Showing posts with label PRK Besut. Show all posts
Showing posts with label PRK Besut. Show all posts

Monday, July 15, 2013

PRK Besut : Pas Kawal Kenyataan Azlan Kepada Media… Takut Calon Salah Cakap!



Pas memutuskan untuk tidak membenarkan Azlan @ Endut Yusof (gambar), calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, membuat kenyataan secara spontan kepada media.

Pengurus Kempen PRK Dun Kuala Besut, Hanafiah Mat berkata, beliau sendiri akan membuat kenyataan bagi pihak Azlan.

“Kita ambil pendekatan ini untuk mengelak kenyataan calon (Azlan) daripada dimanipulasi (oleh pihak musuh),” katanya.

Hanafiah menjelaskan, pihaknya berbuat demikian bukan kerana mahu terlalu melindungi Azlan atau menghalangnya bekerjasama dengan media.

“Dalam keadaan tertentu, calon akan diberi peluang buat kenyataan. Kita cuma tidak mahu kenyataannya dimanipulasi atau disalah erti,” katanya.

Menurutnya, apa berlaku kelmarin adalah satu contoh kenyataan Azlan disalah tafsir oleh media.

“Beliau orang baru dalam politik, mudah tersalah cakap ketika menjawab. Sebab itu, lepas ini beliau tidak akan buat kenyataan spontan lagi. Kenyataan akhbar mesti melalui pengurus kempen,” katanya.

Dalam kenyataan akhbar disiarkan semalam, Azlan, seorang kontraktor yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long, dilaporkan berkata, beliau akan mengupah orang untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat jika beliau dipilih oleh pengundi pada PRK ini, sementara beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada perniagaannya di Kelantan.

Diminta menjelaskan mengenai kenyataan itu, Hanafiah memberitahu, apa yang dimaksudkan Azlan ialah mahu melantik pembantu dan kerani untuk melicinkan tugasnya sebagai wakil rakyat nanti.

“Kenyataan ini jelas dimanipulasi hingga kami buat keputusan mengehadkan kenyataannya dengan media,” katanya.

Menurutnya, jika dipilih, Azlan memutuskan tidak akan mengambil elaun wakil rakyat, sebaliknya akan menyalurkan wang itu untuk tabung bantuan yang akan ditubuhkan bagi bantu golongan memerlukan di Kuala Besut.

“Sebelum ini pun beliau telah banyak menyumbang untuk parti,” katanya. – SH

Thursday, June 27, 2013

PRK Besut Dijangkakan Pada Bulan Puasa?


Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

Pilihanraya Kecil (PRK) ini juga amat penting kepada Barisan Nasional (BN) yang dapat membentuk kerajaan negeri Terengganu hanya dengan kelebihan dua kerusi.

Pada PRU ke 13 baru-baru ini, BN memperolehi 17 kerusi sementara PAS mendapat 14 dan PKR satu kerusi.

Andai kata BN gagal mempertahan kemenangan pada PRK nanti dan PAS memenanginya, kedudukan kerajaan BN di Terengganu akan tergugat dengan masing-masing BN dan pembangkang mempunyai 16 kerusi.

Justeru itu jika PRU 13 dianggap sesetengah pihak ‘ibu pilihanraya’, PRK Kuala Besut juga sama hebat dan penuh cabaran.

Sekiranya SPR mahu mengadakan PRK selepas Hari Raya Puasa, penamaan calon dijangka 15 Ogos – seminggu selepas Aidil Fitri manakala pengundian pada 25 Ogos.

Namun, ada kemungkinan PRK Kuala Besut diadakan lebih awal iaitu penamaan calon pada 5 Julai dan pengundian ditetapkan 14 Julai.

Ini bermakna kempen PRK berlangsung sebelum dan dalam bulan puasa yang dijangka bermula 10 Julai.