Tuesday, October 5, 2021

DUN Melaka bubar, pilihan raya dalam tempoh 60 hari!

 


MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai semalam, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.


Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya semalam.


Keputusan pembubaran DUN itu dibuat selepas cadangan yang dikemukakan oleh Sulaiman mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Proklamasi Pembubaran DUN Melaka itu diwartakan hari ini.


"Yang di-Pertua Negeri sudah membuat pertimbangan dan bersetuju membubarkan DUN Melaka pada pada 4 Oktober.


"Cadangan pembubaran DUN itu dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pagi semalam," katanya dalam sidang media di sini, petang ini.


Pada sidang media itu, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.


Ditanya mengenai PRN ketika pandemik COVID-19, Ab Rauf berkata, SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).


Beliau berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan.


Semalam, empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).


Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). -BH