Thursday, April 4, 2013

#PRU13 #TolakPR - Permatang Pauh Dedah Belang Anwar


Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dianggap rahmat kepada penduduk Parlimen Permatang Pauh yang sudah sekian lama mahu menolak kepemimpinan Penasihat PKR itu.

Perkara itu disuarakan penduduk Permatang Pauh sendiri yang mendakwa Anwar selama ini tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya hanya mempergunakan masyarakat di kawasan itu kerana taksub mengejar cita-cita politiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

Penduduk Kampung Mengkuang, Yusof Sudin, 75, berkata Anwar yang diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sudah jauh berubah kerana dilihat leka mendahulukan matlamat peribadinya berbanding berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

Lalai jalan tanggungjawab

“Apa erti seorang wakil rakyat kalau bukan bersama rakyat? Sikap Anwar yang sibuk berpolitik menyebabkan dia lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan jarang sekali pulang ke kawasan untuk menjenguk rakyat.

“Kalau Anwar pulang ke Permatang Pauh pun, niatnya hanya sekadar untuk berkempen dengan memperdaya masyarakat di sini untuk terus menyokongnya. Namun, apabila rakyat memerlukan khidmatnya, dia ‘lesap’ entah ke mana dan ini membuatkan penduduk tawar hati untuk terus menyokongnya,” katanya di sini, semalam.

Yusof berkata, sikap sambil lewa Anwar terhadap penduduk Permatang Pauh berlaku kerana beliau terlalu selesa di kawasan yang dikatakan kubu kuatnya, selain yakin pengikut setianya akan terus menyokongnya.

“Sudah sekian lama penduduk Permatang Pauh dipergunakan Anwar dan kami semakin sedar keadaan ini dan kalau dia bertanding sekali pun di sini, saya percaya sokongan terhadapnya tidak lagi hebat seperti dulu dan kemungkinan besar beliau tewas,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang itu pada sidang media di Ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, mengumumkan akan bertanding di luar kubu kuatnya di Permatang Pauh dan memilih Perak pada PRU-13.

Penduduk, Mohd Rafizal Yusof, 40, berkata keputusan Anwar ‘lari’ dari Permatang Pauh itu mempunyai kaitan dengan sokongan berkurangan rakyat kawasan itu terhadapnya berikutan kegagalannya menyumbang kepada program dan pembangunan di situ.

“Anwar semakin ‘besar kepala’ sejak mendapat mandat pada 2008 dan meminggirkan rakyat di sini dan hanya pulang sesekali, itupun jika terpaksa menghadiri majlis besar pembangkang negeri, manakala selebihnya untuk ceramah politik. -BH

#Vote4BN - BN Lancar Manifesto Sabtu Ini


Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Manifesto Barisan Nasional akan dilancarkan pada Sabtu ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Beliau berkata, manifesto itu adalah aku janji BN kepada rakyat dan akan digunakan mengikut kesesuaian di peringkat-peringkat negeri.

"Manifesto BN mahu dihayati dan difahami rakyat. Dalam tempoh empat tahun kita berjanji dan tepati. Manifesto itu adalah lambang dan janji kita kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan dua mesyuarat iaitu Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, Manifesto Pusat (BN) akan memberi ruang kepada manifesto negeri-negeri mengikut keperluan.

Beliau juga berkata, BN senitasa bersikap optimistik menang besar dan akan meminimumkan masalah dalaman parti selepas pengumuman calon-calon yang bertanding.

"Soal nama-nama calon yang akan bertanding tidak boleh diumumkan sekarang. Biarlah ada elemen kejutan. Cuma nama calon akan diumum lebih awal supaya calon boleh memperkenalkan diri dan membuat persiapan.

"Pada keseluruhannya persediaan (menghadapi pilihan raya) adalah cukup baik. Persiapan jentera BN amat tinggi dan sedia untuk turun gelanggang," katanya. - UTUSAN ONLINE

#PRU13 : SPR Dijangka Umum Tarikh Mesyuarat Khas Esok


Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan selewat-lewatnya esok untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tarikh mesyuarat khas akan diadakan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sehingga kini SPR belum menerima surat pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, seramai 6,298 pengundi luar negara telah mendaftar sebagai pengundi pos sehingga tarikh tutup pada pukul 12 tengah malam tadi. - Utusan

#PRU13: Khairy Jamaluddin - Teruskan Perjuangan Walau Tidak Terpilih Sebagai Calon PRU13


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini meminta pemimpin-pemimpin Pemuda agar tidak merajuk dan bertindak mensabotaj parti jika tidak dipilih sebagai calon dalam piliharaya (PRU13).

Sebaliknya, para pemimpin pemuda perlu muhasabah diri dengan keputusan Presiden parti dan tidak mematahkan semangat juang mereka dalam memperjuangkan parti khususnya dalam memenangi PRU13 kali ini.

Beliau dengan rendah diri akur dengan apa sahaja yang bakal diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Pemuda mendahului parti bukan diri... Khairy komitmen untuk memastikan kemenangan BN yang tidak berbelah bagi tak kira lah menjadi calon atau tidak. Beliau berharap para pemimpin pemuda turut berpegang kepada prisnsip yang sama.



Petikan dari Facebook KJ (https://www.facebook.com/Khairykj) - Salam kepada semua rakan FB. Minta maaf tidak ada banyak update di FB. Seperti mana semua sedia maklum, PRU13 sudah tidak lama lagi. Ramai yang tanya saya melalui Twitter samada saya bertanding atau tidak.

Saya sudah maklum kepada Pengerusi BN, Dato' Sri Najib, preference saya yakni saya lebih cenderung untuk tidak bertanding pada PRU13. Perkara ini juga pernah saya sebut secara umum satu ketika dahulu.

Tetapi saya seorang yang agak old-fashioned. Saya akur dengan apa sahaja yang bakal diputuskan oleh Pengerusi BN. Kalau diarah bertanding, saya akur. Kalau diminta undur, saya akur juga.

Yang penting, komitmen saya untuk memastikan kemenangan BN tidak berbelah bagi tak kira jadi calon atau tidak.

Saya harap yang lain, terutamanya pemimpin Pemuda, juga pegang kepada prisnsip yang sama. Janganlah merajuk atau menentang jika tidak dipilih menjadi calon. Kita sentiasa berucap tentang perpaduan dan kesetiaan dalam parti, inilah masa untuk kita membuktikannya melalui amalan dan tindakan.

Mungkin pengalaman saya boleh menjadi teladan. Saya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, pangkat Naib Presiden UMNO. Namun saya tidak dilantik dalam Kabinet. Perkara ini dijadikan bahan ejekan bagi musuh-musuh politik terhadap saya. Walaupun begitu, saya tak pernah erti istilah sedih, kecewa, marah atau merajuk. Selama empat tahun jadi Ketua Pemuda saya terus berjuang dan melaksanakan tugas sebaik mungkin. Sebab bagi saya yang penting bukan jawatan, tetapi niat kita untuk berkhidmat demi rakyat dan keberkesanan kita untuk membawa kebaikkan kepada rakyat.

Marilah sama-sama kita gerak sebagai satu pasukan. Saya yakin sekiranya barisan kita ampuh, rakyat jua akan lebih yakin untuk memberi mandat besar kepada Barisan Nasional dalam PRU13!

#PRU13 : Aishah Bertanding Parlimen Jempol...


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini mengumumkan penyanyi terkenal tanahair, Aishah sebagai calon bertanding kerusi Parlimen Jempol.

Beliau mengumumkan perkara tersebut pada ceramah 'Amanat Penting PRU13 - Tipu Pilihanraya Turun Padang' anjuran PAS Bukit Bintang di Markas PAS Taman Melewar, malam tadi.

Bagaimanapun Aishah yang ditemui selepas pengumuman tersebut berkata beliau masih belum bersedia untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

"Berderau darah saya. Tetapi ini keputusan PAS Pusat. Walaupun ikut kata hati saya, tunggulah sepenggal dua lagi (untuk bertanding)," katanya kepada Antarapos.

Ditanya berkenaan karier nyanyiannya, Aishah menambah, beliau tetap akan meneruskan kerjaya yang sudah menjadi darah dagingnya sejak 25 tahun lalu.

"Sekarang pun walau sibuk berceramah saya tetap menerima undangan nyanyian yang sudah 25 tahun sebati dengan diri saya," katanya.

Aishah adalah artis pertama dari Pakatan yang diumumkan sebagai calon untuk bertanding pada PRU13.

Antara artis lain yang menyertai Pakatan adalah Bob Lokman, Hairie Othman, Abby Abadi dan Yassin.

