Tuesday, June 4, 2013
Azmin Kena Mandi Bunga...
Nasib Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali sejak akhir-akhir ini tak ubah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Malah, ada pihak berpendapat 2013, tahun malang buat Timbalan Presiden PKR itu.
Walaupun berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada PRU 13, ianya tidak bawa apa-apa makna kepada Azmin.
Sudahlah tidak terpilih sebagai Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, kini kuasa dan pengaruh beliau yang pernah dilabel sebagai ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim, seolah-olah semakin menipis.
Bahkan, dalam senarai Exco yang diwakili PKR, mereka bukanlah tergolong ‘kumpulan’ yang menyokongnya.
Cuma Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang tersenarai, itupun sekadar jawatan timbalan Speaker.
Belum sempat, Azmin merawat kecewa dan luka, Anwar dan Tan Sri Khalid Ibrahim menambah duka dengan menyintuk limau di luka Azmin dengan pelantikan Saufuddin Nasution Ismail ke jawatan pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor.
Pengumuman Anwar mengenai tugas baru Setiausaha Agung PKR itu dikatakan dibuat Ketua Umum tersebut selepas perbincangan dengan Khalid di atas pentas ketika Kongres parti itu baru-baru ini.
Tentu ramai pemimpin dan ahli tersentak dengan pengumuman tersebut apatah lagi Azmin dan pengikut-pengikutnya.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shaifie tidak perlu tunggu lama untuk mempertikai tindakan tersebut yang dibuat tanpa perbincangan dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Shuhaimi yang diketahui memang rapat dengan Azmin menuntut Menteri Besar menjelaskan peranan Saifuddin di jawatan tersebut.
“MPN (majlis pimpinan negeri PKR) Selangor akan meminta penjelasan lanjut dari Tan Sri Abdul Khalid (Ibrahim) kerana timbul pertanyaan mengapa pula setiausaha agung PKR selaku ahli politik boleh dilantik ke dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya.
Azmin sendiri akhirnya tidak dapat berdiam diri dalam kemelut ini.
Laporan Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang menyebut bahawa anggota parti berkenaan juga merasakan bahawa keputusan tersebut seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang lain.
“Kalangan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan tanpa perbincangan parti malah seolah-olah melupakan pemimpin Selangor yang berjaya memenangi hati rakyat serta menang dalam pilihan raya umum ke-13 lalu,” katanya.
Memang patutpun Azmin ‘angin’ kerana beliau mungkin sedar dirinya semakin kerap kena ‘main’.
Maklumlah, beliau bersusah payah beliau sebelum ini jawatan Pengerusi PKR Selangor beralih tangan daripada Khalid kepadanya.
Setelah dapat, dengan hasrat tinggi menggunung, Azmin diuar-uarkan oleh penyokong-penyokong sebagai pemimpin paling layak menggantikan Khalid.
Namun, manusia merancang tetapi kehendak Allah SWT lain pula.
Apa lagi Azmin boleh banggakan kerana beliau bukan sahaja terlepas jawatan Menteri Besar dan Exco, bahkan ambil kira keputusan melantik Saifudin dengan membelakangkannya, Azmin bukan sahaja kena main tetapi petanda bakal terpinggir daripada saf pimpinan PKR.
Tambahan pula, rentetan isu pelantikan Saifudin, PAS Selangor juga menuntut wakil mereka dilantik ke dalam pentadbiran Khalid.
Desakan sekutu PKR yang dapat kerusi melebihi PKR dalam PRU 13 lalu, mungkin digerakkan pemimpin PAS yang simpati kepada Azmin.
Barangkali dengan cara itu pelantikan Saifuddin akan dibatalkan kerana Khalid mahupun Anwar tentu tidak mahu memberi PAS ‘peha’ selepas dapat ‘betis’ dengan menambah bilangan Exco daripada tiga kepada empat orang.
Berbalik soal Azmin, mungkin segala musibah ini berpunca kritikan terbuka beliau kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berhubung pelantikan Khalid sebagai Menteri Besar penggal ke dua.
Umum mengetahui, Presiden PKR itu mengemukakan nama Khalid selepas dapat sokonga PAS dan DAP tanpa merujuk dengan Azmin selaku Pengerusi PKR negeri.
Ada sumber PKR mendakwa ini semua mungkin mainan Wan Azizah bagi memastikan pengaruh Azmin terus hilang dalam PKR manakala Anwar mengambil sikap berdiam diri kerana tidak mahu mengecewakan isterinya yang sudah banyak berkorban untuk beliau.
Kini, apa lagi pilihan yang ada di tangan Azmin?
Sanggupkah beliau berdepan kekecewaan demi kekecewaan atau berterusan kena ‘main’ oleh Anwar, Wan Azizah, Khalid dan pemimpin PKR yang bukan kalangan penyokong tegarnya?
Bagi orang politik, Azmin mungkin hanya ada dua pilihan.
