Berikut adalah kenyataan Pemuda UMNO:
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) mengecam sekeras-kerasnya penerbitan filem berjudul Innocence of Muslims oleh Sam Bacile, yang menghina, mengutuk dan memaparkan penipuan tentang peribadi dan ajaran Nabi Muhammad SAW bahkan juga Al-Quran serta para sahabat Baginda Rasulullah SAW.
Kecaman ini adalah penzahiran daripada rasa marah seluruh Umat Islam di negara ini. Filem itu langsung tidak menghormati sensitivi Umat Islam serta batasan di dalam kebebasan bersuara. Sebagai Umat Islam yang mencintai Rasulullah SAW, kami sekali lagi mengulangi kutukan ini dan meminta pihak berkuasa di Amerika Syarikat mengambil tindakan sewajarnya ke atas penerbitan filem ini yang sangat jelas adalah suatu provokasi liar, biadap dan mencemar hubungan dan toleransi antara agama.
Pada masa yang sama Pemuda UMNO berpendirian bahawa segala reaksi dan bantahan hendaklah dengan aman sejajar dengan ajaran Agama Islam yang mengingatkan penganutnya daripada bertindak melampaui batas. Oleh itu, dalam Pemuda UMNO mengutuk filem Innocence of Muslim, kami juga menyelar tindakan keterlaluan sehingga mengakibatkan kematian Duta Amerika Syarikat ke Libya. Ingatlah ketika Nabi Muhammad SAW dihalau serta dibaling batu sehingga berdarah ketika berdakwah di Thaif, Baginda tidak membalas tetapi mendoakan agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada penduduk di sana. Inilah qudwatun hasanah atau contoh terbaik daripada Rasulullah SAW sendiri.
Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan bahawa kami langsung tidak berkompromi di dalam isu yang jelas mencaci Agama Islam seperti filem ini yang begitu menghina Nabi Muhammad SAW. Namun pada masa yang reaksi keterluan tidak menetapi kehendak ajaran Agama Islam kerana Agama Islam itu indah dan mendamaikan.
Sumber: facebook.com/khairykj