Thursday, March 14, 2013

Klip Video Tali Barut Bersama Komander Musa Didedahkan


Sebelum ini kami menyiarkan dua keping gambar memperlihatkan Jeneral Musa, orang nombor dua pengganas di Lahad Datu bersama seorang tali barut wagra tempatan.

Berikut adalah klip memperlihatkan secara lengkap pertemuan lelaki itu dengan Musa.

Dikatakan lelaki tersebut adalah antara mereka yang bertemu Jeneral Musa sewaktu pasukan pengganas mula-mula mendarat di Kampung Tanduo, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu.

Namun tidak diketahui nasibnya sehingga sekarang, sama ada telah terbunuh atau masih lagi bersembunyi di sekitar kampung tersebut.

Untuk melihat klip video tersebut sila klik di sini...

Wednesday, March 13, 2013

Azmin Sebarkan Berita Anwar Ibrahim Bakal Ditangkap


Menjelang PRU 13 pelbagai usaha dilakukan oleh puak pembangkang bagi meraih simpati dari orang ramai... terbaru Azmin Ali meramalkan bosnya, Anwar Ibrahim bakal ditangkap dalam masa terdekat lapor Free Malaysia Today (FMT) menyatakan Timbalan Presiden PKR itu mendakwa sebagai usaha menutup kelemahan kerajaan menangani isu pencerobohan Lahad Datu.

“Sepanjang 15 tahun dulu, mereka (kerajaan) berusaha untuk menuduh Anwar tentang semua kesilapan yang berlaku dalam negara.

“Tetapi untuk mengaitkan beliau dengan insiden Lahad Datu adalah sangat tidak munasabah,” katanya.

Portal itu mendakwa pihaknya turut menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin untuk mendapatkan pengesahan berkenaan spekulasi penangkapan tersebut.

“Anda perlu bertanya kepada Ketua Polis Polis Negara atau pesuruhjaya polis Sabah, “kata Bakri dilaporkan FMT.

Menurut sumber laman portal AIDC pula, usaha mencanang Ketua Umum PKR bakal ditangkap sudah disebar sejak semalam, apabila media internet pro Pakatan Rakyat, Malaysia Chronicles, menyiarkan kenyataan pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa terdapat spekulasi bahawa Anwar Ibrahim akan ditangkap tidak lama lagi kerana dituduh sebagai dalang pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Kalau dah bersalah tetap bersalah juga!

Bila Anwar Hendak Melakukan Sumpah Laknat


Di saat seluruh negara sedang memfokuskan tumpuan kepada isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, tak semena-mena PKR cuba mencuri tumpuan umum dengan mengadakan sidang akbar secara tertutup bagi pihak ayah Saiful Bukhari iaitu Azlan Mohd Lazim.

Habis sidang akhbar secara tertutup, sehari dua kemudiannya bapa Saiful itu mengumumkan penyertaannya dalam PKR. Hebat sandiwara yang dimainkan, seolah-olah mahu mengabui mata umum bahawa baru kini Azlan terdetik untuk berjuang bersama PKR.

Walhal bukan satu rahsia pun, sedari dulu lagi Azlan merupakan penyokong tegar PKR dan hanya munculkan diri setelah heboh kes liwat II diperkatakan dan sepanjang hampir 5 tahun itu Azlan dilihat cukup bersungguh-sungguh membela nasib anak lelakinya.

Malah dialah yang paling sedih dan marah bila mana Mahkamah terpaksa membebaskan Anwar Ibrahim kerana bukti tidak cukup kuat untuk mengaitkan Ketua Umum PKR itu dengan perlakuan meliwat anaknya, Saiful.

Waima sebelumnya, semasa Saiful mengambil keputusan untuk bersumpah mubahalah (sumpah laknat), si ayah yang sama ini jugalah tanpa sebarang bantahan atau teguran telah bersetuju menemani anaknya untuk melakukan sumpah laknat menyerahkan kesaksian dan pengaduan kepada Allah S.W.T.

Jika dibaca kenyataan media oleh Azlan yang mendakwa dirinya sejak awal lagi langsung tidak pernah mempercayai dakwaan Anwar telah meliwat anaknya, timbul persoalan penting kenapa sebagai seorang bapa, Azlan tidak mengambil inisiatif mencegah Saiful dari bersumpah secara Islam?

Sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful pada hari Jumaat 14 Syaaban 1429 bersamaan 15 Ogos 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur telah disaksikan sendiri oleh Azlan yang menemani anaknya dari awal hingga akhir, dan sumpah yang dilafazkan oleh Saiful itu sah dan menepati kehendak Islam.

"Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Kad Pengenalan No. 850706-01-5687 pada hari ini bersumpah dengan lafaz Bismillah hirrohmanirrohim, Wallahi, Watallahi, Wabillahi, bahawa sesungguhnya saya telah diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap ALLAH S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada ALLAH S.W.T sehingga ke kiamat".

Sumpah sedemikian bukannya perkara main-main, jika sumpah yang dilafazkan oleh Saiful adalah palsu bermakna bila-bila masa bermula tarikh itu sehinggalah selewat-lewatnya setahun kemudian pastinya laknat akan menimpanya.

Ibn Hajar Al Salam as Qalani, seorang ulama di zaman silam pernah menceritakan, "Berdasarkan pengalaman, sesiapa yang bermubahalah sedangkan dia berbohong, dia tidak akan dibiarkan lebih dari satu tahun dari hari mubahalah. Telah berlaku mubahalah antara ku dengan seorang taasub kepada golongan Mulhid, dia tidak dibiarkan selepas mubahalah itu melainkan dua bulan."

Manakala seorang ulama dari India, al-Syeikh Abi al-Wafa’ Thana’ al-Amritsari juga pernah bermubahalah dengan seorang nabi palsu bernama Mirza Ghulam Ahmad al-Qadyani yang kemudiannya berakhir dengan laknat kebinasaan yang menimpa Mirza Ghulam setahun selepas mubahalah dilakukan.

Selain Ibn hajar dan Syeikh Abi Al-Wafa, ramai ulama bersepakat bahawa penghukuman dari Allah s.w.t akibat sumpah laknat pasti tiba seawal 40 hari atau pun 2 bulan selepas mubahalah dan paling lama dalam jangka waktu setahun.

Bermula 15 Ogos 2008 sehingga sekarang, sudah lebih 4 tahun berlalu Saiful bersumpah secara Islam dan Alhamdulillah sehingga kini Saiful dalam keadaan sejahtera dan tiada laknat yang menimpanya, ini bermakna jelas sekali sumpah mubahalah yang dilafazkannya benar dan dakwaan yang disebutkannya adalah betul.

Tinggal lagi sekarang, sehingga kini Anwar selaku tertuduh masih enggan melakukan sumpah laknat seolah-olah Ketua Umum PKR itu kurang percaya atau agak meragui keadilan dan kekuasaan Allah s.w.t. Peliknya, akuan bersumpah (SD) yang sering menjadi modal politiknya mudah pula dijadikan kesaksian bisu dalam usahanya menegakkan benang yang basah.

Tapi jika tiba-tiba Anwar terdetik untuk bersumpah mubahalah, pastikan kalimah "Wallahi, Wabillahi, Wataallahi" disebut nyata dan tidak diganti dengan ayat lain, kerana syarat dalam Islam menuntut setiap sumpah mubahalah perlu disertai ketiga-tiga kalimah tersebut atau salah satu daripadanya.

Apa pun, sama-sama kita nantikan kejantanan Anwar sama ada masih wujud keyakinannya terhadap kekuasaan Allah S.W.T ataupun sebaliknya.

Pas Tak Perlu Berkias-Kias, Malu-malu Kalau Idam Jawatan Perdana Menteri


Kepimpinan Pas diminta untuk tidak berkias-kias dan berterus terang dalam menyatakan pendirian menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Pembangkang berkuasa, memandangkan perkara ini sudah menjadi rahsia umum di kalangan ahli dan penyokong parti tersebut di peringkat akar umbi.

Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada ahli-ahli Pas sendiri, boleh dikatakan rata-rata ahli dan penyokong akar umbi Pas tidak bersetuju apabila Anwar diletakkan sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Pembangkang.

“Bila saya berborak-borak dengan ahli atau penyokong Pas, ternyata daripada kata-kata mereka membayangkan hati kecil mereka tidak bersetuju jika Anwar menjadi calon PM sekiranya Pakatan berkuasa. Kebanyakkan ahli dan penyokong Pas, tidak suka kepada Anwar kerana dibelenggu pelbagai isu moral serta pendirian Islam yang terlalu liberal.

“Namun perkara ini tidak dapat diluahkan secara terbuka kerana mahu menjaga hubungan dan kepentingan politik bersama. Bagi saya, Pas sepatutnya berterus terang dan bukannya bermain teka teki seperti apa yang kita lihat sekarang ini. Mereka juga usah malu-malu sebab kita juga tahu Pas juga idam jawatan Perdana Menteri,” ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Sikap kepimpinan Pas yang tidak berterus terang dan suka berkias ini kata beliau, sedikit sebanyak merupakan cerminan pendirian dan perjuangan Pas hari ini yang tidak jelas matlamatnya.

“Bagi saya, kalau tak suka cakaplah tak suka. Buat apa nak sorok-sorok. Ini soal pemerintahan negara. Bukan soal main-main. Jika kita tersalah pilih pemimpin untuk tadbir negara, maka rakyat juga akan menanggung musibahnya. Pas sepatutnya lebih tegas menyatakan pendirian. Bukan hanya berkias-kias seolah-olah takut untuk berterus terang,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut meminta rakyat membandingkan antara pentadbiran kerajaan BN di bawah teraju Datuk Seri Najib yang jelas hari ini memperlihatkan kejayaan di dalam program transformasi yang dilaksanakan sepanjang tempoh pemerintahannya.

“Dalam kerajaan BN hari ini tidak mendapat 2/3 majoriti, Datuk Seri Najib mampu untuk melaksanakan dasar transformasinya yang amat berjaya. Pelbagai kemudahan dan bantuan telah diberikan kepada rakyat biarpun tidak sampai lima tahun pentadbirannya.

“Saya yakin, jika rakyat memberikan mandat 2/3 kepada kerajaan BN di bawah teraju Datuk Seri Najib pada PRU ke 13 ini, maka sudah pasti rakyat akan dapat melihat dasar transformasi beliau akan dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang lagi. Malah saya yakin, rakyat akan mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang lebih daripada apa mereka dapat pada hari ini,” ujarnya.

-MediaUMNO

Panglima Tentera Darat: "Kami Bertempur Dengan Pengganas Sebenar, Bukan Sandiwara"


Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas sebenar dan bukan satu sandiwara sebagaimana yang dicanangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak faham jika orang kata sandiwara. Nyawa dipertaruhkan... kami menghadapi musuh sebenar dan bukan lakonan.


"Dua anggota tentera dan lapan anggota polis terbunuh, adakah itu sandiwara? Tepuk dada tanya selera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengkebumian Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Bayu Lalang, di sini, hari ini.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah.

Seorang lagi anggota tentera, Kpl Ahmad Farhan Ruslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Terdahulu, lebih 3,000 hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut ketibaan jenazah dua pahlawan negara itu, yang diterbangkan melalui pesawat Charlie C-130, pada kira-kira 9.50 pagi.

Jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah ibu bapanya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh. Jenazah Ahmad Farhan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor.

Menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berani, Zulkifli berkata siasatan mendapati Ammad Hurairah sempat berbalas tembakan dengan beberapa pengganas sebelum gugur di medan perang.

"ATM akan membantu keluarga Allahyarham, apa saja yang kita mampu," katanya.

(ATM) kepada Ismail Husin, 55, iaitu ayah kepada Ahmad Hurairah selepas pengkebumian tersebut.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut hadir pada pengebumian itu meminta rakyat Malaysia bersatu dan menghentikan spekulasi berhubung soal keselamatan negara memandangkan ramai anggota keselamatan gugur ketika berjuang di perbatasan.

"Hentikan sagala tohmahan dan fitnah ini yang akhirnya akan meruntuhkan kita dan kita bertanggungjawab sebagai warganegara yang setia pada negara.

Kita tak mahu satu pun suara sumbang yang memberi kata-kata yang menunjukkan kita tidak peka dengan kehibaan (yang dialami keluarga mangsa).

"Kita semua rakyat Malaysia amat terhutang budi dan kita berdoa semoga barisan hadapan akan teruskan perjuangan mereka untuk pastikan negara
kita selamat sampai bila-bila," katanya.

Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohd Sharom Nordin berkata pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham mencerminkan sikap taat dan setia kepada negara walaupun nyawa yang menjadi pertaruhannya.

"Kalau ada lagi orang mengatakan ini semua sandiwara, saya tak tahu nak cakap apa... rakyat kita, tentera kita sendiri... hari ini anak Kelantan telah
mempertaruhakan nyawa untuk kedaulatan negara.

"Hilangkan syak wasangka, ini satu pengorbanan yang diterima Allah S.W.T.," katanya.

-Bernama


Status FB Sokongan Nur Misuari Kepada Anwar Sudah Ghaib


Inilah akibatnya apabila terlalu ghairah ingin menunjukkan sokongan dan mengambil hati Anwar Ibrahim, akibatnya ‘posting’ yang sebelum ini diletakkan tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan. Saling tak ubah seperti perumpamaan popular mengenai biskut satu ketika dahulu ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

Ia berhubung tindakan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang secara tidak sengaja telah mengesahkan hubungan baiknya dengan Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim seperti yang di dakwa sebelum ini.

Misuari (yang mengaku masih memimpin MNLF, walaupun pada hakikatnya telah lama disingkirkan) nyata tersilap langkah apabila memasukkan di dalam entri laman sosial Facebooknya mengenai sokongan kepada Anwar berhubung dakwaan liwatnya.

"We happy that the innocent are vindicated and that truth and justice should always prevails", katanya yang merujuk kenyataan bapa kepada mangsa liwat Anwar, Azlan Mohd Lazim.

Menyedari akan kesilapan yang dilakukan itu, posting Misuari berkenaan kenyataan tersebut akhirnya ‘ghaib’ dari laman sosialnya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Atau mungkinkah bekas gabenor Mindanao itu telah dihubungi oleh ‘orang-orang tertentu’ yang melihat posting tersebut seperti membuka pekung di dada?

Walaupun secara dasarnya ia bukan merupakan satu kesalahan namun secara prinsipnya ia berkait dengan hubungan rapatnya dengan Anwar. Tambahan pula agensi berita antarabangsa dan media asing turut melaporkan kenyataan dari unit perisikan tentera Filipina yang mengaitkan Anwar terhadap pencerobohan bersenjata di Sabah.

Malah kenyataan Misuari sebelum ini juga dilihat berbelit-belit, berbau propaganda dan penuh dengan tipu muslihat. Pada satu ketika, dia menafikan terlibat dalam insiden pencerobohan di Sabah namun di masa sama menyatakan akan menghantar tenteranya membantu pengikut Jamalul Kiram yang semakin tertekan di Sabah.

Tidak cukup dengan itu, Misuari juga turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang menurutnya ‘mendengar cerita’ kononnya kehadiran penceroboh adalah kerana jemputan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Untuk rekod, bekas Gabenor Wilayah Autonomi Mindanao itu sebelum ini telah di tolak oleh rakyatnya kerana gagal membangunkan wilayah kelahirannya, malah turut dikaitkan dengan amalan rasuah dan didakwa hanya mengutamakan kepentingan diri.

Tun Mahathir ketika diminta mengulas mengenai Anwar berhubung isu Sabah mengatakan hairan bagaimana boleh terpedaya untuk percaya kepadanya semasa di dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

“Dia (Anwar) penipu yang terbesar sampai saya pun tertipu. "Kononnya warak, kononnya boleh (kendalikan) usrah tapi buat kerja yang tak boleh diterima oleh orang Islam”.

Kesimpulannya sehingga kini, Anwar masih gagal menjawab beberapa persoalan yang menjadi tanda tanya sebilangan besar rakyat berhubung tragedi berdarah yang melanda negara ini.

1. Mengapa Anwar ghairah berulang kali menyentuh soal Sabah akan hilang. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

2. Apakah yang beliau bincangkan semasa pertemuan dengan Nur Misuari sebelum itu?

3. Menjawab berhubung dakwaan, terdapat pemimpin PKR lain yang turut menemui pihak tertentu di selatan Filipina.

4. Dakwaan pencerobohan pengganas Sulu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang, sebagaimana dilaporkan Reuters dan media Filipina.

5. Pencerobohan tersebut dikatakan ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

Lahad Datu: Tentera Filipina Pintas 32 Lelaki Bersenjata Disyaki Pengikut Jamalul Kiram III


Tentera Laut Filipina merampas senjata api dan peluru dari 35 orang yang disyaki pengikut kesultanan Sulu, seorang daripadanya wanita, ketika memintas mereka di perairan sekitar Pulau Andolingan di Tawi-Tawi pagi ini.

Jurucakap Tentera Laut Lt-Komander Gregory Fabic berkata kapal peronda BRP Mariano Alvarez dan kapal meriam BRP Jose Andrada memintas dua buah bot di barat Pulau Andolingan sekitar jam 6.30 pagi.

Fabic berkata laporan awal menunjukkan sebuah daripada bot tersebut sedang menuju ke Sabah.

Suspek dijangka tiba di Batobato, Tawi-Tawi untuk siasatan.

Terdapat laporan mengenai orang Tausug sedang menuju keluar untuk membantu pengikut kesultanan Sulu di Sabah sejak pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia tercetus awal bulan ini.

Filipina dan Malaysia telah menjalankan kawalan di laut untuk menghalang pengikut kesultanan itu menyertai yang lainnya di Sabah.

Sebelum kejadian ini, pihak berkuasa Filipina berkata mereka juga telah memintas 70 pengikut kesultanan yang sedang menuju ke Sabah.

Di samping itu, ratusan rakyat Filipina dari Sabah telah tiba di selatan Filipina selepas melarikan diri daripada apa yang ramai daripada mereka mendakwa, tindakan keras oleh pihak berkuasa Malaysia.

- InterAksyon

Video Kantoi!! Calon PAS Tengah Bagi Rasuah


Wahahaha! Sudah kantoi beb!

Gambar diatas menunjukkan seorang bakal calon PAS Gaal, Tuan Mazlan sedang menghulurkan wang kertas sebanyak RM50 kepada setiap peserta konvoi PAS.

Masihkah ingat lagi... Nik Aziz pernah berkata penerima BR1M umpama haiwan (ayam dan lembu)? baca di sini

So... ini bermakna mat rempit PAS yang terima duit itu adalah ayam dan lembu PAS? huh kesian sungguh!

UMNO sendiri tak tergamak menyamakan rakyatnya sebagai haiwan.

Inilah contoh parti pembangkang yang kononnya bekerja ikhlas kerana Allah, tanpa upah! Jelas dan nyata semuanya adalah satu pembohongan!! Takbirrrr!!!

Parlimen Bubar Petang Ini?


Twitter Berita Harian dengan sepotong gambar menunjukkan kereta rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Istana Negara telah mencetus khabar angin bahawa Parlimen akan dibubar hari ini.

Berita Harian memuat naik mesej Twitter : “Kelihatan kenderaan rasmi Perdana Menteri keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.”

Mesej itu dimuat naik pada 11.29 pagi tadi.

Sejurus kemudian, akaun Twitter Berita Harian dihujani berdozen-dozen mesej respons, kebanyakannya membuat spekulasi tentang pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri memberitahu ABN News ia adalah satu kebiasaan bagi Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet diadakan.

Tian Chua, Mana Boleh Lepas.... Kata Timbalan Ketua Polis Negara


Bagi puak mulut celupar dan gatal tangan cuba nak perlekeh pasukan keselamatan kita yang sedang bertarung nyawa untuk hapus penceroboh bersenjata Sulu... awas, ini amaran Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Nada beliau nyata bukan nak main-main.

Memang ramai sudah mendidih kerana pada ketika satu negara perlu bersatu hati berdepan dengan pencerobohan ini.. ada juga puak yang nak tunjuk pandai komen bukan-bukan ikut suka sedap mulut.

Ini termasuk gelagat Naib Presiden PKR,Tian Chua yang kena hentam depan belakang di seluruh negara kerana senang hati main tuduh krisis keselamatan di Lahad Datu satu sandiwara UMNO.

Bagi Tian Chua... Khalid dengan tegas berkata, "mana boleh lepas".

Beliau memberitahu  polis akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.


Polis telahpun ambil keterangan darinya berhubung cakapnya yang disiarkan dalam akhbar Keadilan Daily baru-baru ini.

Manakala bagi yang cuba jolok nada-nada sama baik menerusi blog,facebook,twitter atau lain-lain,Timbalan Ketua Polis Negara mengingatkan mereka polis akan jejak sampai dapat.

Tindakan juga akan dikenakan terhadap pihak yang menyebar dan membuat sebarang ulasan negatif mengenai tindakan pasukan keselamatan negara, katanya.

"Jangan buat tindakan bodoh seperti ini...,"tegasnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas satu majlis di Kuala Lumpur Selasa beliau berkata ,"Saya ingin memberi amaran kepada mereka-mereka ini, arahan telah dikeluarkan supaya mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan yang mencerca dan menghina tindakan pasukan keselamatan kita ini. Ini satu perbuatan yang amat keji.

"Jadi saya minta hentikan sebarang 'statement' yang menghina, mempersenda dan memperlekeh apa jua tindakan keselamatan negara kita kerana kita akan menjejaki mereka sehingga dapat," katanya.

Menurut beliau polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau semua laman web dan media sosial bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

Serentak dengan itu ,Khalid memberitahu polis sudah membuka dua kertas siasatan berhubung perbuatan memperlekeh pasukan keselamatan

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara bagi menentukan tindakan berdasarkan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan itu.

"Biar kita berunding dahulu dengan pihak Peguam Negara untuk siasat kes ini di bawah Seksyen 130 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan Kanun Keseksaan," katanya.

-Agendadaily

Agbimuddin Kiram Dipercayai Masih Bersembunyi di Tanjung Batu


Lahad Datu: Agbimuddin Kiram yang mengetuai pengganas Sulu dipercayai masih bersembunyi bersama anak buahnya di sekitar Tanjung Batu dan beberapa kampung sekitar FELDA Sahabat 18, dekat sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata Agbimuddin dipercayai berusaha melepasi kepungan pasukan keselamatan tetapi diyakini tidak akan mampu berbuat demikian berikutan kepungan ketat di darat dan laut oleh pasukan keselamatan. Beliau berkata demikian pada sidang media, di FELDA Sahabat 16, sebentar tadi

Ratusan Penduduk Kampung Tunggu Ketibaan Jenazah Ahmad Hurairah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan bacaan doa ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, Rabu. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tiga, kanan) dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (dua, kiri). -foto Bernama


Pasir Mas - Ratusan penduduk kampung termasuk saudara-mara mula berkumpul di rumah Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, di Bayu Lalang di sini pagi ini.

Mereka menunggu ketibaan jenazah Allahyarham yang gugur dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang, hari ini.

Foto Utusan

Jenazah dua anggota tentera gugur di Lahad Datu tiba di Pangkalan TUDM Subang

Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Pesawat C-130 milik TUDM yang membawa jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, mendarat sejurus sebelum 8 pagi.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Ahmad Farhan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah.

Najib dan Ahmad Zahid memasuki pesawat dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu. Allahyarham Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Feb.

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada 10.45 pagi semalam yang turut menyaksikan seorang lagi perajurit cedera dan dua musuh terbunuh.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati.

Bubar DUN: Kit Siang Cakap Tak Serupa Bikin Lah...


Setelah puas berlagak seperti pakar strategi ketenteraan berhubung tragedi pencerobohan bersenjata di Sabah, pencacai pakatan pembangkang cuba menjadi pakar perlembagaan pula apabila Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mendesak agar kerajaan persekutuan untuk segera mengumumkan pembubaran parlimen bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-13 (PRU13).

Kit Siang turut mengatakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada ketika ini tidak lagi sah kerana tempoh pentadbiran kerajaan sudah genap lima tahun. Murah dan dangkal sungguh perkiraan yang dilakukan.