Nota: Akhirnya tercapai juga cita-cita penyanyi yang dah tak laku ni menjadi calon Parlimen... cuma nasib rakan-rakan seangkatan dengan Aishah masih belum diketahui lagi... Apa-apa pun tahniah dan selamat menjadi mangsa KORBAN....

#PRU13 #TolakPR - Anwar Ibrahim Gunakan Kuasa Veto Menentukan Semua Calon PR Di Sabah

Maklumat bocor mesyuarat PR Sabah yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim pada 25 Mac 2013, di Kota Kinabalu Hyatt Hotel.

Sumber rapat memberi tahu ketua-ketua cabang dan pemimpin PR di Sabah kini dilihat tidak berpuashati dengan senarai calon-calon pilihan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Dimana Anwar menggunakan kuasa veto dalam urusan pemilihan calon PKR di Sabah sehingga mengenepikan beberapa calon yang menjadi pilihan penyokong PKR di kawasan tersebut sendiri.

Pakatan di Sabah: 11 PKR, 6 APS, 3 PPPS, 3 PAS, 3 DAP. Parti Semenanjung lebih dominan? Dominasi PKR, bah!

Cuma yang peliknya PKR ni parti Sabah ke? Kenapa pulak Anwar pula yang lebih-lebih? dan urusan calon DAP tak berani pula Anwar nak masuk campur...! baca di sini.

#PRU13 - PAS Jadi Pak Turut... Serah 3 Kerusi Kepada PKR


Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Pertukaran kerusi antara sekutu pakatan pembangkang itu terpaksa dibuat berikutan timbulnya bantahan di kalangan penyokong PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, gantian ketiga-tiga kerusi berkenaan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

“Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sudah hubungi Datuk Seri (Abdul) Hadi dan saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa bagi menyuarakan bantahan ahli PKR apabila PAS umum bertanding di Temerloh dan Kangar.

“Bagaimanapun kami ambil keputusan untuk akur dan terima baik perkembangan itu. Jadi PKR akan bertanding di Bera sebagai gantian kerusi Temerloh.

“PKR juga akan bertanding di Labuan dan Setiawangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

PAS sebelum ini mengumumkan Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi bertanding di Parlimen Temerloh selain turut akan meletakkan calon bertanding di Kangar.

Kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi PKR pada pilihan raya umum yang lalu.

Selain itu Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, pakatan pembangkang akan memuktamadkan agihan kerusi antara parti itu bersama PAS dan DAP pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Khamis.

“Siri rundingan bersama PAS dan DAP berjalan dengan baik, sehingga kini kita sudah capai lebih 90 peratus persetujuan.

“Tidak banyak kerusi yang bertindih, kita akan selesaikan esok (Khamis),” katanya lagi.


#PRU13 #TukarKelantan - Nik Aziz Kata Sembahyang Orang UMNO Tak Dapat Pahala

NIK ABDUL AZIZ NIK MAT... Mursyidul Am Pas itu berucap di Kampung Jambu, Kota Bharu malam tadi.

Aku dah cakap! tolonglah... tolonglah, bersara Pok Nik weh!!! cukup-cukup lah tu...

Semakin hari dilihat semakin nyanyuk.... kami tak mahu menghina Pok Nik diatas sikap Pok Nik yang keterlaluan ini....

Ada baiknya Pok Nik berundur sekarang dan berehatlah Pok Nik...

Inilah waktu yang sesuai untuk Pok Nik menghabiskan sisa-sisa waktu Pok Nik bersama anak cucu...

Utusan Online - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus-menerus mencetuskan kontroversi melalui fatwa-fatwa beliau terhadap keislaman orang UMNO termasuk sebelum ini mendakwa UMNO murtad kerana menolak Islam.

Malam tadi, Nik Aziz mendakwa sembahyang orang UMNO tidak memberi sebarang pahala kerana parti itu telah menolak dasar Islam.

Dalam masa sama, Nik Aziz turut mendakwa UMNO telah menolak Allah SWT kerana selama ini mengamalkan dasar kebangsaan dengan menolak dasar Islam dalam pemerintahan.

"UMNO tolak Islam, tolak Islam maknanya tolak Allah dan kalau sembahyang tokleh (tidak boleh) pahala, boleh pahala gapo (apa) kalau tolak Islam.

