Wednesday, October 20, 2010

Pemuda Umno Fokus Isu Rakyat Pada Perhimpunan Kali Ini


Pemuda Umno perlu memberi fokus kepada isu rakyat, dan peranan kerajaan melalui agensinya untuk menangani masalah rakyat serta kepentingan Melayu dalam perbahasan pada perhimpunan agung pergerakan itu.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, selain membangkitkan kepincangan pentadbiran negeri yang ditadbir oleh parti gabungan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), anggota pergerakan itu perlu menampilkan imej baru.

"Pemuda Umno kini dilihat lebih inklusif dan progresif berbanding beberapa tahun lalu" yang mampu menarik sokongan golongan muda serta menjadi juara rakyat menerusi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini merupakan perubahan yang signifikan kerana kita merupakan parti yang sentiasa bersikap progresif dan terbuka tapi mungkin beberapa tahun kebelakangan ini, tekanan daripada kumpulan etnosentrik telah mengatasi dasar parti," katanya.

Oleh itu, Pemuda Umno perlu seiring dengan apa yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membawa falsafah baru perpaduan dalam 1Malaysia kerana momentum itu telah bermula, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra dan makan tengah hari bersama perwakilan Pemuda Umno di Dewan Utama Hotel Seri Pacific di sini hari Selasa.

Khairy berharap Perhimpunan Agung Umno akan terus menyaksikan parti itu muncul sebagai parti yang berpaksikan progresif yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

"Gerakan kita juga lebih tertumpu kepada usaha menarik perhatian pengundi muda. Selain itu kita mahu menunjukkan walaupun kita masih lagi memperjuangkan dan menjadi juara kepada isu-isu Melayu, kita tetap membawa isu semua rakyat dan menguatkan lagi semangat 1Malaysia," katanya.

Khairy berkata perhimpunan agung ini juga akan menyaksikan bahawa Umno masih sebuah parti politik yang unggul dan wadah bagi orang Melayu dan tiada siapa yang boleh membuang agenda melayu daripada Umno.

Malam ini, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri yang dihadiri oleh lebih 2,300 perwakilan.

Sementara itu, berdasarkan senarai topik dan pembahas yang dikeluarkan oleh Pemuda Umno di sini hari ini, sebanyak 30 isu, termasuk konsep 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) serta isu pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan pelabelan pemimpin Umno sebagai pemimpin perkauman, akan dibangkitkan.

Selain isu tindakan kerajaan negeri di bawah DAP, PAS dan PKR yang didakwa mendiskriminasi orang Melayu, pengundi muda dan pengundi bukan Melayu serta permasalahan generasi kedua Felda akan turut disentuh dalam perbahasan yang melibatkan 13 wakil Pemuda Umno.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan pada 4 November juga akan turut disentuh wakil Kelantan menerusi tumpuan isu di negeri-negeri.

Perwakilan Pemuda akan membahaskan tiga usul iaitu ucapan dasar Ketua Pemuda, usul ekonomi serta pendidikan dan agama.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang medianya telah memaklumkan bahawa pembahas Pemuda Umno yang terpilih telah diingatkan supaya menggunakan pendekatan berhemah dalam membahaskan isu-isu berkaitan Melayu.

Katanya, mereka perlu sentiasa menghormati bangsa lain di negara ini bagi memastikan isu yang dibahaskan tidak diputar belit pihak yang tidak bertanggungjawab.

BERNAMA

No comments: