Showing posts with label TELCO. Show all posts
Showing posts with label TELCO. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Inilah Yang Rakyat Mahukan: Penerangan Dan Cadangan Ketua Pemuda UMNO Mengenai Cukai Pra Bayar


Ramai rakan-rakan Twitter tanya kenapa tidak dimansuh terus service tax untuk perkhidmatan pra-bayar. Kenapa hanya ditangguh? Saya cuba jelaskan. Cukai perkhidmatan lima peratus ini dikenakan sejak tahun 1998 kepada semua syarikat telco. Cuma (selama ini) telco telah tanggung cukai ini tanpa dialihkan kepada penguna.

Cukai ini telah dibayar kepada kerajaan oleh telco tanpa dialihkan tanggungan tersebut kepada pengguna sebagai tambahan kos pembelian produk. Isu terkini timbul bila Kerajaan naikkan service tax ke enam peratus. Maka telco mengambil peluang alihkan semua kos pada pengguna (lima peratus asal + satu peratus baru)

Bagi telco hujah mereka mengapa dikenakan cukai dua kali: cukai korporat DAN kena tanggung cukai perkhidmatan yang patut dibayar pengguna.

Jadi kerajaan melalui Datuk Seri Rais Yatim runding supaya perkara ini ditangguhkan dulu. Kenapa tidak dimansuhkan terus?

Sebab sekiranya dimansuhkan, kerajaan hilang pendapatan. Dan pendapatan ini dibayar oleh telco, bukan pelanggan pun.

Oleh yang demikian, walaupun tidak dimansuhkan ia tidak bebankan rakyat sebab balik pada senario asal iaitu syarikat telco yang bayar dan Kerajaan peroleh cukai. Saya antara yang bantah cukai ini dialih kepada pengguna. Tidak munasabah dalam keadaan ekonomi hari ini juga terlalu mengejut.

Isu cukai senang dimanipulasi dan perkara yang sedikit rumit (untuk) difahami. Sepatutnya penerangan dibuat dulu. Cakap ini tanggungan pengguna sebenarnya. Lepas tu adakan pelan peralihan. Tiga tahun kedudukan sama. Lepas tu satu peratus dulu dialih kepada pengguna.

Setiap tahun mungkin ada tambahan satu peratus. Ada jadual jelas. Dan buat pengecualian total untuk pelajar contohnya. Barulah mudah diterima. Cuma cadangan dari Ketua Pemuda kerdil tapi saya percaya tidak akan mengejutkan dan meletup seperti isu hari ini. Wallahualam.-12/9/2011

NOTA PENGARANG: Kenyataan ini berasal dari tweet Saudara Khairy Jamaluddin dan diemailkan kepada agendadaily oleh brojinggo@gmail.com (aku ler..)

Kad Prepaid: Cukai Enam Peratus Pra Bayar Ditangguh


Kesemua syarikat telekomunikasi hari ini bersetuju menangguhkan caj cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual dikuat-kuasakan Khamis ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata antara cadangan yang dibincangkan bersama TELCO adalah caj enam peratus itu hanya dikenakan kepada pengguna yang membeli pek permulaan prabayar.

"Kerajaan mengambil kira sumbangan sebanyak RM6 bilion oleh TELCO kepada pendapatan negara dari 1998 hingga kini," katanya.

"Perbincangan melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile berlangsung dalam suasana cukup baik, mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas perbincangan kira-kira sejam bersama wakil pengurusan tertinggi syarikat telekomunikasi itu.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Datuk Shazalli Ramly, CEO Kumpulan Digi Henrik Clausen, CEO Kumpulan Maxis Sandip Das dan CEO U Mobile Dr Kaizad Heerjee.

Rais berkata penangguhan itu bagi membolehkan kajian semula dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menentukan bila perkhidmatan itu wajar dikenakan cukai serta kadar yang boleh dikenakan.

"Saya rasa lega bahawa mereka bersetuju untuk menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti bila waktu terbaik bagi pengenaan cukai perkhidmatan dilaksanakan dan di paras mana pengguna perlu membayar sama ada pada ketika membeli kad prabayar pertama atau pada setiap kali membaharuinya," katanya.

Menurutnya semua perkara yang dibangkitkan itu akan dibawa kepada mesyuarat kabinet akan datang.

Sehubungan itu, beliau berharap isu cukai perkhidmatan itu tidak dibangkitkan lagi kerana syarikat telekomunikasi berkenaan sudah menangguhkan pelaksanaan caj itu.

Rais berkata bagi menghargai syarikat telekomunikasi yang membayar RM6 bilion melalui hasil cukai perkhidmatan kepada kerajaan sejak 1998 serta peranannya dalam memberikan perkhidmatan telekomunikasi kepada hampir 26 juta pengguna telefon prabayar di negara ini, beliau akan menyarankan agar kerajaan memberikan penghargaan atas sumbangan tersebut.