Tuesday, April 10, 2012
Wang Besar $$ RM100,000 Kepada Sesiapa Yang Dapat Buktikan Datuk K-Rozita Berkahwin!
Datin Zaiton Mohd. Jiwa hari ini menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada mana-mana individu yang dapat tampil menunjukkan bukti bahawa adiknya, Datuk Khalid atau Datuk K telah mengahwini pelakon jelita, Rozita Che Wan.
Zaiton berkata, dia tidak kisah mengeluarkan jumlah wang sebesar itu demi mencabar individu yang menyebar fitnah terhadap suami penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu.
"Kenalah berani berdepan. Kita mahukan bukti, jadi kepada mereka yang terlibat kita minta mereka tunjukkan bukti tersebut dan jika ia tulen serta sahih, ganjaran itu akan saya berikan.
"Ini bukan pertama kali cerita sebegini keluar, malah semasa keluar gosip pertama dulu, saya pernah minta supaya ditunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka tetapi tiada siapa yang datang menunjukkan bukti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Zaiton yang juga penerbit Global Station Sdn. Bhd menambah, pihaknya mengambil tindakan sedemikian bagi memastikan maruah keluarganya tidak dicalar sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Zaiton juga melahirkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir penulis blog yang tidak henti-henti daripada terus menghangatkan isu tersebut.
"Keluarga kami rapat dan kami tahu berita itu tidak benar. Malah saya percaya adik saya tidak melakukannya, jadi bagaimana dengan persepsi masyarakat bila mereka terus disogok dengan berita-berita sedemikian," soalnya.
Sementara itu, Khalid atau Datuk K pula berkata, dia tidak pernah mengenali Rozita, apatah lagi mengahwininya.
Ujarnya, dia juga tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut seperti yang diperkatakan.
"Kalau ada yang kata saya pernah rapat dengan dia, itu fitnah besar kerana saya tidak pernah mengenali atau rapat dengan dia atau mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut.
"Jujurnya saya sudah sampai ke tahap 'menyampah' dan 'geram' untuk terlalu memikirkan gosip-gosip liar yang membabitkan diri saya ketika ini," tegasnya.
Datuk K menambah, sebenarnya mereka suami isteri sudah cukup lali dengan gosip-gosip sedemikian tetapi apabila isu berkenaan turut mendapat perhatian rakan-rakan perniagaannya perkara itu menjadi tidak manis.
"Jadi cukup-cukuplah. Saya sudah tidak mahu komen benda-benda remeh seperti ini dan malas serta menyampah sebab ia macam tak pernah habis," ujarnya.
Jelas ahli perniagaan itu lagi, jauh di sudut hati, dia tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri kesayangan yang dianggap sebagai permata berharga dalam kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment