Umno dan Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan untuk berkempen secara sederhana, berhemah dan berjumpa sendiri dengan setiap pengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, untuk mengetahui lebih dekat permasalahan yang dihadapi.
Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun Wanita mempunyai jentera yang ramai, namun mereka tidak akan melakukan gerak gempur seperti kempen pilihan raya kecil sebelum ini, sebaliknya akan melakukannya dengan lebih tertib.
"Saya harap tidak ada apa-apa keganasan kerana kita tidak mahu terikut-ikut dengan cara kempen pembangkang yang kadangkala agak agresif. Kita akan lakukan gerak mesra untuk memikat hati pengundi wanita di DUN Galas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini Selasa.
Katanya, BN yang memilih Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, sebagai calon, yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang berikutan rakyat di kawasan itu serta Kelantan amnya mulai sedar bahawa mereka tidak mampu menikmati pembangunan jika terus memilih PAS.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan menggunakan pilihanraya kecil ini sebagai medan membela nasib rakyat Kelantan.
Beliau berkata ia berbeza dengan parti Pas yang menganggap proses pilihan raya seperti suatu pesta.
"Kita tahu bila ada pilihan raya orang-orang dia (Pas) dari seluruh negara akan datang, buat jualan macam pesta, mereka menggangap ini macam pesta, kita anggap ini (pilihan raya) sebagai untuk mewakili rakyat bagi memastikan nasib rakyat dibela. Kita yakin rakyat lebih matang dan tahu mana nak pilih dan mana yang ditolak," katanya.
Bagi Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen pula pendekatan berhemah akan digunakan oleh jentera MCA bagi mendekati pengundi Cina supaya memihak kepada BN terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar.
Katanya, pada masa kini seramai 970 pengundi atas pagar dikenal pasti daripada 2,317 pengundi Cina di Galas dan jentera MCA akan memperhebatkan perjumpaan bersama mereka dalam menerangkan segala dasar dan rancangan BN untuk kebaikan pada masa depan.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata jentera Pemuda tidak akan terikut-ikut dengan kempen agresif yang dilakukan oleh jentera pemuda Pas sebaliknya lebih sederhana dengan berjumpa pengundi secara peribadi.
Di Galas terdapat 1,500 golongan pengundi muda dan dalam tempoh kempen selama 10 hari dan mereka akan mendekati golongan itu termasuk golongan muda Orang Asli, katanya.
Bagaimanapun, katanya, jentera pemuda di PRK Parlimen Batu Sapi menggunakan strategi yang berbeza kerana ia melibatkan kawasan yang luas.
Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kali ini jentera pergerakan Puteri bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan Galas hasil pengalaman semasa pilihanraya kecil Manik Urai.
Beliau berkata persiapan jentera Puteri telah dilipatgandakan dalam usaha menarik sokongan wanita muda berumur 40 tahun ke bawah untuk menyokong BN.
"Kami menggunakan sistem berjumpa pengundi secara bersemuka di setiap rumah untuk mengetahui apa masalah mereka dan hasil dari tinjauan itu kami dapati rintihan mereka lebih menjurus kepada ekonomi serta peluang kerjaya.
"Menerusi sistem itu juga kami menjelaskan kepada mereka tentang kemampuan BN dan hasil dari pertemuan ini kami dapati sokongan awal sudah memihak kepada kita," katanya.
Beliau juga yang merupakan Timbalan Menteri Kesihatan berkata setakat ini seramai 500 ahli puteri telah bergerak untuk membantu pilihan raya kecil ini dan dijangka akan lebih ramai datang secara berperingkat untuk bersama-sama membantu menjalankan kempen bagi memastikan kemenangan BN.
Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam berkata masyarakat India di kawasan Galas telah serik memilih PAS kerana sehingga kini gagal melakukan sebarang pembangunan atau memperjuangkan nasib rakyat di kawasan itu.
Beliau yakin undi masyarakat India di kawasan Galas memihak kepada BN berikutan mereka sudah tawar hati dengan sikap kerajaan negeri.
"Bilangan pengundi India kecil dan kita mempunyai peluang untuk berjumpa dengan mereka secara terus banyak kali dan saya yakin kebanyakan 186 pengundi India di sini akan mengundi BN," katanya.
Di KUALA LUMPUR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin ketika dihubungi menyifatkan Pas ketandusan calon kerana mempertaruhkan calon yang beberapa kali kalah untuk bertanding semula pada pilihan raya kecil itu.
Katanya Zulkefli, pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, pernah kalah dua kali termasuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah dalam Pilihan Raya Umum 2008 bagi kerusi Parlimen Gua Musang.
"Dia (Zulkefli) pernah bertanding dan kalah, maka dia susahlah sebab ada bebanan politik, yang kita (Barisan Nasional) ini tak ada bebanan itu. Kalau pertandingan berlari 100 meter itu, yang tidak dibebankan oleh bebanan itu barangkali menanglah.
"Politik ini, kalau dah kalah banyak kali, dia ada bebanan politik. Orang tengok dia ini...oh dia ini muka kalah, jadi ini persepsi yang dia kena hadapi," katanya.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan juga yakin peluang BN untuk memenangi kawasan DUN Galas amat cerah berikutan sokongan dan kerjasama padu yang ditunjukkan jentera parti kepada calonnya.
Pilihan Raya Kecil Dun Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, (PAS) yang meninggal dunia 27 Sept lalu akibat penyakit kanser usus.