"Kalau orang Pas tolak Islam pun tokleh pahala, orang Pas kalau riak tokleh pahala dan kalau kedekut pun tidak boleh pahala.

"Kalau nak boleh pahala ikhlas ini bukan senang, hendak boleh pahala ikhlas lagu mano (bagaimana) kalau tolak Islam, Allah yang bawak turun Islam kepada Nabi Muhammad SWT tiba-tiba UMNO tolak ambil kebangsaan, nak boleh gena (macam mana) pahala kat orang tolak Islam," katanya ketika berceramah di Kampung Jambu di sini malam tadi.

Kira-kira 500 orang yang rata-ratanya terdiri daripada penyokong tegar Pas menghadiri ceramah berkenaan.

Pada 17 November tahun lalu pada sidang akhbar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu Nik Aziz mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu.

Nik Aziz dalam nada tegas kemudian turut melontarkan persoalan sama ada parti itu kini menganut agama Kristian, Buddha atau pun sebuah parti politik yang tidak mempunyai agama.

Pas sebelum itu menerusi adik Nik Abdul Aziz, Nik Razi Nik Mat turut mendoakan supaya Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN dalam majlis solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz semasa ceramahnya itu kemudian menyeru agar rakyat di Kelantan supaya memberi undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

"Hambo (saya) pesan pada suma rakyat baik Pas lebih-lebih lagi UMNO, tolong undi Pas... demo (kamu) hendak UMNO, UMNO lah, tapi beri kertas undi, undi Pas.

"UMNO bagi duit ambil, bagi gula kacau, bagi kain pakai,bagi lembu sembelih tetapi apabila bagi kertas undi, pangkah Pas, kita nak ajar dia (UMNO)," katanya.

#PRU13 - Tiada Kata Sepakat... DAP Biadap, PKR Di Liwat


Rata-rata ahli PKR kini merasa kecewa dengan sikap Ketua Umum, Anwar Ibrahim.

Mereka mendakwa Ketua Penipu tersebut langsung tidak mengambil berat dengan apa yang sedang menimpa kepada Parti tersebut, apabila kerap kali jadi mangsa.

Kalau sebelum ini, kita dengar cerita yang Pengerusi PKR Johor kena tikam hidup - hidup oleh puak DAP sehingga mengakibatkan Jui Meng merajuk.

Kini timbul pula isu rampasan kerusi... berlaku di Parlimen Bentong apabila DAP mengumumkan Wong Tak bertanding bagi kerusi tersebut.

Namun, isu itu tidak hanya terhenti disitu. Konflik yang melanda PKR dan DAP ini masih belum menemukan titik noktah apabila Pengerusi PKR Pahang masih menaruh harapan.

Terdahulu, Pengerusi PKR Pahang, Fauzi menjelaskan kepada pihak media bahawa mereka masih lagi merayu kepada DAP untuk membuat pertimbangan.

Pertimbangan yang dimaksudkan ialah mengenai pertukaran kerusi diantara DAP dengan PKR seperti mana yang dijelaskan sebelum ini.

PKR meminta DAP untuk memberi laluan kepada mereka bagi kerusi DUN Ketari dan Tanah Rata sebagai ganti kepada kerusi Parlimen Bentong.

Malangnya, berita yang diterima hari ini, DAP masih tidak mengendahkan rayuan PKR dan tetap juga dengan pendirian mereka untuk merampas kerusi Parlimen Bentong.

Malah, dari apa yang diterima semalam, DAP menamakan Pengerusi DAP Negeri untuk bertanding di DUN Ketari manakala Tanah Rata belum diumumkan calonnya.

Berita tersebut membuatkan akar umbi PKR di Bentong berasa kecewa dan merayu campur tangan dari Si Ketua Penipu tu untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Katanya, mereka sudah tidak dapat menahan diri dari ditikam hidup - hidup oleh puak DAP dan sering menjadi bahan permainan.

"Kami dah tak tau macam mana nak jawab dengan rakyat bila dengar khabar kata Leong Ngah Ngah akan bertanding di Ketari.

"Sebelum ini, nama yang disebut - sebut untuk bertanding di DUN Ketari ialah Ketua Cabang sendiri. Tapi, bila sampai khabar macam ni, ramai diantara kami yang patah semangat," jelas salah seorang penyokong PKR yang ditemui.

Jelas, pimpinan PKR Pusat memang tidak ada keupayaan untuk mengubah keputusan yang telah dibuat oleh puak DAP. Jauh sekali pemimpin atasan akan mendengar rintihan akar umbi.

Sudah memang itu perangai Si Ketua Penipu Si Anwar bin Ibrahim. Nak buat macam mana lagi!!!

#PRU13 - Ulama Pondok Tegas Tolak Terus PAS


Sekumpulan ulama pondok di Kelantan yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Pas bertekad menolak keras parti tersebut selepas kepimpinan parti berkenaan gagal mempertahankan kalimah Allah.

Menurut mereka, persetujuan Pas bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam dalam kenyataan bersamanya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Januari lalu sememangnya tidak boleh diterima.

Ini kerana perkara tersebut amat berkaitan dengan usaha memelihara kesucian akidah Islam.

Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata, tindakan Pas itu amat mengecewakan umat Islam, khususnya para ulama kerana parti itu dilihat menyokong fahaman pluralisme iaitu yang amat bercanggah dengan Islam.

"Inilah hakikatnya sekarang. Di peringkat pemimpin memang payah hendak kita perbetulkan, cuma apa yang boleh kita lakukan ialah memberitahu dan memaklumkan kepada rakyat dan pengikut-pengikut Pas agar jangan sokong parti ini lagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan Pas yang masih bersekutu dengan DAP dan PKR.

Lebih malang lagi, Pas sehingga hari ini belum menarik balik ketetapan yang dibuat bersama DAP dan PKR bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah walaupun Majlis Syura Ulamanya telah membuat keputusan sebaliknya.

Harun yang merupakan tokoh ulama pondok turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menggunakan hujah Ayat 25 surah al-Luqman bagi membenarkan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.

"Sekali imbas bagi orang yang tidak belajar kata, ini hujah orang bukan Islam boleh guna kalimah Allah. Sedangkan tidak betul. Orang bukan Islam tidak akan mengaku keesaan Allah. Mereka tetap mensyirikkan Allah.

"Adakah kita mahu mengaku manusia ini bertuhankan Allah sedangkan mereka mensyirikkan Allah?" ujarnya.

Tegas beliau, di peringkat ini, setiap umat Islam mahu tidak mahu wajib mempertahankan kalimah Allah iaitu kalimah suci berkenaan hanya untuk orang Islam.

"Perjuangan ini adalah jihad dan inilah perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri pernah bersabda yang bermaksud 'Aku diutuskan sehingga manusia menyebut tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'," katanya.

Penasihat Minda Pondok, Abdullah Saamah pula berkata, tindakan Pas yang bersekongkol dengan DAP telah menggalakkan konsep pluralisme agama yang jelas bercanggah dengan Islam.

Tegas beliau, perkara tersebut amat berkait rapat dengan soal akidah.

Berbanding dengan UMNO, katanya, parti itu sentiasa mempertahankan kesucian akidah Islam termasuk kalimah Allah daripada disalahgunakan.

Oleh itu katanya, menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam memberikan sokongan kepada kerajaan seperti ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff al-Hafiz berkata, budaya fitnah yang amat berleluasa di dalam Pas menyebabkan para ulama pondok di Kelantan tidak lagi mahu menyokong parti itu.

Beliau berkata, sejak dahulu Pas hanya tahu menghasut rakyat dengan fitnah-fitnah yang sengaja ditaburkan terutama menuduh UMNO menolak Islam.

"Tidakkah mereka tahu bahawa dosa memfitnah itu lebih besar daripada membunuh dan tidakkah mereka sedar pada hakikatnya UMNO merupakan sebuah parti yang mempertahan, menegakkan dan mengembangkan Islam?

"Semuanya ini disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan UMNO," ujarnya.

#PRU13 - SISWA4U Tekad Bantu BN


Menyedari semakin ramai yang berpandangan serong terhadap golongan mahasiswa yang dilihat sejak kebelakangan ini begitu cenderung melakukan perkara yang menjatuhkan imej mahasiswa, maka sekumpulan mahasiswa yang mewakili suara mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara mewujudkan SISWA4U.

Pengerusi SISWA4U, Mohd Hafiz Ariffin berkata, penggerak entiti ini adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin mahasiswa dan pelbagai persatuan dan organisasi mahasiswa di dalam kampus dan di luar kampus.

“Matlamat SISWA4U adalah untuk mengerakkan seluruh suara dan tenaga mahasiswa untuk terlibat di dalam proses demokrasi, politik baru dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 secara sihat, rasional, matang, berilmu, berintegriti dan bermaruah sesuai dengan kedudukan mahasiswa sebagai salah satu entiti penting dalam kelompok generasi muda dan sebagai generasi pewaris yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara di masa hadapan.

“Selain itu kami juga menolak sikap segelintir mahasiswa yang menzahirkan pandangan dan idealogi mereka secara tidak betul dan ganas. SISWA4U pula mengambil pendekatan yang berbeza yang jauh lebih harmoni dan menggambarkan imej mahasiswa yang lebih terpelajar dan bermaruah,” ujarnya dalam sidang media khas bagi menyatakan sokongan padu mereka kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.


Tambah Hafiz, sesuai dengan keterbukaan kerajaan yang telah meminda perkara 15(2) AUKU, aktivis SISWA4U dengan ini menyatakan kesediaan sepenuhnya untuk berpartisipasi dalam proses demokrasi dalam PRU-13 secara sihat malah turut bersedia sekiranya diperlukan untuk membantu kempen pilihan raya.

Ujarnya lagi, SISWA4U bukan menyatakan sokongan secara membuta tuli dan tiada asas tetapi berdasarkan kajian yang telah dilakukan terhadap setiap transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri maka telah terbukti hanya Barisan Nasional yang paling layak diberi mandat untuk terus menjadi pucuk pimpinan negara.

“Kami akan terus bergerak untuk membantu kerajaan mendekati anak muda. Sebagaimanan Perdana Menteri bersungguh mendekati anak muda dan menjiwai denyut nadi anak muda melalui pelbagai pendekatan termasuk melalui media sosial, begitu juga kami SISWA4U.

“Kami mewakili suara anak muda yang cintakan negara dan mahu negara ini terus aman, maju dan makmur, maka kami barisan SISWA4U dengan ini berikrar akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri untuk terus membantu beliau menyakinkan rakyat Malaysia khususnya anak muda agar BN terus diberi mandat menerajui negara ini,” ujarnya lagi.

Wednesday, April 3, 2013

#PRU13 - Anwar SAH Lepaskan Permatang Pauh, Bayangkan Akan Ke Perak


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya pada Pilihan Raya umum Ke-12 (PRU-12).

Sebaliknya, Anwar akan beralih angin ke Perak tanpa menyatakan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
“Kita akan putuskan nanti,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini berikutan pembubaran Dewan Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini untuk memberi laluan kepada PRU13.

Anwar menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh berikutan satu pilihan raya kecil pada 26 Ogos 2008 yang menyaksikan beliau memperoleh majoriti 15,671 undi. Ia diadakan berikutan keputusan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan kerusi Parlimen itu.

“Esok saya akan ke Permatang Pauh untuk memujuk pengundi saya menerima keputusan saya bertanding di Perak,” kata Ketua Pembangkang itu.

Dalam pada itu, Anwar tidak dapat mengesahkan sama ada isterinya yang juga Presiden PKR akan bertanding di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut mengakui masih banyak kerusi DUN dan Parlimen yang bertindih antara anggota pakatan pembangkang. Antara negeri yang belum diselesaikan ialah Pahang, Johor dan Perlis.
Memberikan contoh perebutan kerusi di Gelang Patah, Johor, Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng. “Kita optimis perkara itu akan diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata masalah perebutan kerusi antara pakatan pembangkang dijangka selesai esok dalam satu mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di ibu pejabat PKR, di sini.

“Jika semua berjalan lancar, kita juga akan mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding,” katanya sambil menambah ia termasuk kerusi yang bakal ditandingi Dr Wan Azizah.

- Bernama

#PRU13 - PR Merancang Penipuan Dalam Pilihan Raya


Adalah satu kebiasaan bagi rakyat Malaysia mendengar dan membaca pelbagai kenyataan negatif oleh pemimpin PR yang sering mempersendakan dan menyalahkan SPR kononnya tidak telus serta sering dituduh gagal mengendalikan proses pilihan raya dengan adil.

Bermacam perkara dijadikan pertikaian oleh PR dari hal undi pos, daftar pemilih, proses pengundian, pengiraan undi serta pelbagai lagi isu ditimbulkan, motifnya satu untuk memberi tahu umum bahawa SPR tidak adil, tidak telus dan berat sebelah.

Pendek kata bagi pembangkang, SPR hanyalah kuda tunggangan BN dan apa sahaja penambahbaikan yang dilakukannya dianggap mempunyai maksud tersirat untuk kepentingan BN.

Itu realiti pandangan yang sudah berakar umbi dalam fikiran pemimpin dan penyokong PR.

Peliknya di sebalik segala tohmahan itu, dalam masa yang sama boleh pula pemimpin PR mengwar-warkan kepada umum bahawa PRU 13 akan dimenangi oleh PR malah dengan yakin menyatakan 125 kerusi Parlimen dan 7 buah negeri bakal dikuasai mereka.

Orang yang waras akalnya tentu terdetik untuk bertanya, jika SPR adalah kuda tunggangan BN, tidak telus, tidak adil dan tidak bebas, kenapa pula pemimpin PR sibuk mahu bercakap mengenai kemenangan dan tawan negeri itu dan ini?

Yang akan mengendalikan PRU 13 tetap juga SPR, jadi ikut logik akal jika begitu buruk dan teruk kaedah pilihan raya yang dikendalikan SPR, apa gunanya lagi untuk PR berangan untuk menggapai kejayaan, bukan begitu?

Hakikatnya PR sudah lama menerima hakikat bahawa SPR sememangnya telus, adil dan saksama sedari dulu lagi. Jika SPR benar-benar pincang, tiada seorang pun pemimpin PR yang akan bertanding dalam PRU 13 dan sebelumnya.
Tentu ada agendanya maka sebab itu SPR sering dijadikan punching beg dan dijadikan sebagai kambing hitam oleh pemimpin pembangkang.

Tak mustahil agenda PR dalam isu mempersoalkan kredibiliti SPR lebih kepada untuk menutup kelemahan sendiri kerana gagal menawan hati majoriti pengundi. Itu faktor utama yang tidak boleh disangkal sama sekali.

Kemungkinan lain, ada kebarangkalian ianya untuk melindungi penipuan yang ingin dilakukan oleh PR misalnya melalui manipulasi dakwat kekal dengan mencalit dakwat itu kepada pengundi berusia konon untuk tujuan demonstrasi.

Perkara sebegini boleh berlaku bila dilihat pada modus operandi penyokong pembangkang selama ini yang pernah mengutip kad pengenalan golongan tua bagi menghalang pengundi keluar menunaikan tanggungjawab ketika hari pengundian.

Atau kemungkinan juga untuk mengelakkan tumpuan umum kepada gerakan jentera PR yang sebelum ini giat memindahkan pengundi mereka ke kawasan yang diyakini boleh dikuasai melalui kaedah tersebut seperti mana pernah dilaksanakan oleh PAS Kedah dan PAS Kelantan.

Malah semenjak SPR memperkenalkan pendaftaran pengundi yang dikenali sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) terdiri dari agen parti-parti politik, uniknya semenjak itu berlumba-lumba PR mendedahkan 'kepincangan' daftar pemilih mempertikaikan orang itu tak layak mengundi dan orang ini datanya diragui.

SPR pernah mengumumkan seramai 332 orang penolong pendaftar pemilih ditamatkan perkhidmatan kerana cuai atau sengaja mendaftarkan pengundi dengan maklumat yang meragukan.

Sebelumnya SPR pernah menolak permohonan seramai 71,184 pengundi yang didaftarkan oleh PPP kerana pelbagai kesalahan antaranya mendaftarkan pengundi yang telah berdaftar, warganegara yang belum layak mengundi, bukan warganegara dan pelbagai lagi kecuaian.

Menariknya kebanyakan kesilapan daftar pengundi baru yang ditolak oleh SPR ini didaftarkan oleh wakil-wakil PR dan tak mustahil ada antara puluhan ribu permohonan pengundi baru yang didaftarkan oleh PR ini yang terlepas pandang oleh sistem semakan dan digunakan pula untuk memburukkan imej SPR.

Di lihat pada sejarah PR, beberapa perkara yang didedahkan di atas tak mustahil berlaku dan tidak salah untuk kita membuat spekulasi kemungkinan PR sedang merancang untuk menipu dalam pilihan raya.

Tindakan mereka mengkambing hitamkan SPR sebelum ini hanyalah strategi serampang dua mata, pertama untuk membunuh imej dan kredibiliti SPR di mata umum dan kedua untuk melindungi penipuan yang sedang PR laksanakan.

Sedangkan dalam pemilihan CEC DAP dan pengundian dalaman PKR sendiri wujud penyelewengan, dan PAS pula penah aktif memindah pengundi ke sana ke mari, jadi apa sangatlah untuk mereka merancang penipuan dalam PRU.

Apa pun jika segala kemungkinan di atas tidak menepati senario sebenar, seeloknya PR hentikan sahaja propagandanya yang memperlekeh atau mempertikaikan kesungguhan SPR dalam melaksanakan tanggungjawabnya memastikan PRU 13 kelak berjalan lancar.

Kiranya PR masih sibuk mempertikaikan SPR, itu salah ini tak betul, lebih baik pemimpin PR cermin diri sendiri untuk melihat betapa besarnya hipokrasi dalam diri masing-masing.

Atau jika pemimpin PR masih ada harga diri, kenapa tidak untuk julung kalinya, sebagai tanda protes dan ketidakyakinan dengan SPR, maka jangan sesekali walau seorang pun pemimpin PR bertanding dalam PRU 13 ini? Ada berani?

#TolakPR - PAS Halang Usaha Martabatkan Islam: Dr Hasan


Kesukaran memartabatkan agama Islam bukan hanya dihalang oleh PKR dan DAP sahaja tetapi juga oleh PAS.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata semua usaha untuk memartabatkan Islam dihalang PAS dengan alasan ia bakal merencatkan usaha Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Beliau berkata, parti Islam itu juga cuba menutup mulut dengan berjanji untuk menyelesaikan semua isu selepas menjadi pemerintah.

"Memang. Dihalang oleh PKR, DAP dan juga PAS. PAS punya alasan, dengan cara apa yang saya buat itu menggelapkan jalan untuk ke Putrajaya.

"Dan PAS kononnya cuba untuk meyakinkan saya supaya jangan banyak sangat sentuh hal-hal ini, tunggu sehingga dapat ke Putrajaya. Baru kita timbulkan soal-soal ini termasuklah berkenaan hudud, negara Islam dan sebagainya," katanya kepada Antarapos.

Hasan yang pernah memegang portfolio Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor turut menamakan Ahli Parlimen Khalid Samad sebagai antara pemimpin PAS yang lantang menentang usaha mempertahankan kedaulatan Islam.

Menceritakan kembali isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya pada 2011 yang didakwa menganjurkan program memurtadkan orang Islam, katanya, Khalid mendakwa semua tindakannya tidak berasas.

"Khalid Samad terutamanya menentang saya dan mengatakan apa yang saya lakukan itu bukan sebenarnya mencerminkan apa yang berlaku tentang penyelewengan akidah," katanya.

Hasan digugurkan daripada PAS pada Januari 2012 selepas beliau didakwa menjadi 'duri dalam daging' kepada PAS Selangor dan pakatan pembangkang terutama DAP.

Ia berikutan beberapa tindakan Hasan yang mengundang kritikan terbuka pemimpin PAS Selangor seperti Khalid terutama berkaitan dengan tugasnya sebagai exco menjaga hal ehwal agama.

Selain Khalid isu itu turut kurang disenangi oleh kepimpinan negeri pembangkang walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa berdasarkan siasatan Jais, terdapat cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam.

Susulan itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Khalid sendiri telah memohon maaf kepada pihak gereja sebelum laporan penuh berhubung insiden itu dikeluarkan oleh pihak Jais.

Begitu juga dengan DAP, parti itu dikatakan tidak begitu senang dengan Hasan berikutan beberapa tindakan antaranya kes rampasan arak di kedai 24 jam di Shah Alam hingga menyebabkan berlaku pertelingkahan antara beliau dengan Exco Selangor, Ronnie Liu.

Akhirnya arak yang dirampas itu dikatakan dipulangkan semula kepada kedai tersebut dalam kejadian yang berlaku pada Julai 2009.

Ekoran daripada insiden itu, DAP dikatakan mula kurang menyenangi Hasan kerana pendiriannya yang begitu tegas dalam soal berkaitan memelihara kesucian agama Islam di Selangor.

-AntaraPos