Thursday, May 3, 2012

Kanak-Kanak Diculik: Nayati Shamelin Ditemui Selamat

Nayati Shamelin Moodliar dipeluk anggota keluarganya selepas ditemui selamat pagi
tadi. - Foto ihsan @ShamMoodliar

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nayati Shamelin Moodliar, warganegara Belanda yang diculik minggu lalu, ditemui selamat pagi ini di kawasan Hentian Rehat & Rawat Sungai Buloh, Rawang.

Polis mengesahkan Nayati ditemui kira-kira 7.55 pagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook kira-kira jam 10 pagi tadi, keluarga Nayati berkata:

"Kami gembira untuk memberitahu bahawa Nayati sudah pulang ke rumah dan meskipun ia detik yang sangat traumatik bagi dirinya, dia kelihatan berada dalam keadaan baik."


Dalam pada itu, Facebook Polis Diraja Malaysia menyebut, "kanak-kanak lelaki yang dilapor hilang dipercayai diculik minggu lepas, Nayati Shamelin Moodliar, dijumpai di Rawang hari ini."

"Pengesahan berita tersebut dibuat oleh Datuk Ku Chin Wah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur," kata kenyataan ringkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 27 April lalu di hadapan Mount Kiara International School, telah ditemui di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh.

"Kanak-kanak tersebut kini berada dalam keadaan selamat bersama keluarganya dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak polis masih lagi meneruskan siasatan lanjut berkaitan kes ini," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh kerana penculikan Nayati tertakluk kepada siasatan yang dijalankan, keluarganya berkata, pihaknya tidak berhak untuk mendedahkan sebarang maklumat berkaitan.

Keluarganya juga berkata akan mengadakan satu sidang media khas esok.

Keluarga itu berkata, mereka gembira dan menghargai sokongan padu yang diterima daripada rakan-rakan di Kuala Lumpur dan seluruh dunia.

"Tiada kata-kata yang boleh digambarkan bagi menunjukkan tanda terima kasih dan kami tidak akan melupakan segala sokongan mereka.

"Kami juga sangat menghargai sokongan moral dan kerjasama yang diterima daripada Kedutaan Belanda melalui wakilnya iaitu Paul Bekkers," kata keluarga itu sambil menambah, "dengan bantuan yang diberi ini, kami mampu menangani sedikit masalah teknikal."

"Kami juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia terutamanya kepada Polis Diraja Malaysia.

"Keutamaan yang mereka berikan dari mula hingga selamat kembali Nayati dan juga penjagaan yang rapi tidak memberi apa-apa yang boleh menjejaskan keselamatannya. Kami sangat gembira dan akan terus tinggal di negara yang harmoni ini," kata keluarga.-SH

Demo Di Dataran: 3 Pelajar UM Didakwa Hari Ini

Tiga penuntut Universiti Malaya (UM) kini berada di mahkamah pusat pengajian tinggi itu untuk menghadapi perbicaraan berhubung kesalahan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bulan lalu.

Mereka bangga di dakwa

Ketiga-tiga mereka, pemimpin dan aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), dilihat masuk ke bilik hal ehwal pelajar UM untuk dibicarakansekitar jam 9.30 pagi.

Keputusan dijangka diumumkan pada jam 11.

Tiga penuntut itu terdiri daripada Pengerusi SMM, Mohamad Safwan Anang, Setiausahanya Haziq Abdullah Abd Aziz dan Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini.

Mereka menerima notis hadir perbicaraan pada 26 April lalu.

Mohd Syahid, 23, merupakan penuntut tahun akhir jurusan Pendidikan Politik Islam, Safwan, 23, penuntut tahun ketiga Pendidikan Islam dan Haziq, 20, pula pelajar tahun satu Undang-Undang.

Ketiga-tiga mereka yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN di ibu negara dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 16C Auku, bawah kaedah 3(a)(i) dan 3(a)(ii), didakwa memalukan universiti dan memudaratkan ketenteraman awam.

Memalukan!

Wednesday, May 2, 2012

Debat Khairy VS Rafizi Ditangguh


Sinar harian hari ini memaklumkan debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan diadakan pada satu tarikh lain.

Dibawah petikan dari Sinar Harian

Debat terbuka PTPTN anjuran Sinar Harian yang sepatutnya berlangsung di sini malam esok telah ditangguhkan.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd. Jalil Ali berkata, pertemuan antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan diadakan pada satu tarikh lain.

“Kami tidak membatalkan debat yang menjadi tumpuan ramai ini, kami hanya tangguhkan ke satu masa yang akan ditetapkan, insya-ALLAH dalam masa terdekat,” katanya tanpa menyatakan tarikh sebenar.

Karangkraf sebagai penerbit harian popular itu yang sebelum ini telah menganjurkan 13 siri Wacana Sinar, memutuskan untuk menangguhkan debat, memandangkan suasana dan masa yang tidak beberapa sesuai.

“Beberapa insiden di seluruh negara, khasnya di Kuala Lumpur beberapa hari lalu mewujudkan suasana hangat, jadi kami tidak mahu debat seperti ini yang menemukan tokoh parti bertentangan membangkitkan lagi suasana tidak sihat.

“Sebab itu kami memutuskan supaya wacana ilmu ini ditangguhkan dahulu dan kami memohon maaf kepada orang ramai, khasnya pembaca Sinar Harian yang sejak seminggu lalu telah menempah tempat untuk menyertai debat ini,” katanya.

Menurut Jalil, selain kedua pendebat, Dr Maszlee Malik yang sepatutnya menjadi moderator pada majlis di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, juga telah diberitahu mengenai penangguhan ini.

Pengumuman mengenai tarikh baru dan tempat bagi debat ini akan dibuat dalam akhbar Sinar Harian.