Tuesday, April 10, 2012

Sri Wani Disahkan Perempuan


Teka-teki berhubung jantina pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, akhirnya terungkai dengan pengesahan bahawa dia adalah seorang perempuan.

Pengesahan itu dibuat secara eksklusif kepada Sinar Harian oleh ibu saudara Sri Wani, Connie Chee, 45, seorang kerani di sebuah syarikat swasta, di sini, semalam.

Connie memberitahu, Sri Wani diserahkan kepada ibu bapanya (Connie) sejak lahir dan anak saudaranya itu membesar sebagai seorang perempuan.



“Sampai bila-bila pun dia tetap perempuan kerana itu adalah dia. Saya ada bukti kukuh. Saya dan adik-beradik lain membesar bersamanya, malah saya yang mandikan dia.

“Dari kecil sampai sekarang, Sri Wani tidak rahsiakan apa-apa dengan saya. (Oleh itu) hentikanlah fitnah. Kasihankan dia,” katanya dalam nada sedih mengenangkan nasib Sri Wani.

Hukuman Adam Adli Kekal!


Jawatankuasa Disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menolak ra­yuan Adam Adli Abdul Halim yang menerima penggantu­ngan tiga semester pengajian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Datuk Dr Junaidi Abu Bakar mengesahkan perkara itu dan penggantungan sudah bermula.

“Kes ini telah selesai. Rayuan tidak diterima kerana ia mensabitkan kesalahan di bawah Kaedah 3 (a) (i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-kaedah Upsi (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999 dan hukuman ke atasnya berkuat kuasa bermula Semester II

Tahun Pengajian 2011/12 sehingga akhir Semester II 2012/13.

“Pada 8 Mac lalu, Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar bersidang dan mengekalkan huku­man tersebut” katanya.

Jawatankuasa universiti membuat ketetapan bahawa tindakan Adam Adli telah merosakkan kepenti­ngan, nama baik universiti, pe­nuntut dan kakitangan serta ketenteraman keselamatan awam dan tatatertib.

Adam Adli menerima hukuman berhubung dua pertuduhan, menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember tahun lalu dan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan universiti tersebut pada sambutan malam tahun baru 2012.

Wang Besar $$ RM100,000 Kepada Sesiapa Yang Dapat Buktikan Datuk K-Rozita Berkahwin!


Datin Zaiton Mohd. Jiwa hari ini menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada mana-mana individu yang dapat tampil menunjukkan bukti bahawa adiknya, Datuk Khalid atau Datuk K telah mengahwini pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Zaiton berkata, dia tidak kisah mengeluarkan jumlah wang sebesar itu demi mencabar individu yang menyebar fitnah terhadap suami penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu.

"Kenalah berani berdepan. Kita mahukan bukti, jadi kepada mereka yang terlibat kita minta mereka tunjukkan bukti tersebut dan jika ia tulen serta sahih, ganjaran itu akan saya berikan.

"Ini bukan pertama kali cerita sebegini keluar, malah semasa keluar gosip pertama dulu, saya pernah minta supaya ditunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka tetapi tiada siapa yang datang menunjukkan bukti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.


Zaiton yang juga penerbit Global Station Sdn. Bhd menambah, pihaknya mengambil tindakan sedemikian bagi memastikan maruah keluarganya tidak dicalar sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Zaiton juga melahirkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir penulis blog yang tidak henti-henti daripada terus menghangatkan isu tersebut.

"Keluarga kami rapat dan kami tahu berita itu tidak benar. Malah saya percaya adik saya tidak melakukannya, jadi bagaimana dengan persepsi masyarakat bila mereka terus disogok dengan berita-berita sedemikian," soalnya.

Sementara itu, Khalid atau Datuk K pula berkata, dia tidak pernah mengenali Rozita, apatah lagi mengahwininya.

Ujarnya, dia juga tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut seperti yang diperkatakan.

"Kalau ada yang kata saya pernah rapat dengan dia, itu fitnah besar kerana saya tidak pernah mengenali atau rapat dengan dia atau mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut.

"Jujurnya saya sudah sampai ke tahap 'menyampah' dan 'geram' untuk terlalu memikirkan gosip-gosip liar yang membabitkan diri saya ketika ini," tegasnya.

Datuk K menambah, sebenarnya mereka suami isteri sudah cukup lali dengan gosip-gosip sedemikian tetapi apabila isu berkenaan turut mendapat perhatian rakan-rakan perniagaannya perkara itu menjadi tidak manis.

"Jadi cukup-cukuplah. Saya sudah tidak mahu komen benda-benda remeh seperti ini dan malas serta menyampah sebab ia macam tak pernah habis," ujarnya.

Jelas ahli perniagaan itu lagi, jauh di sudut hati, dia tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri kesayangan yang dianggap sebagai permata berharga dalam kehidupan.