Showing posts with label Ribut. Show all posts
Showing posts with label Ribut. Show all posts

Monday, January 7, 2013

AMARAN: Ribut Tropika Menuju Pantai Timur Malaysia...


Bagi rata-rata rakyat Malaysia, nikmat utama tinggal di negara ini adalah kita jarang sangat berlaku tragedi besar libatkan bencana alam sekitar. Kecuali tanah runtuh dan sikit kesan tsunami Aceh pada 2004 dulu, negara ini tidak ada kejadian letusan gunung berapi atau ribut taufan seperti Taufan Sandy di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mungkin sebab itulah, semua relaks walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudahpun mengeluarkan amaran bahawa satu ribut tropika dikenali dengan nama [B]Sonamu[/B] sedang menuju ke arah negeri-negeri pantai timur, khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang, dari arah Laut China Selatan, antara hari ini (Isnin) hingga Rabu.

Menurut Jabatan Meteorologi, ribut itu dijangka mengakibatkan banjir di kawasan-kawasan rendah dalam negeri berkenaan.

Cuaca tersebut juga akan membawa bersamanya angin kencang dengan kelajuan lebih 60 kilometer sejam (kph) dan laut bergelombang yang mungkin menjadi ancaman kepada kawasan tepi pantai.

Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, menggesa semua agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana supaya membuat persiapan bagi menangani hujan lebat yang bakal menjelang itu.

"Angkatan tentera, polis, (jabatan) pertahanan awam dan jabatan kebajikan telah mengerahkan kakitangan mereka sekiranya berlakunya banjir dan orang ramai terpaksa dipindahkan," kata beliau.

"Kenderaan empat pacuan, bot-bot penyelamat, helikopter dan penjana kuasa adalah antara peralatan yang sudah pun ditempatkan di kawasan-kawasan yang mudah dijejas banjir, manakala Jabatan Kebajikan telah menyediakan pusat-pusat pemindahan sementara bagi menempatkan bakal mangsa," tambahnya.

Orang ramai, khususnya para nelayan telah dinasihatkan supaya jangan keluar ke laut atau lakukan kegiatan di tepi pantai.

Mereka yang tinggal di kawasan-kawasan mudah dijejas banjir telah digesa supaya senantiasa berwaspada terhadap amaran-amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, lapor akhbar itu lagi.

"Para penduduk harus mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan jika berlakunya banjir.

"Jika diminta berpindah oleh pihak berkuasa, orang awam harus mematuhi nasihat itu dan jangan tunggu sehingga ke detik-detik terakhir kerana ia boleh menjejas keselamatan mereka," kata Datuk Mohamed Thajudeen.

Laman web Jabatan Meteorologi memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya angin kencang yang boleh mencapai lebih 60 kilometer sejam (kph) dan gelombang setinggi 5.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan, sejak kelmarin hingga hari ini.

Kawasan-kawasan pantai Kelantan dan Terengganu pula mudah dijejas oleh paras air laut.

Menurut AlertNet, yang menawarkan khidmatnya kepada agensi berita Reuters, ribut tropika itu diramalkan melanda Malaysia esok.

SEMENTARA ITU, tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir semasa kejadian ribut tropika Sonamu yang diramal membadai negeri-negeri Pantai Timur bermula Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata sehubungan itu 66 pusat pemindahan akan dibuka di Kuantan, 84 di Pekan dan 31 di Rompin.

Selain itu, semua pegawai daerah telah diarah menguar-uarkan ancaman ribut tersebut kepada penghulu serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing dan melakukan persiapan yang perlu.

Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang, berkata negeri itu juga mendapat bantuan daripada pasukan tentera darat yang berpangkalan di Johor yang akan digerakkan membantu mangsa apabila keadaan memerlukan.

Mereka yang kini ditempatkan di Kem 4 Briged, Kuantan akan menjadi pasukan pertama menghulur bantuan di kawasan terjejas ribut, katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang.-Agendadaily