Wednesday, October 17, 2012

Pemimpin PAS Mahu Nik Aziz Segera Berundur


Wakil rakyat PAS bagi kawasan DUN Gaal, Dr Nik Mazian Mohamed dalam satu ucapannya di Dewan Undangan Negeri Kelantan semasa membahaskan membahaskan bajet negeri secara 'lembut' telah menasihatkan pemimpin negeri yang sudah lanjut usianya untuk segera berundur bagi memberi laluan pula kepada orang muda untuk meneruskan perjuangan.

Menurut Dr Nik Mazian, amat tidak wajar bagi pemimpin yang sudah tua melepaskan 'baton' ketika lenguh di tengah jalan. Kenyataan tersebut lembut tapi sinis, jelas sekali merujuk pada masalah kesihatan yang sedang dialami oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat.

Katanya lagi, "Yang kita bimbang ialah Tok Guru sudah tua, ada sakit pula. Macam kita inilah sudah tua, ada penyakit pula. Kita akan mati, siapa yang akan mengganti, siapa yang akan meneruskan perjuangan kepimpinan kita ini, siapa ?

"Kita mesti timbulkan kepimpinan baru, muda-muda, hebat-hebat, sihat-sihat."

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Nik Aziz sememangnya agak kerap berulang alik keluar masuk hospital, disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya.

Nampak gayanya kemuncak kerjaya politik Mursyidul Am PAS itu sudah hampir sampai ke penghujungnya.

Masakan tidak, apabila wakil rakyat PAS sendiri sudah bersuara mengungkit usianya yang makin tua lanjut usia, bermakna itu satu signal penting yang sepatutnya mudah untuk ditafsirkan sendiri oleh Nik Aziz.

Lagipun semenjak Kelantan diterajuinya, tidak banyak perubahan besar yang tampak kelihatan hasil jasa bakti pemimpin PAS itu, ada memang ada sekelumit dua misalnya pecah tanah sana sini sambil menanam batu asas itu begini tapi setakat jadi tanda sajalah.

Mujurlah dek kerana kemurahan hati para pemimpin Kerajaan Pusat meneruskan usaha-usaha pembangunan dan menggandakan langkah membasmi kemiskinan di Kelantan, setidak-tidaknya adalah juga sedikit sebanyak perubahan.

Harapnya teguran terbuka dan saranan penuh sinis oleh pemimpin PAS dari Gaal, Pasir Puteh ini tidaklah disalah anggap oleh para penyokong PAS sebagai mainan propaganda UMNO pula.

Bukan kita tak tahu dikalangan sesetengah penyokong dan ahli PAS, cukup pantang bila ada saranan supaya Nik Aziz mengundur diri, tak semena-mena terus mereka melatah menyalahkan UMNO. Sayang betul mereka dengan orang tua yang gemar menongkat langit tu.

Tuesday, October 16, 2012

Audit 2011: Banyak Aktiviti Salah Tadbir Di Pulau Pinang


DAP nampaknya begitu berbangga dengan laporan Audit 2011 yang menunjukkan penurunan hutang negeri tersebut antara 94 – 97%. Konon-kononnya penurunan ini ada kaitan dengan kehebatan mengurus parti rasis, cauvanis cina ini, dibanding dengan BN dan negeri-negeri lain dimana mereka memerintah.

Maka para penyokong Pakatan Rakyat dibawah yang tidak punya keupayaan berfikir yang hebat seperti orang lain, menerima sahaja berita ini tanpa terlebih dahulu merujuk kepada laporan audit tersebut bagi mendapatkan lebih maklumat bagaimana yang dikatakan penurunan hutang itu

Sebetulnya, yang tidak disebut DAP ialah, penurunan hutang ini dibantu kerajaan pusat melalui pengambilalihan pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM655.25 juta telah diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) – organisasi dibawah Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Selain dari itu, laporan audit mendedahkan begitu banyak kelemahan dan salah urus tadbir dalam pengurusan kewangan negeri Pulau Pinang.