Pertama, bersiap sedia menentang Wan Azizah bagi jawatan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.
Jika berjaya, kuasa penuh ditangan Azmin untuk mencorakkan PKR dan menentukan kedudukan Anwar sama ada kekal sebagai Ketua Umum – jawatan yang tiada dalam perlembagaan parti, atau membiarkan boss nya itu hanya ahli parlimen biasa tanpa jawatan dalam parti.
Dalam politik, percaturan ini bukan mustahil kerana cuma Azmin bukanlah pemimpin yang disenangi oleh PAS dan DAP.
Pilihan ke dua Azmin adalah keluar PKR bersama penyokong-penyokong setianya menjadi wakil rakyat Bebas yang boleh memberi tekanan kepada parti asalnya itu.
Andai benar desas desus ada lagi 13 ahli parlimen PKR yang menyokongnya, jumlah itu amat besar bahaya kepada Anwar.
Itupun jika Azmin berani dan beliau ‘anak jantan’ untuk berbuat demikian. Andai tidak, pilihan lain, Azmin terpaksa ‘mandi bunga’ membuang segala malang pada dirinya apatah lagi pernah dianggap tidak taat dan tidak menghormatinya ibunya.
-Agendadaily
Monday, June 3, 2013
Pemuda Umno Mahu SKMM Bertindak Tegas Individu Hina Agong
Pergerakan Pemuda Umno mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook.
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana ia melampaui batas.
"Pemuda Umno memandang serius beberapa 'posting' yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah 'posting' dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
"Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah cuba mendidik dan berhubung dengan pengamal media sosial sejak dahulu lagi, namun, masih terdapat di kalangan mereka yang tetap berdegil dengan terus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya undang-undang sedia ada di bawah SKMM dapat dikuatkuasakan tanpa rasa takut.
"Kita (Pemuda Umno) sudah melakukan banyak cara untuk mendidik mereka, cuba berhubung tetapi apabila mereka masih lagi degil dan keluarkan kenyataan yang jelas berbaur hasutan, maka SKMM mesti bertindak," katanya. - Bernama
Ezam Dedah 3 Perkara Paling Anwar Takuti
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.
Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau,
Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar akan memastikan ketiga-tiga perkara tersebut 'dilenyapkan' daripada minda rakyat walaupun tindakannya itu akan mengundang kemudaratan terhadap agama, bangsa dan negara.
"Anwar sememangnya cenderung untuk melakukan pelbagai tindakan terdesak bagi memastikan 'pekung' di dadanya tersisip rapi dalam bajunya kerana beliau tahu ketiga-tiga perkara itu akan menyebabkan karier politiknya boleh terkubur.
"Jadi, dalam tindakan terdesak terbaharunya ini, beliau mengheret penyokongnya untuk turun ke jalan supaya perhatian rakyat teralih daripada isu sebenar yang menyelubungi Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ezam berkata, politik yang dibawa Anwar bukan berlandaskan menyelesaikan masalah rakyat atau negara tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadinya sahaja.
Bukti paling jelas, katanya, ialah pendedahan sahabat karib Anwar iaitu bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang memberitahu Ketua Pembangkang itu sanggup berbohong dan mengkhianati janji kerana mahu menjadi Perdana Menteri.
"Setiap rakyat yang waras seharusnya sudah nampak jelas jenis pemimpin apa Anwar ini, iaitu jenis pemimpin yang mempergunakan rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadinya bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingan peribadinya untuk rakyat.
"Negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa pemimpin songsang ini dan memang sampai masanya untuk riwayat politik songsang Anwar ditamatkan demi kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, secara lazimnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan bersungguh-sungguh mencipta suatu peristiwa besar bagi melindungi kegelisahannya maka sebab itu perhimpunan haram digerakkan.
"Anwar telah menggerakkan segala jentera PKR untuk menjayakan perhimpunan haram, biarpun gagal mendapat sokongan penuh daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP. Ternyata perhimpunan tersebut adalah agenda peribadi beliau, tetapi menipu penyokong pembangkang dan rakyat Malaysia kononnya untuk menyelamatkan negara,'' ujarnya.
Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar kini benar-benar terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap segala isu yang dihadapinya.
Jelasnya, terlalu banyak dosa Anwar kepada negara, sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak lagi mampu menjawab satu persatu isu tersebut dan cara terbaik bagi melarikan diri adalah dengan menghasut rakyat turun ke jalanan atas sesuatu perkara yang remeh dan tidak benar.
"Anwar juga risau dengan tindakan undang-undang yang akan diterimanya jika disabitkan bersalah atas tiga isu tersebut, jadi, tindakan berhimpun ini juga adalah usaha menakut-nakutkan kerajaan agar menunjukkan dia masih popular dalam kalangan rakyat.
"Saya gesa rakyat agar tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan beliau bebas bermaharajalela atas segala kesalahan yang telah dilakukan," tegasnya.
-Utusan
Subscribe to:
Posts (Atom)