangkah," katanya.





Subscribe to our channel here: https://www.youtube.com/c/BroJinggo

Subscribe to news service on Telegram : https://t.me/BroJinggoChannel

Social Media:

No comments: