Sunday, March 31, 2013

Umno, BN Tidak Terlibat Agenda Video Seks


Sambil menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah terlibat dalam mana-mana agenda seks bagi menjatuhkan pemimpin politik, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak yang sanggup berpolitik sehingga melibatkan nama Rasulullah SAW.

Setiausaha Agung Umno dan BN ini berkata, perkara berkaitan agama dan baginda Nabi Muhammad SAW tidak sewajarnya dijadikan alat dalam hasrat untuk mengelirukan masyarakat.

“Tidak kiralah dalam apa jua keadaan perkara berkaitan kesucian agama Islam, hal-hal berkaitan akidah dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah sesuatu yang tidak perlu dijadikan bahan politik,” kata beliau dipetik Umno Online hari ini.

Ahli Parlimen Putrajaya ini mengulas berkaitan kenyataan dikeluarkan Penolong Setiausaha 1 Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitter baru-baru ini.

Dalam tweetnya, pemimpin Pas tersebut telah mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan kononnya akan turut dilibatkan dalam video seks yang didakwanya adalah perbuatan Umno.

“Barisan Nasional dan Umno tidak pernah terlibat dengan mana-mana agenda sedemikian apatah lagi hal-hal yang melibatkan perlakuan moral dan keruntuhan akhlak.

“Semua dakwaan yang dibuat kepada pemimpin pakatan pembangkang berkaitan salah laku moral dan penyebaran video adalah melibatkan individu tertentu dan bukannya urusan parti, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan Rasulullah SAW,” kata beliau.

Dalam hal ini beliau menggesa masyarakat untuk membuat penilaian berdasarkan apa yang berlaku.

“Kita perlukan pemimpin yang matang, yang dapat membawa kepada kemajuan keseluruhan dan memberi tauladan berguna kepada rakyat,” tambah Tengku Adnan.

Khairul Fatmi Mat Som yang dipetik Sinar Harian hari ini mengakui kenyataan mengenai ‘video seks Nabi’ yang dipapar menerusi Twitternya 27 Mac lalu adalah kenyataannya sendiri.

“Itu kenyataan saya sendiri. Tidak, (akaun Twitter) bukan diceroboh,” katanya.

Ditanya mengapa beliau buat kenyataan sedemikian yang diketahui boleh mengundang kontroversi malah dituduh menghina Nabi, sambil tertawa, Khairul Fahmi berkata, “Tunggu saja nanti, sekarang saya tak mahu cakap apa-apa lagi. Setiap orang ada persepsi sendiri, setiap yang berlaku pasti ada sebab,” kata beliau.

Pemimpin Pemuda Pas itu juga hanya berkata, “terpulang kepada siapa yang membaca.”

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Harun Taib pula berkata, kenyataan Khairul Fahmi mungkin merujuk kepada sikap Umno yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengatasi musuhnya.

“Benda ini (video seks) tidak wujud dan adalah mustahil untuk Baginda melakukannya. Mungkin perbandingan yang dibuat hanya untuk menunjukkan betapa teruknya Umno.

“Mereka sanggup keluar video tidak baik orang tidak bersalah. Jika Umno wujud pada zaman Rasulullah, mungkin mereka akan buat perkara itu,” katanya.

Harun mengakui tindakan Khairul Fahmi membuat perbandingan dengan Rasulullah SAW kurang sesuai.

#TolakPR - PRU13 PKR Tidak Yakin Pertahan Indera Mahkota


Calon PKR untuk Parlimen Indera Mahkkota, Datuk Dr Fauzi Abdul Rahman tidak menjamin Pakatan Rakyat mampu mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, tetapi berjanji untuk bekerja keras mempertahankannya.

"Kita akan bekerja kuat, tidak ada kawasan yang hari ini kita boleh katakan kita pasti menang 100 peratus, kalau hendak menang kita perlu kerja kuat bahawa kita adalah alternatif kepada kerajaan yang ada hari ini.

"Jadi kita mesti kerja kuat, kalau tidak rakyat tukar kita balik," katanya kepada Antarapos sejurus selepas namanya diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Parlimen Indera Mahkota.

Fauzi berkata beliau yakin dirinya diterima baik oleh pengundi kawasan itu lantaran rekod peribadinya yang bersih dan amanah. Beliau juga akan mempertaruhkan rekodnya sebagai Pengerusi PKR Pahang, yang sebelum ini konsisten memperjuangkan hak asasi pengundi Parlimen itu.

"Rakyat hendak pemimpin yang amanah, kalau PKR naik ataupun PR naik tetapi dia tidak amanah, rakyat akan tukar balik kepada BN, jadi rakyat hendak yang lebih amanah," katanya.

Bagaimanapun, setelah Anwar mengumumkan namanya sebagai pengganti Azan Ismail, sekumpulan penyokong yang hadir bertindak meng'boo' Fauzi dan berlalu meninggalkan majlis ceramah di tapak ceramah Markaz PAS, Balok Makmur, Beserah.

Fauzi adalah bekas ahli Umno dan pernah menjadi ADUN Beserah dari tahun 1995 hingga 2004 sebelum menyertai PKR pada 2008.

"Booo...booo Datuk Fauzi Abdul Rahman..booo..." laung sekumpulan lelaki itu.

Fauzi sebelum ini bertikam lidah dengan Setiausaha organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook bersabit perebutan kerusi Parlimen Bentong.

Fauzi berkata jika DAP berminat mahu meletakkan calon di Parlimen itu, parti dominasi Cina itu perlu menyerahkan dua kerusi DUN kepada PKR (Ketari dan Tanah Rata) sebagai ganti.

Namun DAP enggan dan mahu meletakkan calonnya ditiga kerusi itu.

Terdahulu, DAP mengumumkan Pengerusi Himpunan hijau, Wong Tack sebagai calon kerusi Parlimen Bentong.

BN Kelantan Pilih Tokoh Ulama Sebagai Calon #TukarKelantan


Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menampilkan tokoh ulama serta calon yang mantap untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan calon sudah di peringkat akhir dan ia akan menampilkan muka lama dan baru.

“Kami mahu setiap calon yang dipilih diterima dan disukai rakyat supaya membawa kemenangan kepada BN di negeri ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa lebih sejam melawat kawasan Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Menurutnya, BN akan berusaha sungguh-sungguh dan meletakkan calon terbaik, walaupun sedar bahawa sesiapa pun diletakkan sebagai calon, mungkin ada yang akan mempertikaikannya.

Mustapa berkata, bagi beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka yang terpilih adalah barisan terbaik yang dipilih di kalangan tokoh di Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, di Putrajaya kelmarin, Mustapa berkata, pertemuan seperti itu sudah diadakan sejak enam bulan lepas.

Menurutnya, ia bagi membincangkan perkara berkaitan parti, terutama mengenai senarai calon BN Kelantan.

Ditanya mengapa Najib belum membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13, Mustapa berkata, beliau percaya Najib mahu hasil transformasi yang dilaksanakan, termasuk dalam bidang ekonomi, dirasai rakyat.

"Ia tiada kaitan dengan apa-apa desakan pembangkang. Ini strategi Najib dalam memastikan rakyat melihat hasil kerja, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa tidak menolak kemungkinan banyak lagi program peletakan batu asas bagi projek tertentu dilakukan kerajaan Pas Kelantan, dan menyifatkan tindakan seperti itu 'tidak lebih daripada gimik politik' menjelang pilihan raya.-SH

Pemuda UMNO Kecam Pemimpin Pas Hina Nabi


Pergerakan Pemuda UMNO mengecam tindakan pemimpin Pas yang mengheret dan menghina Nabi Muhammad SAW hanya kerana mahu mencapai kepentingan politik mereka semata-mata.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perbuatan itu sangat mengecewakan kerana parti itu sering mencanangkan diri mereka sebagai pejuang Islam tetapi pada hakikatnya ia tidak diamalkan.

"Apa yang saya lihat, pemimpin Pas tanpa segan silu dan jahatnya menyerang Nabi Muhammad dengan lontaran video seks Nabi.

"Apakah ini bermakna reaksi PAS sebelum ini terhadap video The Innocence of Muslims sekadar sandiwara politik semata-mata tanpa penghayatan tentang batas-batasnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam media sosial baru-baru ini, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas, Khairul Fahmi Mat Som menyebut "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO", melalui akaun Twitter @fahmipkg pada 27 Mac yang lalu.

Khairy berkata, perbuatan itu menunjukkan tindakan mereka itu sarat dengan emosi dan cetek pertimbangan yang menampakkan belang sebenar parti pembangkang.

#TolakPR - 9 NGO Buat Laporan Polis Ceramah Anwar di Mergong


ALOR SETAR - Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis mengenai program ceramah yang dijadual disampaikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Wira, Mergong di sini malam ini yang didakwa akan menggangu ketenteraman penduduk.

Laporan itu dibuat Yang Dipertua Pertubuhan Silat Garuda Malaysia, Mansor Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mansor berkata, ceramah yang dijadualkan pada 10.30 malam ini di padang bola yang terletak berdekatan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu dibimbangi akan mencetuskan kekecohan.

Wakil penduduk Taman Wira, Mohd Zubir Abd Rahman, 43, berkata, penduduk taman menentang keras kehadiran Anwar kerana ceramah boleh menggangu ketenteraman mereka.

"Kedudukan padang bola di tengah-tengah kawasan taman perumahan sudah tentu mengganggu anak-anak yang mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk menghadapi peperiksaan.

"Kita tahu Anwar bila mai (datang), orang-orang dia agresif... semua penduduk menjadi tidak selesa. Kalau dia nak tawan Putrajaya bukan di sini tempat untuk berceramah," katanya sambil mendakwa ceramah itu tidak mendapat permit.

Antara sembilan NGO itu ialah Badan Generasi Perihatin (BG3R), Pegerakan Pemuda Umno Cawangan Blok B Taman Wira, Skim Rondaan Sukarela Perumahan Awam Mergong dan Perkasa Kota Setar.

-Bernama

Shahrizat: Saya Tak Bertanding... #Vote4BN


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Jalil telah menjawab sendiri teka teki mengenai kedudukan beliau dicelah-celah kesibukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang menetapkan calon-calon untuk PRU13.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kata : "Tak ada. Saya tak bertanding. Tapi saya akan bersama jentera Wanita di seluruh negara."

Ini bermakna sudah pasti bekas Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat itu tidak akan bertanding pada PRU13.

Sebelum ini terdapat berbagai spekulasi termasuk kemungkinan beliau diletak bertanding di satu kerusi di sebuah negeri di Utara.

Shahrizat yang ditemui selepas satu majlis di Kuala Lumpur Sabtu menegaskan beliau akan backing Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang dikatakan akan mengambilalih tempatnya di Lembah Pantai.

Katanya beliau akan turun membantu kempen bagi memenangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

Raja Nongchik yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai akan berentap dengan Nurul Izzah Anwar yang kalahkan Shahrizat dengan majoriti 2,895 undi.

Shahrizat yakin pengundi Lembah Pantai kini bijak membuat pilihan melihat pada prestasi Nurul Izzah yang ‘ tak seberapa’.

“Tanyalah pengundi-pengundi tentang prestasi pemimpin di sana. Gah sahaja semasa berkempen. Kata nak buat itu ini, lepas itu... habis,”katanya.

Shahrizat menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai selama tiga penggal.

-Agendadaily

#TolakPR - Penyokong Pas Khianat Bakar 27 Bendera BN


MUAR - Parlimen belumpun dibubarkan, tarikh pilihan raya umum pun belum diketahui, namun gelagat ganas dan provokatif para penyokong pakatan pembangkang sudah mula ditunjukkan.

Dalam kejadian di sini, 27 bendera Barisan Nasional (BN) dibakar dan tiangnya dipatahkan dalam tiga kejadian berasingan di pekan Parit Bakar pada Ahad, Selasa dan awal pagi Rabu yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong Pas.

Pada kira-kira pukul 2 petang Ahad lalu, empat bendera dibakar serta tiangnya dipatahkan. Kejadian kedua pula berlaku pada pukul 9.30 malam Selasa lalu dan ketiga pada 1.30 pagi Rabu.

Pengerusi Biro Keselamatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) UMNO Bahagian Muar, Mahmud Md. Top berkata, bagi perbuatan khianat pertama, pihaknya hanya menemui kesan-kesan perbuatan itu dan tidak mempunyai saksi.

"Bagaimanapun pada pukul 9.30 malam Selasa, saya dan rakan nampak sendiri perbuatan itu dilakukan oleh penyokong-penyokong Pas, lingkungan lima orang. Kami juga dimaki selain selain mereka kutuk UMNO dan BN. Mereka bakar 20 bendera BN, tiangnya dipatahkan.

"Apabila keluar rumah pukul 1.30 pagi (Rabu), kami didapati penyokong Pas berkumpul lagi di situ dalam jumlah lebih ramai iaitu lebih 10 orang. Empat lagi bendera BN sudah dibakar. Kami bukan tuduh sembarangan, kami kenal penyokong Pas itu, mereka penduduk tempatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak BN di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada pukul 7 malam, Khamis lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli pula ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ia sedang disiasat.

-Utusan

#TolakPR - Pemuda PAS Sanggup Hina Nabi Untuk Kepentingan Politik


Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.

Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan.

"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah.

"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.

"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah.

"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut.

-Utusan

#TolakPR - Fauzi Dicemuh Tanding Kerusi Indera Mahkota Booo!


Pengerusi PKR Pahang, Datuk Dr Fauzi Abdul Rahman yang diumumkan sebagai calon kerusi Parlimen Indera Mahkota malam tadi dicemuh segelintir penyokong yang hadir ke ceramah pakatan pembangkang di sini.

Kumpulan tersebut kemudian dilihat terus beredar dari tapak ceramah sebaik sahaja Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap Fauzi yang merupakan bekas ahli parlimen Umno Kuantan.

"Booo...booo Datuk Fauzi Abdul Rahman..booo..." laung sekumpulan lelaki yang berada di tapak ceramah Markaz PAS, Balok Makmur, Beserah.

Fauzi merupakan bekas ADUN Beserah dari tahun 1995 sehingga 2004 sebelum keluar Umno dan menyertai PKR pada 2008.

Kerusi DUN Beserah kini disandang oleh Syed Mohamad Tuan Lonnik dari PAS.

Anwar dalam ucapannya berkata beliau yakin Fauzi mampu memikul tanggungjawab mempertahankan kerusi Indera Mahkota yang disandang oleh Azan Ismail dari PKR.

"Saya umumkan Datuk Fauzi sebagai calon Indera Mahkota, saya sudah tentukan dan bincang bersama Keadilan," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Ketua Pembangkang itu turut mengumumkan peguam muda Cik Murni Hidayah sebagai calon PKR Parlimen Paya Besar yang ketika ini giat melemparkan tuduhan penyelewengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersabit aset ketenteraan termasuk isu kapal selam Scorpene dalam ceramahnya.

Sementara itu, Fauzi yang ditemui cuba meyakinkan bahawa beliau mampu memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen kawasan tersebut jika menang pada pilihan raya nanti.

"Saya sudah 3 penggal di Berserah, saya yakin mampu memikul tanggungjawab ini," katanya.

Sumber melaporkan bahawa Azan akan ditukarkan ke kerusi parlimen Kemaman.

-AntaraPos

#TolakPR - Anwar Ibrahim Kena 'Boo' Penyokong Sendiri Di Kuantan!


Pengumuman nama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-13 malam tadi, disambut dengan sorakan ejekan oleh segelintir penyokong pembangkang sendiri.

Tindakan 'boo' itu dilakukan sebaik Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Fauzi sebagai calon menggantikan penyandang, Azan Ismail pada majlis ceramah Pas di Balok Makmur di sini malam tadi.

Dikhabarkan kehadiran Anwar Ibrahim sekali lagi di Parlimen Temerloh adalah untuk menyelesaikan perebutan kerusi yang berlaku diantara PAS dan PKR.

Difahamkan, PAS telah meminta kerusi parlimen itu diserahkan semula kepada mereka selepas dipinjamkan pada PRU-12 lalu. Sebagai ganti, mereka melepaskan kerusi parlimen Kuala Lipis kepada PKR. Namun, tiba-tiba PKR Pahang mendakwa Temerloh adalah milik mereka. Inilah antara punca kemarahan pihak berkenaan gamaknya.

Elok lah gaduh sesama sendiri... rakyat pun semakin mengenali siapa Anwar yang sebenarnya... sebelum ini mereka dikaburi dengan pelbagai kata janji yang indah dan lain-lain lagi...

Booooooooooo Anwar!

#Vote4BN - Rakyat Perlu Bijak Nilai Anwar Yang Ditolak Rakan, Pemimpin Kanan PKR


Rakyat perlu bijak menilai kredibiliti Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah ditolak rakan dalam pakatan pembangkang dan pemimpin kanan PKR yang bertindak keluar parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau mendakwa ramai pemimpin kanan parti pembangkang itu bertindak keluar parti setelah menyedari sesuatu yang tidak betul dengan diri ketua pembangkang itu.

“Parti pembangkang kini kelam kabut, dulu sepakat lantik Anwar tetapi beliau kini ditolak kerana masalah moral sedangkan untuk menjadi Perdana Menteri kena ada integriti dan mempunyai visi.

“Personaliti Anwar sangat berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ternyata terbukti kewibawaan beliau walaupun baru empat tahun menjadi perdana menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Himpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Temerloh.

Antara pemimpin PKR yang keluar parti ialah bekas Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar, bekas Ketua Penerangan Ruslan Kassim, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Noor dan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk S. Nallakaruppan.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata pembangkang juga tidak mempunyai keupayaan untuk memerintah negara ini kerana mereka tidak mempunyai kesepakatan dan sikap toleransi seperti parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Setiap pemimpin parti pembangkang berjuang untuk kepentingan parti masing-masing untuk berkuasa dan mereka sentiasa mencurigai antara satu sama lain.

“Sebab itu mereka sehingga hari ini tidak mempunyai ketetapan untuk memilih bakal perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Katanya, rakyat perlu bijak dan tidak tersalah mengundi pada pilihan raya umum nanti.

“Setakat ini hanya Barisan Nasional yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

#TolakPR - Ceramah Anwar Ibrahim Di Sungai Isap Tak Ada Orang Yang Nak Datang!


Apa dah jadi... hanya penyokong tegar sahaja yang hadir di ceramah Anwar, mana penduduk tempatan? secara terang mereka menolak kehadiran Anwar...

Ini bukan standard Anwar lah.. ini standard, penceramah upahan seperti Abby Abadi atau bob Lokman.... Apalah Fauziah Toron ni memalukan Anwar jer....

Jelas ini membuktikan rakyat sudah muak, bosan dan marah dengan kerenah puak pembangkang yang cenderung ke arah mengucar-kacirkan negara dan mencetuskan pembohongan yang melampau kepada rakyat.

Menurut laporan Utusan, Program Jelajah Bas Merdeka Rakyat anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di Sungai Isap di sini hari ini ternyata gagal mendapat sambutan apabila hanya dihadiri oleh kira-kira 500 penyokong tegar parti itu.

Walaupun dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh namun ia tetap tidak berjaya menarik perhatian masyarakat di kawasan berkenaan untuk menghadiri ceramah jalanan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar dalam ceramahnya itu mengumumkan bahawa Fuziah yang juga Naib Presiden PKR akan bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Untuk rekod, pada pilihan raya 2008, Fuziah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi. Fuziah memperoleh 18,398 undi manakala Ah Kiow mendapat 16,572 undi.

#Sodomy - Yuktes Mahu Jumpa Saiful Untuk Pohon Maaf


Bekas pembantu kepada peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay dalam kes liwat merancang untuk berjumpa Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi meminta maaf.

Katanya, dia berharap dapat bertemu Mohd. Saiful Bukhari secara peribadi, secepat mungkin untuk turut menyatakan kesediaan membantunya.

Yuktes berjanji akan membantu bekas pembantu peribadi Anwar itu dalam memperjuangkan nasib berhubung kes liwat berkenaan kerana percaya Mohd. Saiful Bukhari telah dianiaya.

“Saya mahu segera berjumpa dia dan meminta maaf secara peribadi kerana saya telah melakukan kesalahan dan berada di pihak yang salah sebelum ini.

“Saya mahu berbincang dan melihat apa yang boleh dibuat di mahkamah rayuan berhubung perkara itu (kes liwat),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan terbukanya di akaun Twitter hari ini yang memohon maaf kepada Mohd. Saiful Bukhari.

Bercakap mengenai perkara lain, Yuktes turut menyatakan kebimbangannya kerana sering diekori oleh beberapa individu setelah menarik diri daripada pasukan peguam bela kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari.

“Saya seperti diperhatikan dan diekori oleh beberapa individu yang menaiki kereta Myvi hitam,” ujarnya.

Pada 13 Mac lalu, Yuktes telah mendedahkan beberapa ‘cerita dalaman’ berhubung kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari menerusi dua pucuk surat terbuka yang boleh diakses menerusi beberapa laman blog terutama di http://www.anwaraidc.com dan http://www.mynewshub.com.

- Utusan

#SavePenang - Regim DAP Gagal Tadbir Pulau Pinang... Rakyat Wajar Pilih BN!


Pulau Pinang Semakin Menjunam Di Bawah Lim Guan Eng & DAP



Setelah hampir lima tahun DAP mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang, keadaan sosioekonomi di negeri Pulau Mutiara itu di lihat semakin bertambah teruk, dengan kesesakan lalulintas yang semakin kronik, pembangunan hartanah mewah yang mengabaikan keperluan rakyat berpendapatan rendah, di tambah dengan keadaan ekonomi yang mengalami defisit yang berkali ganda sejak 2009.

Menurut analisis terkini kedudukan Pulau Pinag pada ketika ini telah merosot jatuh ke tangga ke-6 apabila gagal mengekalkan jumlah kemasukan pelabur yang hilang hampir dari separuh. Lebih membimbangkan negeri tersebut dikatakan bakal menghadapi masalah pengganguran yang serius menjelang 2-3 tahun lagi.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dalam tempoh empat bulan pertama bagi tahun 2012, ranking kemasukan pelabur asing jatuh ke tangga ke-6,
manakala jumlah pelaburan domestik dan luar menjunam ke tangga 7.


Malah sebelum ini, negeri tersebut dilaporkan telah mengalami penurunan hampir 73 peratus dalam jumlah pelaburan keseluruhan dari RM 9.11 bilion pada 2011 kepada hanya RM 2.47 bilion tahun lalu. Sedar atau tidak, kerajaan Guan Eng juga telah mengalami defisit selama 4 tahun berturut-turut yang membuktikan kegagalan mereka dalam mengurus tadbir.

Kerajaan pimpinan Guan Eng juga menerima satu lagi tamparan hebat apabila Bosch Solar Energy Malaysia Sdn. Bhd. (Bosch Solar) dikatakan telah membatalkan rancangan membina kemudahan solar bernilai RM2.2 bilion di negeri itu.

Ia membuktikan kegagalan kerajaan pimpinan DAP itu, yang dilihat dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam usaha mengekalkan kemasukan pelaburan asing ke negeri ini seperti yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Malah pendekatan Guan Eng yang cuba menyembunyi fakta dan gemar dengan berdiam diri daripada menjawab segala persoalan mengenai perkembangan ekonomi negeri dikatakan antara punca kepada permasalahan ini.

Ini kerana secara tidak langsung telah menyebabkan para pelabur meragui dan was-was dengan ketelusan kerajaan negeri yang kononnya mempraktikkan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT).

Malah sebelum ini ramai yang telah terpedaya dengan kenyataan Guan Eng yang kononnya telah berjaya mengurangkan beban hutang negeri sedangkan pada hakikatnya ia dilakukan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.