Antara kelemahan yang ditemui adalah seperti kekurangan sistem pengurusan maklumat, penguatkuasaan, penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan dan kekurangan peruntukan kewangan – sekadar menyebut beberapa perkara.

Beberapa projek yang dibina juga, terbukti hanya membazirkan wang rakyat kerana tidak dapat digunakan sehingga kini. Antaranya Kompleks Makanan Mutiara Height di Jelutung dan Kompleks Makanan Gold Coast yang terletak di Bayan Baru yang bukan setakat terbiar begitu sahaja, bahkan kerana kurangnya aktiviti pemantauan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan, telah menyebabkan banyak kemudahan asas yang disediakan di kompleks ini telah hilang atau dirosakkan.

Sementara dalam masa yang sama, aktiviti perniagaan makanan di atas jalan raya awam yang ditutup pada waktu malam, semakin rancak dijalankan di Pulau Pinang sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Ada kompleks lebih selesa yang disediakan tidak mahu digunakan dan DAP sendiri tidak begitu bersungguh mahu memindahkan penjaja jalanan ini ke kompleks tersebut.

Projek CCTV yang dilaksanakan, kononnya bagi mengatasi masalah jenayah, meletak kereta secara haram oleh beberapa PBT di Pulau Pinang juga gagal mencapai prestasi yang ditetapkan mereka sendiri. Sistem yang digunakan tidak jelas, bilangan yang terhad dan beberapa perkara lain adalah antara kelemahan yang dikenali pihak audit.

Ini merupakan pembaziran wang yang jelas oleh DAP Pulau Pinang, kroni mana yang diambil untuk memasang sistem tersebut pun kita tak tahu, tapi wang rakyatlah yang membayar untuk hasil yang tidak sepadan.

Paling mencuri tumpuan penulis dalam laporan audit semalam ialah tindakan beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri yang membayar bonus kakitangan dikala syarikat itu sendiri mengalami kerugian.. Kalau tidak salah penulis, masalah sama pernah dikenal pasti di sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri di Selangor beberapa tahun lepas – untung tidak ada tapi bonus berkoyan.

PUNB Tidak Lagi Bergantung Kepada Dana Kerajaan


Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) tidak akan memohon pinjaman atau dana daripada kerajaan mulai tahun ini, kata pengerusinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, PUNB, yang mempunyai aset bernilai lebih RM1.5 bilion, berupaya menggunakan sumbernya untuk kekal mapan dan berkeuntungan.

“Kami akan membayar balik pinjaman-pinjaman itu kepada kerajaan secara berperingkat. Semenjak 1992, PUNB telah menerima pinjaman sejumlah RM800 juta,” katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.

Khairy berkata PUNB, bagaimanapun, masih terbuka untuk menerima geran daripada kerajaan untuk tujuan dan inisiatif khas meningkatkan keusahawanan Bumiputera di Malaysia.

“Kita tidak patut bergantung kepada kerajaan untuk semuanya. Selepas saya mengambil alih sebagai pengerusi, saya fikir PUNB boleh memastikan kemapanannya sendiri.

“PUNB tidak diberikan peruntukan pada Belanjawan 2013 kerana kami tidak memintanya,” katanya.

Khairy dilantik sebagai pengerusi PUNB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April.

Beliau berkata semenjak penubuhannya pada 1991, PUNB telah memberikan pinjaman untuk membantu lebih 3,000 perniagaan di seluruh negara.

PUNB menyediakan satu rangkaian pinjaman untuk perniagaan Bumiputera, dengan tumpuan kepada pakej pembangunan usahawan bersepadu untuk membantu usahawan Bumiputera dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Pakej-pakej tersebut direka bentuk untuk membantu usahawan Bumiputera memupuk kepintaran perniagaan, mengekalkan perusahaan yang menguntungkan dan membentuk perniagaan mereka. – BERNAMA