Entah macamana Kit Siang boleh bermimpi ingin menjadi pemimpin negara jika tidak mampu memahami perlembagaan dan undang-undang mengenai pilihanraya? Patutlah pemilihan CEC DAP juga haru biru jadinya, rupa-rupanya memang mereka ini ‘lembab’ sedikit otaknya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah terbubar dengan sendirinya setelah tamat tempoh lima (5) tahun daripada tarikh persidangan pertama Dewan yang berkenaan selepas satu-satu Pilihan Raya Umum - kecuali jika dibubarkan lebih awal.

Dan untuk rekod, kali terakhir pilihanraya umum diadakan ialah pada 8 Mac 2008, apabila kerajaan pemerintah membubarkan parlimen pada 13 Februari 2008.

Sejurus selepas parti yang mendapat kerusi majoriti membentuk kerajaan, sesuai dengan perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, telah bersetuju untuk menetapkan tarikh 28 April 2008 sebagai tarikh bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Malaysia Yang Kedua Belas.

Telah tertulis juga bahawa Pilihanraya Umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut. Peruntukkan yang serupa juga terkandung di dalam Perlembagaan Negeri-negeri bagi tujuan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, bagaimana pula Kit Siang boleh menuduh pemerintahan BN sekarang sebagai tidak sah? Takkanlah Kit Siang terlalu gilakan kuasa sehingga tidak boleh mengira hari?

Kanak-kanak sekolah Tahun Dua juga sudah tentu boleh mengira bahawa parlimen akan terbubar sendiri pada 28 April 2013, dan bahawa isu yang dibangkitkan kononnya Perdana Menteri sedang melaksanakan tugas tanpa mandat rakyat adalah satu bentuk provokasi dan pembohongan oleh orang yang tidak tahu mengira tetapi gila kuasa.

Bagaimanapun, sekiranya pencacai pembangkang mengunapakai ‘kefahaman’ mereka dalam isu ini, iaitu kerajaan mempunyai tempoh 5 tahun bermula dari tarikh pilihanraya umum untuk membubarkan parlimen, maka mereka wajar membubarkan segera DUN-DUN di Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Tindakan ini pasti dilihat sebagai ‘menghormati’ Kit Siang yang secara tidak langsung menyatakan bahawa Azizan, Nik Aziz, Khalid Ibrahim dan Guan Eng bukan lagi Menteri Besar dan Ketua Menteri yang sah dan perlu segera meletakkan jawatan berdasarkan analoginya mengenai perlembagaan negara mengenai pilihanraya

Lahad Datu: Foto Jeneral Musa Dan Talibarut Ditemui Dalam Telefon Bimbit Pengganas



Berikut adalah laporan dari wartawan Mynewshub.my yang membuat liputan dari Lahad Datu...

KAMI baru memperoleh dua keping gambar yang dipercayai wajah sebenar pemimpin kanan pengganas militan Sulu, ‘Jeneral’ Musa dan sekeping gambar salah seorang tali barut yang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Untuk pengetahuan anda, pasukan keselamatan telah mengeluarkan 23 mayat pengganas setakat ini di kawasan Kampung Tanjung Batu, salah sebuah kampung yang menyaksikan pertempuran sengit antara pasukan pengganas dan pasukan keselamatan.

Satu daripada 23 mayat itu telah disahkan Ketua Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib sebagai ‘Jeneral’ Musa yang mati dalam pertempuran di kampung berkenaan.


Sekeping gambar lagi yang kami peroleh adalah wajah salah seorang tali barut yang dikatakan pernah bekerja membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.

Dikatakan lelaki tersebut adalah antara mereka yang bertemu ‘Jeneral’ Musa sewaktu pasukan pengganas mula-mula mendarat di Kampung Tanduo, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu.

Namun tidak diketahui nasibnya sehingga sekarang, sama ada telah terbunuh atau masih lagi bersembunyi di sekitar kampung tersebut.

Hari kelapan Operasi Daulat semalam menyaksikan dua orang lagi anggota tentera terkorban, seorang dalam pertempuran dan seorang lagi terbunuh apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.

Nota: Dua keping gambar di atas dipercayai sewaktu ‘Jeneral’ Musa memaikan beret kepada tali barut berkenaan ketika hari-hari awal ketibaan komander pengganas itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.